Dakwah membawa makna mengajak, memanggil,
menjemput juga boleh dikatakan menyeru. Dakwah merupakan tanggungjawab setiap
yang bergelar muslim, tidak kira apa pun latar belakangnya, dakwah satu
tanggungjawab yang mesti digalas dan ianya bukan lah satu pilihan ya atau
tidak. Setiap muslim menggalas tanggungjawab ini. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat
104 yang bermaksud :
"Dan hendaklah ada di antara kamu
segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang baik dan
mencegah dari yang mungkar, mereka lah orang-orang yang beruntung"
Tidak ada ajakan, jemputan dan seruan yang
lebih mulia dan lebih tinggi melainkan mengajak dan menyeru manusia
mentauhidkan Allah Azza Wa Jalla. Perkara ini disebutkan oleh Allah SWT dalam
surah Al Fussilat ayat 33 yang bermaksud :
"Dan tidak ada yang lebih baik
perkatannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi
perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal soleh, sambil berkata :
"Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang islam (yang berserah bulat-bulat
kepada Allah)."
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari,
baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
"Demi Allah apabila ada seorang
sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu
daripada unta merah (sejenis unta yang paling baik)."
Demikian beberapa dalil hujah yang
menunjukkan bahawa betapa tinggi dan besarnya kedudukan serta ganjaran bagi
mereka yang berdakwah khususnya kepada golongan bukan muslim, mengajak manusia
mentauhidkan Allah Azza Wa Jalla. Barangkali ada dikalangan muslim yang
berusaha keras untuk menyampaikan dakwah kepada bukan muslim, tetapi pada sama
jangan sesekali kita terlari daripada niat asal kita berdakwah.
Berkemampuan berdakwah adalah salah satu
anugerah nikmat yang tidak ternilai bagi kita. Diatas sedikit kelebihan,
kelapangan masa juga kekuatan diri sendiri, telah membuatkan seseorang itu
mampu berdiri sebagai seorang pendakwah hebat. Apatah lagi berjaya mengislamkan
orang bukan muslim, bertambah nikmat serta rahmat dari sisi Nya. Namun
disebalik semua ini, jangan pula kita memakai pakaian sombong, berlagak, mudah
merendahkan orang lain yang tidak mampu berdakwah seperti kita.
Ingat lah bahawa iblis yang juga dahulu
penghuni syurga, dihalau keluar dan di laknat angkara sifat sombong, takabbur
dan bangga diri. Semua sifat ini boleh kita simpulkan sebagai "berlagak".
Adalah tidak adil untuk menghukum orang lain tidak bersemangat dakwah hanya
kerana tidak mampu bergerak melakukan kerja seperti kita. Kerana setiap diri
manusia itu telah dijadikan kelebihan dan kekurangan sebagai tanda hamba itu
lemah.
Allah Azza Wa Jalla berfirman dalam surah
An Nisa' ayat 2 yang bermaksud :
"Dan manusia diciptakan dalam
keadaan lemah"
Kata Imam Ibn Qayyim dalam kitab
karangannya, Thariqul Hijratain, yang paling tepat makna kelemahan di sini
meliputi semua aspek secara umum. Kelemahannya lebih dari itu. Bukan sekadar
lelaki tidak tahan dengan godaan wanita, bahkan manusia itu juga lemah dari
segala sudut kehidupan. Ini bermakna, kelebihan dan kekurangan setiap manusia
adalah bukti manusia itu lemah dan saling lengkap melengkapi antara satu sama
lain.
Oleh itu, seharusnya kita meluruskan dan
memperbetulkan niat berdakwah adalah untuk mengajak manusia kembali
mentauhidkan Allah, dan bukannya untuk mendabik dada akan kejayaan kerja dakwah
kita semata-mata. Ukuran iman, ketaqwaan serta keikhlasan yang paling tepat
adalah daripada Allah. Manusia sekadar bersangka-sangka atas apa yang manusia
nampak zahirnya. Hakikatnya Allah jualah yang lebih mengetahui. Semoga Allah
merahmati dan meredhai kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan