Rabu, 3 Julai 2024

KEPERCAYAAN KONSEP NUR MUHAMMAD

 

Sejak diutuskan baginda Nabi Muhammad SAW oleh Allah SWT sebagai pembawa kebenaran dan menghapuskan kebatilan, dunia ini telah banyak memperlihatkan kepada kita perubahan ketamadunan manusia. Perkara ini lebih jelas perubahannya pada tahap sosial bangsa arab yang dahulunya dipenuhi dengan kezaliman, ketidakadilan sosial, penindasan kepada kaum yang lemah dan sebagainya. Baginda Nabi SAW yang diangkat menjadi Rasul bukan sahaja telah mengubah corak hidup sosial masyarakat Arab bahkan seluruh dunia menerima tempias hebatnya ketokohan baginda. Maka tidak hairanlah jika ada yang mengiktiraf baginda Nabi sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia ini.

Konsep "Nur Muhammad" merupakan satu isu polimik yang digagaskan oleh gerakan sufisme yang melampaui batas. Ungkapan Nur Muhammad pada sudut literal bahasanya membawa maksud "Cahaya Muhmmad". Pada hakikatnya, Nur Muhammad pada keadaan tertentu boleh terima pakai menurut wahyu. Pun begitu, ada keadaan pemahamannya telah menyimpang jauh dari landasan ajaran Islam sebenar. Dalam al-Quran, menerusi surah al-Maidah ayat 15, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Telah datang kepada kamu dari sisi Allah Nur dan kitab yang jelas.”




Berdasarkan ayat tersebut, dikalangan para ulama tafsir seperti Imam al-Tabari RH, ada yang menafsirkan perkataan Nur di situ sebagai Nabi Muhammad SAW. Ini bermakna baginda Nabi SAW diutuskan oleh Allah dengan matlamat menerangkan serta menjelaskan kebenaran iaitu Islam dan memusnahkan kesyirikan. Selain itu, menurut Syeikh Dr. Muhammad Sulaiman al-Asyqar dalam Zubdatul Tafsir Min Fathil Qadir, beliau menjelaskan bahawa ada yang menafsirkan Nur tersebut sebagai Nabi Muhammad dan pendapat lain ada yang menafsirkan Nur tersebut sebagai agama Islam atau al-Quran. Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Wajiz, beliau menyatakan bahawa sesungguhnya telah datang kepadamu "Nur" (cahaya) dari Allah berupa al-Quran atau Islam atau Muhammad yang menerangkan jalan kebenaran dan petunjuk, dan Kitab yang menerangkan.

Maka berdasarkan penjelasan tersebut, tidaklah menjadi suatu kehairanan apabila baginda Nabi SAW dianggap sebagai Nur atau cahaya kerana diutuskannya untuk menerangkan, menjelaskan serta mengeluarkan umat manusia daripada kesesatan kepada cahaya kebenaran agama Islam. Perkataan Nur atau cahaya dalam konteks ini membawa maksud sifat baginda Nabi yang membawa tugas sebagai memberi pencerahan, penjelasan serta keterangan untuk menjadikan umat manusia mentaati perintah Allah dengan menyembah Allah semata-mata dan tidak lagi menyembah berhala dan seumpamanya. Nabi juga disifatkan sebagai pembawa hidayah. Selebihnya terletak kepada kehendak Allah SWT.

Namun begitu, adapun pemahaman yang telah menyimpang dari ajaran Islam sebenar ialah apabila ada yang menganggap kononnya Nur Muhammad itu adalah ciptaan pertama. Konsep Nur Muhammad ini hakikatnya telah berjaya diselaraskan dengan penyebaran hadith yang dihukum palsu oleh para ulama. Hadith tersebut yang diriwayatkan oleh Jabir, beliau berkata :

"Aku bertanya pada Rasulullah tentang perkara yang pertama yang Allah cipta sebelum segala-galanya. Maka Nabi Muhammad menjawab : "Ia (yakni perkara pertama yang diciptakannya oleh Allah) adalah nur Nabimu, wahai Jabir, Allah menciptakan nur kemudian diciptakan daripada nur itu akan setiap kebaikan dan diciptakan selepas nur itu setiap sesuatu."




Hadith Jabir tentang Nur Muhammad ini telah dihukum palsu oleh ramai para ulama antaranya oleh Albani, Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyyah dan juga Imam al-Sayuti. Bahkan, Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya, Majmu' Fatawa, beliau menukilkan bahawa perkara-perkara yang seumpama ini adalah dusta yang direka-reka dengan muafakat ulama' yang mengetahui sirah Rasul. Para anbiyya' semua tidak dijadikan daripada Nabi SAW bahkan mereka semua dijadikan dari ibubapa mereka. Kemudian ditiupkan roh. Demikian yang dijelaskan olehnya. Manakala Imam al-Sayuti pula dalam kitabnya, al-Hawi Lil Fatawa, beliau menyatakan bahawa hadith Nur Muhammad itu tidak mempunyai sanad yang boleh dipegang kepadanya.

Secara umumnya, sekalipun kita beranggapan boleh untuk menerima konsep Nur Muhammad berdasarkan hadith riwayat Jabir ini, tidakkah hadith ini sebenarnya telah bercanggah dengan firman Allah SWT mengenai hakikat Nabi Muhammad itu sebagai seorang manusia seperti kita semua. Lihatlah firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 93 yang bermaksud :

“Katakanlah (Muhammad) maha suci tuhan ku, tidaklah aku ini melainkan seorang manusia yang dilantik sebagai Rasul.”

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa baginda Nabi merupakan seorang manusia dan tidak ada manusia yang diciptakan oleh Allah dengan cahaya. Penciptaan makhluk Allah dengan cahaya adalah penciptaan para malaikat sahaja. Pemahaman asas ini jika difahami dengan betul tentu sekali kita akan menolak konsep Nur Muhammad ini tanpa ragu-ragu lagi. Dalam konteks lain, konsep Nur Muhammad ini sebenarnya tidak pernah wujud atau tidak pernah dibincangkan pada zaman Nabi SAW. Konsep ini jelas tiada asal dari agama Islam. Konsep Nur Muhammad ini mulai dibincangkan setelah 300 tahun selepas kewafatan Nabi SAW. Sebelum daripada itu, dikalangan para sahabat tidak pernah wujud perbincangan berkaitan konsep Nur Muhammad ini.




Dari sudut ungkapan perkataan pula, dalam bahasa al-Quran, ungkapan cahaya digunakan tidak sekadar dengan lafaz Nur نور. Hal ini dapat dilihat di dalam al-Quran, apabila Allah menyebut tentang bulan, cahaya yang digunakan adalah dengan perkataan Nur (نور) sedangkan cahaya matahari pula akan digunakan dengan perkataan dhiya' (ضياء) dan siraj (سراج). Menurut Prof Quraish Shihab dalam satu penjelasan beliau mengenai perbezaan perkataan antara Nur dan Dhiya', beliau menjelaskan bahawa perkataan Nur adalah cahaya yang bukan ada pada dirinya sendiri, tetapi pantulan dari cahaya yang lain. Maka dengan sebab itu, apabila al-Quran menyebut tentang cahaya bulan, digunakan perkataan Nur. Sebaliknya, perkataan Dhiya' pula adalah cahaya yang ada pada dirinya sendiri. Oleh sebab itu, al-Quran menyebut cahaya matahari dengan ungkapan Dhiya' dan bukannya Nur. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran, menerusi surah Yunus ayat 5, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا

"Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya"

Oleh itu, berdasarkan dari sudut pemahaman penggunaan bahasa ini, apa yang mahu dijelaskan ialah jika sekalipun di fahami bahawa adanya konsep Nur Muhammad, ini bermakna pada diri Nabi Muhammad itu terpantulnya akhlak yang mulia, terpancar padanya ajaran Islam sebenar yang membuatkan para manusia akan sentiasa mengingati Allah SWT. Pada baginda Nabi itu terpancar kehendak Allah terhadap hamba Nya. Pemahaman sebegini tidaklah menjadi masalah untuk kita berpegang dengannya. Namun begitu, jika Nur Muhammad itu dimaksudkan bahawa Nabi Muhammad itu adalah cahaya, tentu sekali istilah atau perkataan yang tepat untuk digunakan ialah perkataan Dhiya' dan bukannya perkataan Nur.

Oleh itu, konsep Nur Muhammad yang telah menyimpang jauh dari landasan agama ini tidak lebih sekadar khayalan dan metafora melampau yang dibawa oleh golongan sufisme. Sifat melampau di dalam menyanjungi dan mengasihi baginda Nabi SAW adalah sesuatu yang telah ditegah dan dilarang oleh baginda. Konsep ini telah ditolak oleh kebanyakkan para ulama antaranya oleh Syeikh Muhammad Ahmad Abdul Qadir al-Syanqiti, al-Marhum al-Qaradhawi, As-Syeikh 'Atiah Saqr yang merupakan mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar dan Abdullah bin al-Sadiq al-Ghumari. Oleh itu, hindarilah kita dengan pemahaman yang batil ini dan kembali berpegang pada yang benar dan sahih yang menepati al-Quran dan al-Sunnah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan