Rabu, 28 Oktober 2020

PERLIS & SEJARAH GERAKAN ISLAH

 

Gerakan pengislahan umat Islam telah muncul bagi memurnikan semula fahaman umat Islam yang dilihat kian hari kian menyimpang jauh. Gerakan islah ini juga muncul hasil tindak balas para sarjana & cendiakawan Islam bangkit dan menentang pengaruh falsafah daripada meresap masuk ke dalam ibadah orang Islam.

Pengaruh pemikiran falsafah yang ketika itu mula berkembang luas di seluruh dunia telah bercampur aduk dengan pegangan dan ajaran Islam. Maka bermula dari episod penyebaran luas falsafah ini, muncul lah beberapa aliran-aliran dan amalan yang dicipta yang juga terkeluar dari landasan ajaran Islam sebenar. Aliran dan amalan yang bercampur dengan pengaruh falsafah ini bercanggah dan menyimpang jauh dari Al Quran & Sunnah.




Melihat kerancakan pengaruh falsafah ini, maka sebahagian besar para sarjana Islam mula bergerak untuk mengislahkan semula umat dari menyimpang jauh. Antara mereka ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim al Jauzi, Syeikh Muhammad Abdul Wahab, Imam Abu Hassan al Asha'ari, Imam Abu Mansur al Maturidi dan lain-lainnya.

Kesemua mereka ini meskipun berbeza pandangan antara satu sama lain, tetapi mereka bersepakat akan kepentingan umat Islam kembali ke ajaran Al Quran dan Sunnah. Pelbagai penulisan risalah, artikel dan makalah dikarang dan dicetak, malah diterjemah dalam pelbagai bahasa untuk mengajak seluruh umat Islam kembali kepada Al Quran dan Sunnah seperti mana yang diamalkan oleh umat Islam di zaman baginda Nabi SAW, di zaman para sahabat dan di zaman tabi'in.

Perlis antara negeri yang menerima kesan langsung gerakan islah. Kesan dari gerakan ini telah menjadikan Perlis sebuah negeri yang terbuka dalam menerima pakai dan meraikan semua pandangan mazhab. Untuk itu, bagi memutuskan sesuatu isu khilaf, pemerintah bertanggungjawab memberi kata putus berdasarkan pandangan ahli syura jawatankuasa fatwa.

 


 

Gerakan islah di negeri Perlis telah dibawa oleh seorang tokoh ulama, Syeikh Hassan Bin Ahmad berasal dari Surabaya Indonesia. Namun keberadaan beliau tidak lah lama. Akibat fitnah dan tohmahan terhadapnya, maka beliau telah di usir keluar oleh Syed Alwi. Beliau dituduh membawa ajaran baru dalam agama Islam. Namun pada tahun 1928, beliau datang semula ke Perlis untuk menyebarkan sunnah.

Menurut Haji Abdullah Hussin, salah seorang anak murid Syeikh Hassan Bin Ahmad, gurunya telah membuat pembaharuan dan pengislahan dengan menentang segala perbuatan khurafat dan bida'ah dalam agama Islam. Namun atas kegigihan tokoh ulama kita sewaktu itu, maka akhirnya pengislahan telah berkembang pesat di bumi Perlis sehingga akhirnya, telah terbentuk sebuah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis yang mengkanunkan perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah tanpa terikat dengan mana-mana mazhab tertentu.

Sejarah pengislahan Perlis akan terus mekar di hati dan rakyatnya. Sewajarnya bagi kita yang lahir dan hidup di Perlis, wajib dan mesti memahami sejarah pengislahan ini agar tidam terperangkap dengan provokasi labelan "kaum muda", "wahabi" dan selainnya. Bagi mereka yang bukan berasal dari Perlis, adalah lebih baik memahami dahulu sejarah Perlis sebelum menuduh yang bukan-bukan. Semoga Perlis terus menjadi pusat pengislahan umat dari segala perkara khurafat, syirik, bid'ah dan perkara yang memperbodohkan akal. Moga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan