Sabtu, 6 Julai 2024

APABILA PASANGAN BUKAN ISLAM MEMELUK ISLAM : HUKUM DAN STATUS PERKAHWINAN

 

Sesungguhnya Islam itu telah datang dengan membawa makna kerahmatan atau kasih sayang untuk seluruh alam. Islam bukan sahaja sebagai sebuah agama yang mementingkan hubungan antara hamba dengan Tuhan malah Islam juga sangat menekankan tentang hubungan kemanusiaan yang menjadi asas kepada keharmonian hidup. Oleh kerana itu, asas utama dalam usaha menyebarkan agama Islam, Allah SWT melalui kalam Nya di dalam al-Quran melarang dan menegah mana-mana umat Islam daripada memaksa, mengugut dan seumpamanya untuk memeluk agama Islam. Kata mudahnya, orang Islam tidak boleh memaksa mana-mana orang untuk menerima kebenaran dan memeluk agama Islam.

Walau bagaimanapun, tegahan oleh Allah untuk memaksa orang lain memeluk Islam bukan bermakna tidak boleh berdakwah menyampaikan Islam. Perintah Allah juga menyuruh para hamba Nya untuk berdakwah menyampaikan kebenaran dengan penuh kebijaksanaan. Tidak boleh dinafikan, hasil usaha para pendakwah dan insan-insan terpilih yang tidak pernah jemu dalam berkongsikan tentang agama Islam kepada mereka yang bukan beragama Islam, ada yang telah terbuka hati untuk memeluk Islam dan ingin kembali kepada fitrah. Oleh itu, ada beberapa keadaan yang boleh kita lihat, ada pasangan suami isteri bersama-sama mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Ada pula situasi di mana isteri memeluk Islam tetapi suaminya tidak. Begitu juga sebaliknya ada juga situasi suami memeluk Islam tetapi isterinya tidak.




Beberapa situasi dan keadaan yang seperti ini, tentu sekali persoalan yang lebih besar ialah apakah status perkahwinan mereka dan bagaimanakah pula hukum-hakam berkaitannya. Lebih merunsingkan lagi apabila membabitkan status hak penjagaan anak bagi keadaan salah seorang pasangan yang telah memeluk agama Islam. Untuk itu, pertamanya, kita lihat terlebih dahulu keadaan dimana pasangan yang kedua-duanya memeluk agama Islam. Bagi keadaan dan situasi yang seperti ini, perkahwinan mereka yang sebelum ini berkahwin ketika berada dalam agama asal mereka. Apakah perlu dikahwinkan semula atau bagaimana ? Bagi menjawab persoalan ini, perlu dilihat bagaimana baginda Nabi SAW menguruskan akan hal ini. Ini kerana pada zaman Nabi yang juga turut disebutkn sebagai zaman awal Islam, ramai dikalangan orang Arab juga memeluk agama Islam bersama pasangan mereka.

Untuk memahami status perkahwinan bagi pasangan suami isteri yang baru memeluk agama Islam, kita perlu melihat sejarah awal umat Islam pada zaman Nabi SAW. Dalam catatan sejarah umat Islam pada zaman Nabi, tidak ada satu pun riwayat yang menunjukkan bahawa baginda Nabi menyuruh pasangan yang baru memeluk Islam untuk memperbaharui perkahwinan mereka semula. Malah menjadi pandangan majoriti para fuqaha mazhab dengan menyatakan bahawa perkahwinan orang kafir adalah sah dan tidak perlu diperbaharui semula kerana memeluk agama Islam. Hal ini juga berasaskan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Masad ayat 4 dan surah al-Tahrim ayat 11, dimana di dalam kedua-dua ayat ini Allah mengiktiraf isteri kepada Abu Lahab dan isteri kepada Firaun. Selain itu, telah berkata Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni yang bermaksud :

"Telah memeluk Islam ramai individu pada zaman Nabi S.A.W dan begitu juga isteri mereka turut serta memeluk Islam Bersama mereka. Baginda memperakukan pernikahan-pernikahan mereka dan baginda tidak bertanya kepada mereka tentang syarat-syarat dan kaifiat pernikahan mereka."

Maka berdasarkan penjelasan tersebut, jelas kepada kita bahawa bagi mereka yang memeluk Islam bersama pasangan, dan telah berkahwin sebelum daripada itu malah meski telah mempunyai sekalipun, perkahwinan mereka yang terdahulu ketika bukan beragama Islam adalah dikira sah dan tidak perlu memperbaharui semul akad nikah tersebut. Berhubung status anak-anak pula tidak menjadi masalah kerana perkahwinan yang terdahulu dihukumkan sah begitu juga status anak-anak turut dihukumkan sama. Selain itu, terdapat juga keadaan dan situasi yang berbeza dimana salah seorang pasangan sama ada isteri atau suami, membuat keputusan untuk memeluk Islam dan pasangannya tidak memeluk Islam. Ini bermaksud jika isteri memeluk Islam, apakah si isteri tersebut boleh tinggal bersama suaminya yang bukan Islam atau sebaliknya begitu.




Dalam keadaan dan situasi seperti ini, pasangan yang memeluk Islam diberi tempoh tertentu untuk hidup bersama pasangan yang belum memeluk Islam. Namun begitu, para ulama telah berbeza pandangan mengenai tempoh yang ditetapkan. Menurut Imam Malik seperti yang dinukilkan dalam kitab al-Muwatta', beliau menyatakan bahwa :

“Di sisi kami ialah, bahawa jika seorang wanita masuk Islam dan suaminya kafir, kemudian suaminya ikut masuk Islam, maka dia lebih berhak terhadapnya selama mana isterinya masih dalam iddahnya. Namun, jika iddahnya telah berakhir, maka tidak ada jalan lagi bagi suaminya (untuk kembali kepada) isterinya (melainkan dengan akad yang baharu).”

Selain itu, Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni menjelaskan bahawa jika salah seorang daripada pasangan masuk Islam dan seorang lagi tidak memeluk Islam sehinggalah tamat tempoh iddah wanita tersebut, maka perkahwinan itu terbatal mengikut pandangan kebanyakan ulama. Tambahan lagi, Ibnu Qudamah turut menukilkan riwayat dari Ibn Syubrumah, beliau menyatakan bahawa pada zaman Rasulullah SAW, suami yang memeluk Islam daripada isteri atau isteri yang memeluk Islam sebelum daripada suami, dan sebelum habis iddah, suami pula memeluk Islam, maka isteri tersebut terus kekal sebagai isteri kepada suaminya. Tetapi jika suami memeluk Islam selepas habis iddah, perkahwinan mereka terbubar dan berhenti setakat itu sahaja.

Dalam riwayat lain, Imam Malik meriwayatkan daripada Ibn Syihab, telah sampai berita kepada beliau bahawa anak perempuan al-Walid bin al-Mughirah iaitu isteri kepada Safwan bin Umayyah memeluk Islam pada hari pembukaan kota Makkah, manakala suaminya Safwan telah melarikan diri tanpa memeluk Islam. Oleh itu, baginda Nabi SAW bertindak dengan menghantar utusan untuk memberitahu beliau yang beliau telah diberi keamanan oleh Baginda SAW. Setelah mendapat jaminan keamanan tersebut, Safwan pulang ke Makkah dan terlibat dalam peperangan Hunain. Pada masa itu, beliau masih belum memeluk Islam. Baginda Nabi SAW tidak memisahkan di antara beliau dan isterinya, sehinggalah Safwan memeluk Islam dan berikutan keislamannya, maka kekallah isterinya sebagai isteri beliau. Ibn Syihab menyatakan seperti yang dinukilkan dalam kitab Nail al-Autar, tempoh antara keislaman Safwan dengan isterinya ialah sekitar sebulan.




Selain itu, terdapat juga pandangan daripada beberapa tokoh besar yang lain seperti al-Syafi’i, al-Laith, al-Zuhri, Ahmad dan juga turut bersetuju dengan pandangan mereka ini ialah Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Sebahagian tokoh-tokoh besar ini berpandangan bahawa sekiranya salah seorang pasangan suami isteri memeluk Islam, sebelum berlaku persetubuhan, maka terbubarlah perkahwinan mereka pada masa itu juga. Pun begitu, sekiranya setelah berlaku persetubuhan, kemudian pasangannya memeluk Islam semasa iddah, maka perkahwinan mereka kekal sebagaimana sebelumnya. Tetapi jika telah habis iddah, pasangannya tidak juga memeluk Islam, maka terbubarlah perkahwinan mereka. Demikian ada yang telah dinyatakan oleh para ulama. Dalam soal ini, kita perlu lebih teliti dan berhati-hati agar tidak hidup dalam syak wasangka terhadap hukum-hakam Islam.

Sesungguhnya apa yang dijelaskan ini ialah sekadar panduan asas untuk kefahaman kita bersama. Dalam konteks kita di Malaysia, urusan perkahwinan adalah tertakluk dibawah bidang kuasa agensi berkaitan. Maka adalah wajar untuk mereka yang terlibat untuk merujuk pihak berkaitan seperti Jabatan Agama, Jabatan Mufti dan Jabatan Kehakiman Syariah bagi memperolehi nasihat dan panduan selari dengan peraturan enakmen negeri masing-masing. Hal ini juga secara tidak langsung akan membabitkan juga soal hak penjagaan anak sekiranya berlaku pembubaran perkahwinan. Secara jelas dan pastinya, biar apapun yang terjadi, menjadi seorang Islam tidak bermaksud terputus segala hubungan kekeluargaan dengan mereka yang bukan Islam. Apa pun status dan kedudukannya, Islam sama sekali tidak pernah menghalang dan melarang kita daripada berbuat baik terhadap mereka. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan