Islam adalah suatu cara hidup yang
menyeluruh. Bermula dari kita bangun tidur di awal pagi sehingga kita kembali
tidur di waktu malam. Bermula dari di tiupkan roh di alam rahim hingga kita
dibangkitkan semula di negeri abadi akhirat kelak. Maka segala gerak geri dan
amal perbuatan adalah mesti bertujuan taat patuh pada Nya.
Ibadah adalah suatu bentuk ketaatan kita
kepada Allah Azza Wa Jalla. Taat dalam melakukan suruhan Nya dan taat dalam
meninggalkan larangan Nya. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 102 yang
bermaksud :
" Wahai orang-orang yang beriman,
bertaqwa lah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada Nya, dan jangan lah
sekali-kali kamu mati melainkan dalam beragama Islam "
Maksud taqwa lah kepada Allah membawa
makna melakukan ketaatan kepada Nya dengan melakukan suruhan Nya dan menjauhi
segala larangan Nya. Termasuk dalam suruhan Nya adalah mentaati pemerintah.
Dalam banyak ayat Al Quran, seringkali di ulang ayat tentang taat kepada
pemerintah. Maka dalam segala hal pentadbiran, apa yang telah di putuskan oleh
pemerintah menjadi kewajipan kita untuk mentaatinya selagi mana arahan tersebut
tidak melanggar syarak.
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim,
baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
" Hendaklah kamu dengar dan patuh
(kepada pemerintah) walaupun belakang kamu di pukul dan harta kamu diambil
"
Kata al Syahid Syeikh Dr. Said Ramadan al
Buti, hikmah disebalik wasiat hadis ini adalah supaya tidak terbuka pintu
fitnah yang tidak mampu di tutup oleh sesiapa pun selepas ini. Hadis ini juga
menjelaskan kepada kita bahawa ketaatan pada pemerintah adalah kekal selama
mana arahan tersebut tidak menyanggahi syarak.
Maka, pematuhan SOP yang telah diputuskan
oleh para pemerintah dengan mengambil kira maslahah ummah dan hal itu tidak
bercanggah dengan Al quran dan As Sunnah, wajib kita dengar dan kita taat. Usah
lah timbulkan persoalan konspirasi itu ini, agenda yahudi dan sebagainya. Ini
semua boleh membuka ruang fitnah dan memburukkan lagi keadaan.
Ibadah kepada Allah bukan sahaja dalam
hal solat, puasa, zakat dan haji sahaja bahkan mentaati arahan atau
undang-undang yang diputuskan oleh pemerintah yang sah juga merupakan satu
ketaatan ibadah kita kepada Allah. Sebaliknya, jika kita melawan, ingkar dan
tidak patuhi SOP, hal ini bermaksud kita sudah tidak mentaati arahan Allah
untuk dengar dan taat pemerintah.
Firman Allah SWT dalam surah al Anbiya'
ayat 7 yang bermaksud :
"...maka tanyakan lah olehmu pada
orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui"
Berhentilah dari terus mencetuskan teori
konspirasi itu ini. Bertanyalah dan rujuklah pada ahli nya sekiranya ada yang
tidak berpuas hati. Keputusan solat dengan jarak 1 meter bukanlah semudah
belajar ABC, namun percayalah, Allah sedang mendidik kita supaya tidak terlalai
dan terleka dengan kehebatan yang kita ada kerana hakikatnya Allah jualah
segala penguasa. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan