Budaya
mencarut dan memaki-hamun adalah suatu perkara yang buruk dan keji. Sebagai
manusia yang berakal waras, sudah tentu kita mampu membezakan antara yang baik
dan buruknya sesuatu pekara tersebut. Ini termasuklah dalam soal kita memilih
perkataan atau ungkapan yang baik untuk kita ungkapkan kepada sesiapa sahaja.
Berkata dengan ungkapan yang baik juga merupakan tuntutan di dalam Islam.
Bercakap dengan ungkapan yang baik merupakan salah satu akhlak yang terpuji.
Demikian
juga antara tujuan utama baginda Nabi SAW diutuskan sebagai Rasul adalah untuk
menyempurnakan kebaikan. Dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, daripada Abu
Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya
tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak"
Adalah
menjadi tujuan utama baginda Nabi SAW diangkat dan diutuskan menjadi Rasul
untuk menunjukkan penyempurnaan akhlak yang terpuji sekaligus mencerminkan
ajaran dan didikan Islam sebenar. Oleh yang demikian, kita seharusnya lebih
bijak dalam memilih perkataan agar kita tidak membawa fitnah terhadap ajaran
Islam sebenar yang melarang penganutnya daripada menutur perkara yang buruk dan
keji. Sekalipun kita mahu bercakap, maka bercakaplah akan hal-hal yang baik,
jika tidak, lebih baik dan bagusnya kita berdiam diri.
Dalam
hal ini, baginda Nabi SAW telah mengingatkan kita untuk bercakap pada yang baik
sahaja. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari
dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud
:
"Barangsiapa
yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik
ataupun diam".
Imam
An Nawawi dalam Riyadhus Solihin, ketika beliau membahaskan hadith
tersebut, beliau berkata :
"Hadith
ini jelas sekali menunjukkan bahawa seseorang hendaklah tidak berbicara kecuali
apabila perbicaraan itu adalah baik, iaitu hal yang telah jelas kemashalatannya
(kebaikan)".
Amat
malang sekali, apabila segelintir masyarakat kita "menormalisasikan"
budaya mencarut dan memaki hamun ini dengan menganggap ianya sekadar hiburan
lawak semata-mata. Lebih menyedihkan lagi, segelintir para pendakwah
menghemburkan kata-kata yang tidak elok ketika berceramah dan menganggap ianya
sebagai suatu kebiasaan bahasa bagi masyarakat setempat. Hal ini tidak
sepatutnya menjadi alasan lebih-lebih lagi perkataan itu keluar daripada mulut
seorang ustaz yang sering menjadi rujukan dan contoh teladan pada masyarakat.
Mengungkap
perkataan buruk dan keji bukanlah suatu hal yang boleh dianggap "normal"
dalam masyarakat. Sekiranya kita bantah dan tidak setuju dengan mereka yang
cuba menormalisasikan budaya lucah dalam lawak dan sebagainya, maka kita juga
perlu mengambil sikap dan pendirian yang sama membantah dan menolak budaya
mencarut atau mengungkap perkataan buruk dan keji. Sebagai seorang yang
beriman, dirinya akan memastikan agar lidahnya selamat daripada hal yang buruk
dan keji.
Dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Musa al Asy'ari dia
berkata :
"Aku
berkata : "Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling
utama ?" Baginda menjawab : " Orang yang kaum Muslimin yang selamat
dari lisannya dan tangannya".
Hadith
menjelaskan kepada kita bahwa sebaik-baik orang Islam itu antaranya adalah
mereka yang memelihara mulutnya dari perkara yang haram, termasuklah mencarut
dan sebagainya. Oleh yang demikian, agama ini sangat menuntut agar umatnya
memelihara lidah daripada menuturkan perkara yang buruk dan keji. Ini juga
merupakan sebahagian besar mujahadah kita berlawan dengan emosi. Akibat
bercakap dengan kawalan emosi yang buruk, maka akan terzahirlah perkataan dan
ungkapan yang buruk lagi kotor.
Tanggapan
bahawa perkataan kotor adalah bahasa biasa bagi masyarakat setempat merupakan
cubaan untuk menghalalkan perbuatan bercakap kotor. Usaha ini juga secara tidak
langsung akan mendidik masyarakat melazimi menyebut perkataan yang buruk lagi
keji ini. Walhal, Allah SWT tidak menyukai perkataan-perkataan yang buruk dan
keji. Dalam firman Nya di dalam surah an Nisa' ayat 148, Allah SWT berfirman
yang bermaksud :
"Allah
tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan
berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang) ; kecuali oleh orang yang
dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha
Mengetahui".
Berdasarkan
firman tersebut, sudah tentu sebagai orang yang beriman, pasti akan berusaha
meninggalkan apa sahaja perkara yang dibenci oleh Allah termasuklah
meninggalkan perkataan-perkataan buruk. Betapa besar amanah Allah untuk para
hamba Nya, menjaga dan memelihara lidah daripada menutur hal yang buruk dan
keji. Kita juga diingatkan dengan sebuah hadith riwayat Ahmad, ketika Sufyan
bin Abdullah al Thaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Wahai
Rasulullah, katakanlah kepadaku suatu perkara yang dapat menjadi peganganku. Rasulullah
SAW menjawab : "Katakanlah Tuhanku ialah Allah, kemudian berlaku
jujurlah". Aku bertanya lagi : "Wahai Rasulullah, apakah yang paling
ditakuti diatas diriku ? Rasulullah memegang lidahnya, kemudian Baginda
menjawab : Ini".
Segelintir
manusia tidak sedar akan besarnya kesan dari apa yang telah diungkapkan. Sikap
tidak berhati-hati ketika bercakap, mengungkap berdasarkan sentimen dan emosi,
semua ini bakal membakar diri sendiri akibat keterlanjuran lidah yang bertutur.
Barangkali di dunia kita boleh berikan seribu satu alasan bagi menghalalkan
perbuatan tersebut, namun di akhirat kelak, kita akan dilondehkan oleh Allah
SWT. Renungilah firman Allah dalam surah Yasin ayat 65 yang bermaksud :
"Pada
hari ini Kami tutup mulut mereka ; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan
kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka
kerjakan".
Oleh
itu, marilah sama-sama kita berusaha untuk menjaga dan memelihara lidah kita
daripada menuturkan perkara yang buruk dan keji. Sekalipun perkataan itu dianggap
biasa oleh sebahagian kita, jangan kita jadikan ianya sebagai rutin kebiasaan
dalam kehidupan. Nikmat lidah tidak bertulang ini adakalanya lebih berbahaya
dari pisau yang tajam. Kerana pisau yang tajam, zahirnya menakutkan. Namun
lidah tidak bertulang, tanpa sedar, banyak dosa melaluinya. Semoga Allah
mengampuni segala keterlanjuran kita selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan