Isnin, 15 Julai 2024

DERMA ORGAN MENURUT PANDUAN ISLAM

 

Sesungguhnya kesempurnaan hidup ini adalah berdiri diatas apa yang telah dikurniakan oleh ilahi. Daripada sekecil-kecil perkara sehingga kepada yang paling besar dalam hidup ini, tiada sesiapa yang boleh menyanggah akan nikmat pemberian Tuhan ini yang begitu ternilai dan tiada tolak bandingnya. Dengan pemberian nikmat tersebut, manusia dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Nikmat mata yang dapat melihat, telinga yang dapat mendengar, mulut yang dapat merasai makanan dan pelbagai lagi nikmat yang jika dihitung oleh manusia pastinya tidak akan tamat mengiranya. Tanpa nikmat asas ini, manusia mampu hilang semangat, hilang darjat kebiasaan hidup.

Isu pendermaan organ merupakan isu baharu yang diperbincangakan oleh para ilmuan Islam. Ini kerana kita tidak akan dapat menemui perbincangan mengenainya di dalam kitab-kitab klasik melainkan dibincangkan oleh para sarjana kontemporari menerusi kitab-kitab zaman sekarang. Perkataan "derma organ" secara dasarnya merupakan gabungan dua perkataan asal iaitu derma dan organ. Menurut portal MyHealth, pendermaan organ ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan kita untuk tujuan pemindahan atau transplantasi kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Selepas transplantasi (pemindahan) organ, seseorang itu dapat meneruskan kehidupan dan hidup dengan kualiti yang lebih baik.




Dalam istilah perubatan, pendermaan organ disebut sebagai transplantasi atau transplan. Berdasarkan definisi yang digagaskan oleh World Health Organization (WHO), transplantasi atau transplan ialah pemindahan sel, tisu atau organ manusia daripada penderma kepada penerima dengan tujuan mengembalikan fungsi-fungsi penting badan. Secara mudahnya, kita boleh fahami bahwa pendermaan organ ini merupaka suatu proses pemindahan organ penderma yang baik dan boleh digunapakai untuk penerima yang memerlukannya dengan tujuan demi kelangsungan kehidupannya. Pendermaan organ ini boleh dilakukan sama ada dalam keadaan masih hidup atau setelah penderma meninggal dunia.Semasa hayat, penderma organ hanya boleh mendermakan organ satu buah pinggang, sebahagian hati dan sum-sum tulang sahaja.

Berbeza dengan penderma organ setelah meninggal dunia, para penderma organ boleh mendermakan organ jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang. Selain turut boleh mendermakan tisu seperti injap jantung, mata (kornea), tulang dan kulit. Namun begitu, semua jenis pendermaan ini pastinya perlu melalui proses penilaian dan pendokumentasian yang sah dari sudut undang-undang negara. Ini kerana terdapat juga sebahagian mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan penjualan organ secara haram merentasi sempadan antarabangsa dan hal tersebut merupakan jenayah merentas sempadan. Dalam konteks Malaysia, melalui perolehan data oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, sehingga 31 Januari 2015, sejumlah 19,353 orang rakyat Malaysia yang sedang menunggu untuk mendapatkan organ dan majoriti daripadanya adalah pesakit buah pinggang.

Dalam soal menderma organ ini, terdapat beberapa panduan dalam Islam yang menggariskan tentang hukum menderma organ. Berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Imam al-Syatibi dalam kitabnya, al-Muwafaqat, beliau menjelaskan bahawa :

“Sesungguhnya kebaikan dan keburukan berbeza. Tidak dapat dikatakan bahawa padanya kebaikan sahaja, kerana kebaikan itu tetap ada bercampur dengan suruhan atau kerumitan, samada sedikit atau banyak. Apa yang kita fahami adalah sesuatu itu mempunyai kebaikan atau keburukan. Penentunya adalah bergantung kepada apa yang terlebih padanya. Jika yang melebihi adalah jenis kebaikan, maka keadaan biasa menghukumkan sebagai kebaikan. Tetapi jika keburukan yang lebih berat, maka mengikut keadaan, ia adalah keburukan. Oleh itu, hendaklah melihat yang mana lebih berat daripada dua keadaan itu. Jika jenis kebaikan lebih berat, maka perkara itu adalah diambil dan jika jenis keburukan yang lebih berat, maka haruslah ditinggalkan.”




Maka yang demikian, kita akan mendapati para sarjana Islam berbeza pandangan mengenai hukum menderma organ berkait kepada pertimbangan-pertimbangan tertentu berdasarkan wahyu al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan pertama, sebahagian para sarjana Islam menyatakan tidak harus menderma organ. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud :

"Belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan".

Berdasarkan pemahaman ayat ini, Dr. al-Sukkari menyatakan dalam kitabnya, Naqlu wa Zira’ah al-A’dha’ al-Adamiah min Manzur Islami, beliau menjelaskan bahawa Allah SWT melarang kita mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. Seseorang yang berhias dengan sebahagian anggota jasadnya boleh membawa kepada kebinasaan dan ini bukanlah dituntut. Perkataan "kebinasaan" dalam ayat ini merupakan lafaz umum yang mengandungi semua perkara yang membawa kearah itu. Justeru, memotong anggota diri sendiri menuju ke arah hilangnya manfaat dan membawa kebinasaan. Menyokong ayat ini dengan kaedah pengajaran diambil dengan umum lafaz bukan sebab yang khusus mengikut takrifan ulama usul. Demikian apa yang dijelaskan. Selain itu, turut menjadi hujah hukum tidak harus mendermakan organ ialah berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibn Majah, daripada Ummul Mukminin Aisyah RA katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Memecahkan tulang si mati sama seperti memecahkan tulang orang hidup pada hukum berdosanya.”

Berdasarkan hadith ini, apa yang difahami seolah-olah mengambil organ orang yang telah meninggal dunia sama hukumnya seperti orang itu masih hidup. Maka menyakiti si mayat dengan membedah mengambil organnya sama seperti menyakiti orang tersebut ketika masih hidup. Ini bermakna hadith tersebut menunjukkan bahawa orang yang hidup diharamkan memecah dan merosakkan tulangnya. Begitu juga memotong sebahagian anggotanya. Keadaan tersebut juga merupakan hal yang sama berlaku kepada si mati. Demikian pula berdasarkan kaedah fiqh iaitu “kemudaratan tidak dihilangkan dengan kemudaratan" dan “kemudaratan tidak dilhilangkan dengan seumpamanya”, menjelaskan kepada kita berkenaan tegahan daripada menghilangkan kemudaratan dengan seumpamanya. Hal ini bertepatan dengan apa yang berlaku dalam proses pemindahan organ dimana kemudaratan boleh menimpa si penderma organ.




Adapun pandangan kedua, sebahagian para sarjana menyatakan hukum harus untuk menderma organ berdasarkan hujah dan bukti dari wahyu Allah dan kaedah fiqh. Penetapan hukum harus menderma organ adalah berdasarkan beberapa kaedah tertentu. Antara lainnya disebutkan bahawa pemindahan organ manusia yang telah meninggal dunia kepada yang masih hidup diharuskan dengan empat syarat. Pertama, hendaklah orang yang diambil sebahagian anggotanya telah mengizinkannya sebelum matinya dan dia adalah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya sebelum kematiannya. Kedua, hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya. Ketiga, hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk berubat dan bukan untuk maksud dan tujuan lain dan yang keempat, tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.

Syarat-syarat tersebut merupakan antara fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa badan berautoriti fatwa seperti al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami (The Islamic Fiqh Council) di bawah Rabitah al-‘Alam al-Islami (Muslim World League) pada tahun 1985, Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duwali (International Islamic Fiqh Academy) di bawah OIC pada tahun 1988, dan badan-badan fatwa yang lain yang turut senada memutuskan hukum harus (dibolehkan) melakukan pemindahan organ atau anggota insan yang masih hidup untuk menyelamatkan insan yang lain. Keharusan ini juga berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud :

"Oleh sebab itu, kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana mebuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya".

Selain itu, turut menjadi beberapa asas dalam keharusan menderma organ ini berdasarkan kepada tiga kaedah fiqh yang dikemukakan. Berdasarkan al-Qawaid al-Fiqhiyyah, tiga kaedah tersebut ialah “kemudaratan hendaklah dihilangkan", “semua darurat mengharuskan yang haram" dan “apabila sesuatu perkara sempit hendaklah diperluaskan". Demikianlah panduan oleh Islam dalam soal hukum pendermaan organ dan tisu. Berdasarkan perkembangan semasa, pendermaan organ seharusnya digalakkan berdasarkan hukum keharusan tersebut. Hal ini bukan sahaja perbuatan yang berbentuk kebajikan tetapi juga dapat menyelamatkan nyawa orang lain. Bukankah menyelamatkan nyawa orang lain juga termasuk sebahagian perkara yang memberi kebaikan ? Oleh itu, dengan panduan yang diberikan ini, marilah kita mulakan dengan keazaman untuk menjadi sebahagian daripada penderma organ demi kebaikan bersama. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan