Isnin, 29 Julai 2024

TRAGEDI KARBALA : EPISOD HITAM KRISIS POLITIK

 

Dalam kamus kehidupan umat manusia, soal kekuasaan politik merupakan antara isu yang tidak akan habis diperkatakan sejak zaman berzaman lagi. Selari dengan perubahan dunia yang semakin kompleks, soal kuasa politik saban hari menghantui umat manusia sehingga sanggup berbunuhan antara satu sama lain. Ini kerana kelangsungan kuasa politik yang dimiliki bukan sahaja akan memenuhi cita-cita peribadi bahkan mampu mencetuskan pengaruh besar untuk menguasai apa sahaja yang mahu dilakukannya. Politik pada dasarnya mampu menawarkan keamanan hidup kepada manusia secara langsung. Pun begitu, apabila dasar tersebut telah dicemari dengan kehendak nafsu serakah, maka apalagi yang tinggal melainkan kelam mata membuat durjana demi mencapai kehendak peribadinya.

Nama "Karbala" sentiasa diingati sebagai sejarah hitam berdarah yang telah melukakan jantung hati umat Islam sedunia. Karbala telah membawa kita untuk mengimbau kembali suatu tragedi berdarah dan peristiwa tersebut menjadi kontroversi sepanjang zaman antara Sunni-Syiah. Perkataan Karbala merujuk kepada nama sebuah bandar di Iraq. Jaraknya hampir kurang lebih 100 kilometer dari arah sebelah barat daya kota Baghdad, yang merupakan ibu negara Iraq. Maksud bagi ungkapan Karbala, sebahagiannya ilmuan mendakwa nama tersebut berasal dari bahasa Asyyria Kuno yang membawa makna "Karb" sebagai dekat dan "ala" sebagai Tuhan. Dalam bahasa Parsi, "Kaar" bermaksud kerja dan "Bala" bermaksud lebih tinggi. Berkaitan nama Karbala juga, dalam sebuah riwayat, Saidina Hussain pernah berkata mengenai nama Karbala dengan ungkapan Karbun (susah) dan Bala (bencana).




Dalam kita berbicara soal tragedi berdarah ini, Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya, Minhajus Sunnah, beliau menyatakan bahawa :

“Orang-orang yang meriwayatkan pertikaian Hussain RA telah memberikan tambahan dusta yang sangat banyak, sebagaimana juga mereka telah membubuhkan dusta pada peristiwa pembunuhan terhadap Utsman RA, sebagaimana mereka juga memberikan tambahan cerita (dusta) pada peristiwa-peristiwa yang ingin mereka besar-besarkan, seperti dalam riwayat mengenai peperangan, kemenangan dan lain sebagainya. Para penulis tentang berita pembunuhan Hussain RA, ada diantara mereka yang merupakan ahli ilmu seperti al-Baghawi dan Ibnu Abi Dunya dan sebagainya. Namun demikian, diantara riwayat yang mereka bawakan ada yang terputus sanadnya. Sedangkan yang membawakan cerita tentang peristiwa ini dengan tanpa sanad, kedustaannya sangat banyak”

Berdasarkan apa yang ditegaskan oleh Syeikhul Islam, maka menjadi kewajipan untuk kita semua memastikan penceritaan atau kronologi peristiwa ini mestilah bersumberkan riwayat yang sahih tanpa tokok tambah. Dalam hal ini, terdapat riwayat-riwayat sahih seperti yang dibawakan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya, juga seperti yang dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Bidayah wal-Nihayah dan lain-lain riwayat lagi yang sahih. Episod dukacita di Karbala ini bermula setelah Yazid bin Muawiyah menaiki takhta pemerintahan selepas kemangkatan bapanya, Muawiyah bin Abu Sufyan. Sebelum daripada Muawiyah, Hasan bin Ali bin Abu Talib, anak kepada Saidina Ali dan cucunda baginda Nabi SAW telah diangkat sebagai khalifah. Hasan bin Ali bin Abu Talib diangkat menjadi khalifah setelah perginya menuju ilahi ayahandanya, Saidina Ali bin Abu Talib. Demikian rentetan ringkas perjalanan kepimpinan Islam yang silih berganti sehinggalah digantikan oleh Yazid bin Muawiyah.

Semasa hujung hayat Muawiyah RA, beliau yang menjadi khalifah yang berpusat di Syam, setelah mengambil kira pandangan banyak pihak dan ditimbang tara akan semua hal, maka beliau telah mewasiatkan agar penggantinya ialah anaknya Yazid bin Muawiyah. Setelah Muawiyah RA meninggal dunia, maka diangkat pula Yazid bin Muawiyah sebagai khalifah dengan mengekalkan pusat pentadbirannya di Syam. Sejurus menjadi khalifah, Yazid bin Muawiyah telah mengutus surat kepada Gabenor Madinah, al-Walid bin Uqbah dengan mengkhabarkan akan kematian bapanya dan beliau telah diangkat menjadi khalifah. Beliau telah menuntut agar penduduk Madinah berbai'ah kepadanya. Khabar berita mengenai Yazid bin Muawiyah diangkat sebagai khalifah telah sampai ke pengetahuan al-Hussain dan beberapa sahabat Nabi lain seperti Abdullah bin Umar, Ibnu Zubair, Ibnu Abbas dan lain-lain. Pada masa sama, penduduk di Kufah yang terletak di Iraq, yang juga merupakan kawasan paling berpengaruh dengan pemerintahan Saidina Ali bin Abu Talib, telah mengutus surat kepada Saidina Hussain dan memintanya datang ke Kufah kerana penduduk disana telah bersedia berbai'ah melantiknya sebgaai khalifah.




Dalam banyak riwayat, disebutkan sejumlah 500 surat yang telah dihantar dan diterima oleh al-Hussain memujuknya untuk beliau datang ke Kufah bagi dilantik sebagai khalifah. Bagi memastikan kesahihan isi surat tersebut, al-Hussain telah meminta sepupunya, Muslim bin Aqil untuk pergi ke Kufah bagi meninjau dan menyelidiki akan kesahihan surat tersebut. Hasil tinjauan yang dilakukan oleh Muslim bin Aqil, kira-kira sejumlah 12 ribu orang Kufah telah sedia berbai'ah melantik al-Hussain sebagai khalifah. Maka dengan itu, al-Hussain telah menyatakan hasratnya untuk ke Kufah kepada para sahabat. Namun begitu, para sahabat tidak bersetuju dengan hasrat tersebut kerana sebelum daripada itu, penduduk Kufah telah banyak melakukan masalah kepada pemerintahan ayahandanya, Ali bin Abu Talib. Antara yang membantah hasrat al-Hussain ialah Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Zubair dan Abu Sa'id al-Khudri.

Sementara itu di Kufah, dibawah pemerintahan khalifah Yazid bin Muawiyah, gabenor di Kufah ialah Nu'man bin Basyir, yang merupakan seorang sahabat Nabi SAW. Nu'man telah mendengar berita mengenai Hussain yang mahu diangkat oleh penduduk Kufah sebagai khalifah di sana. Namun begitu, Nu'man tidak sangat mempedulikan hal itu. Sehinggalah khabar berita tersebut telah disampaikan oleh beberapa pengampu kepada Yazid dengan menyatakan Nu'man tidak berbuat apa-apa untuk pertahankan pemerintahannya. Sejurus itu, Yazid telah mengambil keputusan untuk memecat Nu'man bin Basyir dan melantik Ubaidillah bin Ziyad sebagai gabenor baharu menggantikan Nu'man bin Basyir. Ubaidillah sebelum itu merupakan gabenor di Basrah. Ini bermakna, Ubaidillah diberi amanah untuk berkuasa di Kufah dan Basrah. Setelah beliau diberi mandat, maka Ubaidillah telah menyelidiki akan berita konspirasi melantik Hussain sebagai khalifah. Beliau telah menghantar Ma'qil sebagai matanya di Kufah untuk menyiasat hal tersebut.

Hasil siasatan yang dilakukan oleh Ma'qil, beliau telah mendapati Hani' bin Urwah merupakan ketua kepada gerakan tersebut. Maka Ubaidillah bin Ziyad telah menangkap Hani' bin Urwah. Akibat tindakan menangkap ketua tersebut, semua penduduk Kufah telah berpaling tadah dengan tidak lagi mahu berbai'ah kepada al-Hussain kerana takut diapa-apakah oleh tentera Syam. Utusan al-Hussain ke Kufah, Muslim bin Aqil telah dibunuh. Setelah itu, Ubaidillah bin Ziyad telah mengutuskan al-Hurr bin Yazid al-Tamimi untuk menahan rombongan al-Hussain ke Kufah. Al-Hurr telah menahan al-Hussain dan rombongannya di Qadisiyyah dan meminta Hussain untuk pulang dan jangan pergi ke Kufah. Pada ketika itu juga, Hussain telah menerima berita kematian Muslim bin Aqil. Sejurus itu, Hussain seperti ada hasrat untuk berpatah balik. Pun begitu, anak-anak keluarga Muslim bin Aqil yang juga antara ahli rombongan Hussain, menegaskan bahawa mereka tidak perlu berpatah balik dan perlu menuntut bela kematian bapa mereka iaitu Muslim bin Aqil.




Maka Saidina Hussain bersama rombongan meneruskan perjalanan ke Kufah. Setibanya Hussain dan rombongan di Karbala, Umar bin Saad bin Abi Waqas menunggu di sana dengan sejumlah empat ribu angkatan tentera Syam. Beliau merupakan wakil gabenor Ubaidillah bin Ziyad. Umar bin Saad telah meminta Hussain untuk berpatah balik. Maka al-Hussain telah memberi 3 pilihan kepada Umar bin Saad. Pertama, Hussain dan rombongan berpatah balik. Kedua, Hussain akan pergi ke mana-mana wilayah lain dan ketiga, Hussain bertemu Yazid dan berbai'ah padanya. Maka Umar bin Saad bersetuju dengan pilihan ketiga dan membawa mesej tersebut kepada gabenor. Setelah itu, gabenor dinasihati oleh seorang pengampunya, Syamrun bin Dzil Jausyan, untuk meminta al-Hussain menyerah diri di Kufah. Maka Ubaidillah telah menghantar Syamrun untuk selesaikan dengan al-Hussain. Maka Syamrun telah berdepan dengan al-Hussain dan meminta al-Hussain menyerah diri kepada gabenor Kufah.

Al-Hussain telah meminta ruang untuk beliau menunaikan solat malam dahulu sebelum berfikir memberikan jawapan. Namun begitu, pada masa yang sama, rombongan al-Hussain yang terdiri daripada ahlul bait antaranya anak-anak Saidina Ali yang lain yang bernama Umar, Abu Bakar, Utsman, anak-anak kepada Muslim bin Aqil dan termasuk juga anak kepada al-Hussain, Ali Akhbar, telah menyerang tentera Syam dan kesemuanya gugur di medan perang. Ekoran itu, tentera Syam telah mengepung Hussain dan telah membunuh Hussain. Kepala al-Hussain telah dipancung yang sebahagiannya mengatakan dipancung oleh Sinan bin Anas dan sebahagian lain mengatakan Syamrun yang memancungnya. Kepala al-Hussain telah dibawa kepada Ubaidillah bin Ziyad, gabenor Kufah dan Basrah. Ubaidillah bin Ziyad telah menjolok mulut Hussain. Lalu Anas bin Malik berkata kepada Ubaidillah kecelakaan untuk kau. Anas bin Malik dengan tegas berkata beliau pernah Rasulullah cium pipi al-Hussain.

Sesungguhnya pembunuhan al-Hussain bukanlah arahan oleh Yazid bin Muawiyah. Sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, pembunuhan al-Hussain bukanlah datang dari arahan Yazid. Ini kerana Yazid bin Muawiyah sendiri menyesali dan merasa sedih dengan apa yang telah berlaku. Adapun cerita yang mendakwa Yazid lah yang memberi arahan untuk membunuh adalah datang daripada riwayat yang batil. Dalam isu ini, umat Islam terbahagi kepada tiga kumpulan. Pertama, kumpulan yang disebut sebagai Nawasib, yang menyokong usaha membunuh al-Hussain kerana mereka mendakwa al-Hussain ingin menentang khalifah. Kedua, kumpulan Syiah yang mengagumi al-Hussain. Ketiga, kumpulan Ahlus Sunnah yang menyatakan sedih akan peristiwa tersebut tetapi tidaklah sehingga mencerca para sahabat. Demikianlah sejarah panjang yang mendukacitakan kita. Tidak ada sesiapa yang suka akan episod hitam ini namun itulah realitinya. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan