Sejarah
telah memperlihatkan kepada kita betapa bahayanya sikap egois dalam diri
sendiri yang akhirnya membawa kepada kebinasaan. Sama seperti marah, melampau
dalam egois bakal menghina dirinya sendiri. Dalam hal ini, Allah SWT telah
menceritakan kepada kita sikap egois si Iblis yang melampau sehingga
menyebabkan diri dan seluruh keturunannya dihumban ke dalam neraka. Allah SWT
berfirman dalam surah al Baqarah ayat 34 yang bermaksud :
"Dan
(ingatlah) ketika Kami memerintahkan kepada malaikat : 'Sujudlah kepada Adam'.
Dia (Iblis) enggan dan membesarkan dirinya. Maka sesungguhnya dia adalah
daripada golongan yang musyrik".
Perkataan
"egois" adalah merujuk kepada sikap ego. Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat, egois membawa makna orang yang suka mengutamakan (menonjolkan)
diri serta bermegah-megah, tidak suka dikritik. Deepak Chopra, seorang ahli
perubatan juga seorang penulis berkelahiran India, beliau menyatakan bahawa
sikap ego bukan kita yang sebenarnya. Ego adalah imej diri kita, topeng sosial
kita. Ia adalah peranan yang kita sedang bermain.
Menurut
seorang penulis, pelakon dan pengarah Chile, Alejandro Jodorowsky, ketika
memberikan definisi tentang sikap ego, beliau memberikan perumpamaan mudah bagi
kita memahami sikap ego itu sendiri. Beliau menyatakan bahawa ego adalah
seperti anjing anda. Anjing mesti mengikuti tuan anjing. Anda perlu membuat
anjing mengikuti anda. Anda tidak perlu membunuhnya tetapi menjinakkannya.
Perumpamaan ini menunjukkan kepada kita betapa penting kita menguruskan sikap
egois agar ianya tidak memakan diri sendiri.
Dalam
perbendaharaan kata Melayu, egois bermaksud kibir. Kibir yang juga berasal dari
bahasa arab merujuk kepada makna sangat angkuh (sombong), berasa dirinya lebih
penting (mulia) dan lain-lain. Bahasa modennya adalah egois. Secara tidak
langsung, kita boleh memahami perkataan egois ini dengan maksud sombong, suka
membesarkan diri kerana hati merasakan dirinya mempunyai kelebihan,
keistimewaan dan kehebatan tertentu. Inilah antara punca diri manusia tidak
akan masuk ke dalam syurga.
Sepertimana
sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda
yang bermaksud :
"Tidak
akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari
kesombongan".
Bayangkan,
seandainya sifat egois yang padanya ada sifat sombong, angkuh dan seumpamanya
berada di dalam hatinya walau sebesar biji sawi pun tidak akan beroleh nikmat
memasuki syurga, bagaimana pula besarnya sifat egois itu lebih dari sebiji sawi
? Persoalannya seharusnya kita lontarkan ke dalam diri tanpa menunding jari ke
sana sini. Tanpa perlu kita melihat orang, lihatlah ke dalam diri sendiri dan
berjuanglah dari di belenggu oleh sikap egois yang melampau ini.
Oleh
itu, tidak ada sebarang kepentingan ataupun keperluan untuk kita bersikap egois
berlebih-lebihan sehingga kita mulai berprasangka buruk, hasad, berdendam dan
sebagainya. Akibat daripada dikawal oleh sikap egois, akan menatijahkan diri
kita sahaja yang betul. Diri kita sahaja lah yang berjuang untuk Islam. Diri
kita sahaja lah yang mempertahankan bangsa, dan lain-lain. Maka dengan itu,
tidak mustahil akan lahirlah sikap buruk yang lain (mazmumah) yang dilarang
oleh Islam.
Kita
seharusnya mengingat kembali sebuah hadith qudsi riwayat Abu Daud, Allah SWT
berfirman yang bermaksud :
"Sombong
itu selendang Ku dan keagungan adalah sarung Ku. Barangsiapa merampas salah
satu daripadanya, Aku lemparkan dia ke neraka Jahanam".
Tanpa
kita sedari pun, sikap egois apabila mula menguasai diri, kita akan susah untuk
menerima teguran, kritikan mahupun pandangan daripada orang lain. Kerana bagi
kita, apa yang kita buat adalah untuk "membina" dan apa yang orang
lain buat adalah untuk "meruntuhkan" sesuatu. Kita akan mulai
berperang dengan diri sendiri, mulai mencipta persepsi demi persepsi yang
akhirnya mendatangkan prasangka buruk terhadap orang lain. Dalam surah al
Hujurat ayat 12, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
"Wahai
orang yang beriman ! Jauhilah kebanyakkan daripada sangkaan (supaya kamu tidak
menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada
sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan
dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati ?
(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh
itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertaqwalah kamu kepada Allah ;
sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani".
Berdasarkan
ayat tersebut, Allah SWT telah melarang kita dari berprasangka. Kemudian, Allah
SWT melarang pula kita mencari kesalahan dan keaiban. Setelah itu, Allah juga
telah melarang kita daripada mengumpat orang. Kesemua ini bermula daripada
larangan berprasangka. Hal ini kerana rentetan daripada prasangka tersebut,
akan mulai tumbuh rasa curiga. Perasaan ini akan membuahkan pula sifat ingin
tahu dan mahu mencari keaiban demi keaiban. Setelah dapat apa yang dicari,
bertebaranlah kita menjaja keaiban dan kesalahan orang sana sini yang secara
tidak langsung, kita sendiri telah jatuh dalam lembah dosa dan maksiat.
Justeru
itu, seharusnya kita bijak dalam mengawal diri dan emosi agar kita tidak
terperangkap dalam permainan egois ini. Tidak boleh ditegur, tidak boleh
dikritik, semuanya salah hanya kita sahaja yang betul. Sikap sebegini sedaya
upaya mesti kita jauhinya bersama. Usah lah merasai diri kita sangat membina padahal
dalam tidak sedar, kita telah meruntuhkan nilai moral dan peribadi kita
sendiri. Lakukan apa sahaja pekerjaan yang mulia, sebesar dan sehebat mana pun
usaha yang kita lakukan, rugi andai tidak di ikuti dengan keimanan dan
ketaqwaan kepada Allah. Semoga Allah mengampuni keterlanjuran kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan