Dalam kerangka politik bersifat
demokrasi yang terikat dengan suara
majoriti, kebebasan menubuhkan apa-apa gerakan parti adalah manifestasi dan
terjemahan kepada makna demokrasi. Diatas nama demokrasi, gerakan parti berhak
di kritik atas nama apa sekalipun.
Ini termasuklah gerakan Islam yang boleh
di kritik jika benar terdapat kesilapan atau kekhilafan. Gerakan yang
menggunakan jenama Islam tidak bermaksud mereka mewarisi sifat maksum, yang
mana maksum itu sendiri membawa maksud terlindung daripada melakukan kesilapan.
Sesuatu gerakan atau kepartian yang
menyandarkan kepada kalimah Islam, tidak akan terlepas daripada melakukan
kesilapan. Oleh itu, mereka boleh di kritik bahkan mesti di tegur kerana
bimbang tindakan mereka ini akan membawa kepada salah faham terhadap Islam.
Pada zaman salaf dahulu, terdapat dikalangan manusia yang mendakwa hanya mereka
sahaja yang mengikuti Islam sebenar. Namun sebenarnya mereka ini telah
melampaui batas dan mereka itulah yang disebutkan sebagai Khawarij.
Dalam hadis riwayat Bukhari, Abu Said al
Khudri ada bercerita bahawa baginda Nabi SAW ada membahagikan harta rampasan
perang. Ketika selesai membahagikan harta rampasan tersebut, ada segelintir
pihak yang tidak berpuas hati dan membantah baginda Nabi. Bantahan mereka itu
telah membuatkan Khalid Al Walid bengang dan mohon izin untuk pancung kepala
mereka.
Tetapi baginda Nabi tidak membenarkan
dengan alasan mereka masih menunaikan solat. Khalid berkata " berapa ramai
orang yang menunaikan solat yang berkata dengan lidahnya tidak sama dengan apa
yang ada dalam hatinya". Baginda Nabi menjawab " Aku tidak pernah
disuruh mengorek apa yang ada di dalam hati dan mengetahui isi perutnya".
Hadis ini menjelaskan pada kita bahawa
walaupun baginda Nabi dikritik, di bantah sekalipun, Nabi tidak pernah melabel
mereka yang membantah itu sebagai penentang Islam, anti Islam dan sebagainya.
Ini membuktikan manusia diberi ruang untuk menegur dan mengkritik sesuatu
selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat.
Oleh itu, mengkritik gerakan Islam bukan
lah bermakna kita menentang Islam bahkan ianya tanda kasih dan sayang kita pada
ketulenan beragama agar ia tidak dicemari dengan unsur buruk yang boleh
mencalarkan Islam. Gerakan Islam juga mestilah bersifat terbuka menerima sebarang
kritikan sekaligus dijadikan ruang bermuhasabah diri. Ingat, iblis itu licik.
Di segenap ruang iblis akan menyesatkan anak cucu Adam. Semoga kita semua
dirahmati oleh Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan