Rabu, 10 Julai 2024

KALENDAR TAHUN HIJRAH : SUATU SOROTAN SEJARAH

 

Salah satu keajaiban alam yang direncanakan oleh Allah SWT ialah keberadaan makhluk Nya dalam sebuah sistem yang disebut sebagai masa. Masa atau waktu ialah merupakan suatu sistem yang telah mengikat para hamba Nya untuk berjalan diatas ketetapan yang dikehendaki Nya. Tidak ada satu pun makhluk Nya yang terlepas daripada hitungan masa dan waktu. Dengan kekuasaan Allah SWT, masa dan waktu telah membuktikan kewujudan setiap entiti di alam ini tentunya bersifat baharu iaitu bermakna ada permulaan dan akan ada pengakhirannya. Termasuklah alam yang kita diami ini. Apabila tiba saat dan detiknya, alan yang fana ini akan hancur lebur dan tiada lagi nilai pada umat manusia.

Manusia dan sistem masa tidak dapat dipisahkan. Oleh kerana itu, para manusia sentiasa berusaha mencipta sesuatu yang membolehkan kita menghitung dan mengira pergerakan hari dan bulan sehingga bertukar melangkah dari tahun ke tahun yang lain. Antara lain usaha tersebut telah menjadikan para manusia berupaya mencipta kalendar bagi menghitung hari-hari yang dihadapinya. Dalam sejarah Islam, kalendar Hijrah merupakan suatu inovasi yang telah diwujudkan oleh khalifah kedua Islam, Amirul Mukminin Saidina Umar bin al-Khattab. Natijah daripada permuafakatan dalam bermesyuarat, akhirnya Umar al-Khattab telah bersetuju untuk menjadikan perisitwa hijrah Nabi SAW ke Madinah merupakan tahun pertama bagi kalendar Islam. Apa pun, kita perlu jelaskan bahawa kalendar tahun baharu hijrah bukanlah bermaksud hijrah Nabi berlaku pada awal Muharram. Namun begitu, peristiwa tersebut telah dipersetujui untuk dijadikan sebagai perkiraan tahun pertama bagi kalendar Hijrah.




Sebelum daripada penciptaan kalendar Hijrah, bangsa Arab pada zaman tersebut menamakan sesuatu tahun itu berdasarkan peristiwa besar atau kejadian luar biasa yang berlaku pada masa tersebut. Misalnya, pada tahun kelahiran baginda Nabi SAW, dikenali sebagai tahun Gajah. Ini kerana pada tahun tersebut, telah berlaku suatu gerakan usaha untuk merobohkan Ka'bah yang diketuai oleh Abrahah al-Arsyam. Selain itu, bangsa Arab juga pernah menamakan suatu tahun itu dengan bernama Tahun Fujjar. Dinamakan tahun Fujjar kerana pada waktu itu telah berlaku peperangan selama empat tahun bermula 586 Miladiah, yang diberi nama peperangan Fujjar. Peperangan tersebut menyaksikan para kabilah Arab berperang sesama mereka termasuk pada bulan haram dimana pada bulan tersebut diharamkan berbuat demikian. Ada juga yang dinamakan sebagai Tahun Azan ketika berlakunya peristiwa hijrah. Ini kerana pada ketika itu diturunkan syariat azan.

Adapun tentang soal nama-nama bulan di dalam kalendar Hijrah, sebelum daripada penciptaan kalendar tersebut, telah wujud nama-nama bulan seperti Muharram, Safar dan lain-lain. Kewujudan nama-nama bulan tersebut telah diperakui oleh Allah SWT dan rasul Nya. Dalam al-Quran, surah al-Taubah ayat 36, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (yakni bulan yang dihormati iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharram dan Rejab)."

Begitu juga sebagaimana yang telah dijelaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Bakrah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya zaman telah berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun terdapat dua belas bulan yang mana antaranya adalah empat bulan mulia; yakni tiga bulan berturut-turut; Zulkaedah, Zulhijah dan Muharram dan Rejab [Kabilah] Mudar adalah antara Jumada (yakni Jamadil Akhir) dan Syaaban."

Maka jelaslah kepada kita bahawa nama-nama bulan di dalam kalendar Hijrah telah terlebih dahulu wujud pada zaman Nabi SAW dan setelah itu barulah wujudnya pula yang dinamakan sebagai kalendar Hijrah pada zaman Umar al-Khattab. Mengimbau kembali sejarah penciptaan kalendar Hijrah ini, Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari, beliau menyatakan bahawa kalendar Hijrah diwujudkan oleh para Sahabat berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 9 yang bermaksud :

“Masjid yang telah didirikan di atas dasar takwa semenjak hari pertama.”

Menurut Ibnu Hajar, perkataan "hari pertama" jelas bukan membawa maksud umum tetapi memberi makna khusus iaitu hari pertama kebangkitan Islam, Nabi SAW menyembah Allah dalam keadaan aman atau masjid berkenaan (Masjid Quba) dibina. Dalam riwayat yang lain, sepertimana yang dinukilkan oleh Imam al-Suyuti dalam kitabnya, al-Shamarikh fi 'Ilm al-Tarikh, beliau menyebutkan bahawa timbulnya cetusan idea untuk mewujudkan kalendar bagi orang Islam adalah datangnya cadangan daripada Abu Musa al-Asy'ari, seorang Gabenor di Basrah. Pada suatu hari, Abu Musa telah mengadu kepada Khalifah Umar berkenaan surat-surat yang datang kepadanya tanpa tarikh lalu Khalifah Umar mengarahkan supaya satu perbincangan mengenainya diadakan.




Dalam riwayat lain, dinyatakan bahawa terdapat seorang lelaki Yaman yang bernama Saidina Ya'la ibni Umayyah, telah mengutus surat kepada Khalifah Umar yang mengandungi tarikh iaitu bulan dan tahun tertentu. Hal tersebut telah menarik perhatian Khalifah Umar untuk turut berbuat demikian. Selain itu, ada yang menyatakan pendapat bahawa terdapat peristiwa Khalifah Umar diberi catatan berkenaan kewangan yang tertulis bulan Syaaban, tetapi tidak diketahui sama ada ia Syaaban tahun lalu, tahun semasa atau tahun berikutnya. Ada juga riwayat lain turut menyatakan mengenai peristiwa seseorang lelaki memberitahu Khalifah Umar mengenai amalan orang Yaman dalam penetapan tarikh, maka beliau memandang perkara ini adalah baik dan beliau memerintahkan agar kalendar rasmi dibuat. Demikian beberapa asas yang mencetuskan idea bagi mewujudkan kalendar Hijrah.

Oleh yang demikian, setelah melihat kepada kepentingan mewujudkan kalendar rasmi orang Islam, maka Khalifah Umar telah bermesyuarat bersama para Sahabat bagi membincangkan perkara tersebut. Maka telah diberikan ketetapan oleh Khalifah Umar bagi memilih tahun pertama bermula kalendar tersebut mestilah berdasarkan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah umat Islam. Hasilnya, terdapat empat peristiwa yang menjadi pertimbangan oleh Khalifah Umar bersama para Sahabat untuk dijadikan tahun pertama bagi kalendar tersebut. Empat peristiwa tersebut ialah peristiwa kelahiran baginda Nabi, peristiwa pengutusan baginda, peristiwa hijrah baginda dan peristiwa kewafatan baginda. Maka melalui persefahaman bersama, mereka telah sebulat suara menerima cadangan peristiwa hijrah Nabi dijadikan perkiraan tahun pertama bagi kalendar tersebut.




Dinyatakan bahawa Khalifah Umar al-Khattab telah bersetuju memilih tahun hijrah Nabi SAW sebagai tahun pertama diatas sebab keistimewaan peristiwa hijrah tersebut yang telah dapat memisahkan antara yang benar dan yang batil. Setelah itu, berlaku pula perbincangan untuk memilih bulan yang pertama dalam perkiraan kalendar tersebut. Untuk itu, Saidina ‘Uthman mencadangkan agar tahun dimulakan dengan bulan Muharram. Ini kerana bulan Muharram adalah bulan haram (bulan yang diharamkan perang dan bulan yang suci) yang juga bulan bagi jemaah haji selesai segala urusan haji. Selain itu, Imam al-Suyuti juga menyebut bahawa beliau pernah terbaca satu pandangan menarik tentang faktor menjadikan al-Muharram sebagai bulan pertama kalendar Hijrah. Pandangan tersebut ialah tafsiran oleh Ibn ‘Abbas terhadap ayat pertama dalam surah al-Fajr. Menurut Ibn ‘Abbas, al-Fajr ialah bulan al-Muharram kerana ia berada di permulaan tahun.

Berkaitan pemilihan bulan Muharram sebagai bulan pertama bagi kalendar Hijrah, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani juga turut menyebut alasan pemilihan bulan Muharram. Beliau menyatakan bahawa bulan Muharram adalah merupakan permulaan azam untuk berhijrah bersama Nabi SAW. Sebabnya peristiwa bai'ah telah berlaku pada bulan sebelumnya iaitu Zulhijjah. Anak bulan pertama yang datang selepas peristiwa bai'ah dan keazaman untuk hijrah itu ialah anak bulan Muharram, justeru sesuai sekali untuk Muharram menjadi bulan pertama. Demikianlah apa yang dijelaskan. Maka berdasarkan kepada fakta yang dinukilkan ini, jelas kepada kita bahawa sesungguhnya peristiwa hijrah baginda Nabi ke Madinah tidaklah berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya baginda Nabi telah bergerak keluar dari Mekah pada akhir bulan Safar dan tiba di Madinah pada 12 Rabiulawwal. Pun begitu, peristiwa hijrah telah dipilih oleh Khalifah Umar sebagai tahun pertama bagi kalendar Hijrah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan