Persoalan ini seringkali ditanya oleh
mereka yang bukan muslim. Malah kadang kala terdapat segelintir masyarakat
orang muslim juga tertanya-tanya apakah relevan nya Allah ciptakan syurga dan
neraka andai Allah itu bersifat dengan Maha Pengasih ? Sekiranya benar Allah
itu Maha Pengasih, mengapa tidak mengampuni semua hamba Nya dengan sifat
pengasih Nya dan memasukkan semua hamba Nya ke syurga.
Pertamanya, kehendak Allah itu tidak
bergantung pada hasrat dan impian makhluk Nya. Dia berkehendak dengan menciptakan
apa-apa sahaja meski pun tidak rasional di sisi makhluk Nya. Hatta, malaikat
juga pernah mempersoalkan tujuan Allah menciptakan manusia dan menjadikan
manusia sebagai khalifah di atas dunia ini. Firman Allah SWT dalam surah al
Baqarah ayat 30 yang bermaksud :
" Dan ingatlah ketika Tuhanmu
berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di muka
bumi". Mereka berkata, " Adakah Engkau hendak menjadikan orang yang
merosakkan dan menumpahkan darah di sana sedangkan kami sentiasa bertasbih dan
mensucikan Mu ?". Allah berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui apa
yang tidak kamu ketahui".
Demikian dialog Allah bersama para
malaikat Nya yang mempersoalkan tentang rasional menjadikan manusia sebagai
khalifah walhal para malaikat mendakwa Allah lebih tahu bahawa manusia ini akan
merosakkan dan bergaduh berperang sesama sendiri. Namun atas kehendak Nya,
tidak ada yang lebih mengetahui melainkan hanya Dia lah sahaja.
Keduanya, tujuan penciptaan syurga dan
neraka ini adalah ujian bagi para hamba Nya yang benar-benar mendambakan
keredhaan Nya. Sekiranya tiada syurga dan neraka, nescaya manusia jahat juga
akan di lihat sebagai baik kerana tiada apa yang perlu di bimbangkan sekiranya
melakukan kezaliman. Boleh juga kita katakan bahwa penciptaan syurga dan neraka
juga adalah suatu kayu ukur motivasi manusia untuk melakukan kebaikan dan
amaran kepada manusia untuk menjauhi kezaliman.
Maka timbul lagi persoalan, apakah neraka
diciptakan bertujuan menghukum hamba Nya semata-mata ? Jawapannya sudah tentu
tidak. Allah Azza Wa Jalla tidak akan sesekali menghukum seseorang hamba Nya
melainkan setelah datangnya peringatan dan ancaman padanya. Allah dengan sifat
Nya yang Maha Pengasih, tidak akan menghukumkan seseorang melainkan setelah
membawa utusan untuk membimbing umat.
Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah an
Nahl ayat 36 yang bermaksud :
" Dan sesungguhnya Kami telah
mengutuskan seorang Rasul untuk setiap umat (untuk menyeru), "Sembahlah
Allah, dan jauhilah taghut", kemudian di antara mereka ada yang diberi
petunjuk oleh Allah dan ada pula yang tetap dalam kesesatan....."
Setelah diutuskan Rasul, maka menjadi hak
manusia memilih sama ada untuk menerima atau menolak dakwah dan seruan para
Nabi dan Rasul. Oleh itu, setelah membuat pilihan, maka manusia itu sendiri akan
bertanggungjawab dengan apa yang telah dipilihnya dahulu. Untuk itu, setimpal
lah dengan apa yang diterima sama ada syurga atau neraka berdasarkan pilihan
yang telah kita sendiri tentukan.
Penciptaan syurga dan neraka tidak lah
menafikan sifat kasih sayang Allah pada para hamba Nya. Ianya ibarat ujian
untuk melihat kesungguhan para hamba Nya melayakkan diri sebagai ahli syurga
atau neraka. Begitu juga dengan sistem pendidikan hari ini. Mengapa perlu
adanya ujian peperiksaan ? Adakah para guru tidak kasih pada anak muridnya ?
Sudah tentu tidak. Ujian peperiksaan dijalankan adalah bertujuan menguji
kemampuan para murid semata-mata.
Demikianlah mengapa adanya syurga dan
neraka. Ianya sebuah ujian untuk melihat yang terbaik dalam kalangan hamba Nya.
Meskipun Allah lebih mengetahui penghujung nasib hidup kita, namun atas
kemahuan Nya juga, Allah boleh mengubah nasib kita dengan kekuasaan dan
pengetahuan Nya. Semoga Allah berikan kita petunjuk serta taufik Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan