Ahad, 25 Oktober 2020

ANTARA ISLAM & LIBERAL : MATLAMAT SAMA DENGAN JALAN BERBEZA

 

Tidaklah keterlaluan sekiranya kita mengatakan bahawa sebahagian prinsip pejuang liberal itu telah pun sekian lama terkandung dalam intipati ajaran agama Islam. Dalam erti kata mudah, sebenarnya Islam telah pun menjadi liberal sebelum perjuangan liberal itu sendiri muncul dan diperjuangkan.

Dalam perkembangan fahaman liberalisme yang menggunakan pendekatan sekular terhadap institusi pemerintahan dan agama, ianya telah membangkitkan umat manusia menuntut hak kebebasan hingga sanggup berdemonstrasi dan berperang. Keadaan ini dilihat sebagai suatu kebangkitan rakyat daripada di belenggu oleh kuasa dan pengaruh agama yang bersikap jumud.




Walhal, Islam sejak dahulu lagi telah memberikan pengiktirafan dan kemuliaan kepada manusia untuk bersikap bebas dalam menentukan kehidupan dengan dipandu oleh wahyu serta mengangkat martabat dan nilai diri manusia kearah yang lebih tinggi dan terhormat. Dalam surah al Isra' ayat 70, Allah SWT berfirman :

"Sesungguhnya Kami telah memuliakan amak-anak Adam dan Kami telah beri mereka berbagai-bagai kenderaan di darat serta di laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya melebihi makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan"

Berdasarkan firman ini, Allah Azza Wa Jalla menggunakan perkataan "Bani Adam" yang membawa makna yang luas merentasi batas perbezaan pangkat, warna kulit dan bangsa, juga merentasi perbezaan agama. Ini juga menjelaskan pada kita bahawa Allah sendiri telah mengiktiraf kemuliaan manusia dengan memberikan pelbagai perkara dalam kehidupan melebihi makhluk ciptaan Nya yang lain.

Perjuangan Liberal tidak dapat kita pisahkan dari terma "kebebasan". Inilah dasar ampuh golongan liberal yang bangkit dan memperjuangkan hak kebebasan manusia. Antara hak yang diperjuangkan oleh golongan liberal adalah hak kesamarataan, hak keadilan sosial tanpa prejudis gender dan hak kebebasan menentukan hidup.


Kesemua hak yang diperjuangkan ini telah pun di muktamadkan oleh syariat Islam berpandukan wahyu Al Quran dan As Sunnah. Misalnya, dalam isu kesamarataan, sebuah hadis Nabi SAW riwayat Bukhari & Muslim, ketika baginda Nabi SAW berkhutbah, baginda bersabda yang bermaksud :

"Demi Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad telah mencuri, nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya"

Jelas dan terang membuktikan kepada kita bahawa hak kesamarataan manusia ditegakkan oleh Islam secara berprinsip tanpa mengenal sesiapa pun. Dalam sebuah hadis yang lain, riwayat Imam Ahmad dalam al Musnad, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesunguhnya bapa kamu satu. Justeru ketahuilah bahawa tiada kelebihan orang Arab nelebihi orang 'Ajam dan tidaklah orang 'Ajam melebihi orang Arab serta tidaklah orang berkulit hitam lebih istimewa berbanding kulit merah dan tidaklah yang berkulit merah lebih baik daripada berkulit hitam, melainkan dengan bertaqwa"

Dapatlah kita fahami akan beberapa dalil serta hujah yang membuktikan bahawa Islam terlebih dahulu mengiktiraf kesamarataan sebelum kemunculan Liberal dan menafikan kelebihan berdasarkan warna kulit, keturunan dan bangsa tertentu melainkan hanya dengan bertaqwa kepada Allah SWT. Dalam hak keadilan sosial tanpa prejudis gender, Islam telah melindungi wanita dengan mengiktiraf maruah serta harga diri kaum wanita melalui syariat menutup aurat dan pada masa sama memerintahkan kepada kaum lelaki supaya menjaga pandangan.




Secara prinsipnya, apa yang selama ini diperjuangkan oleh Liberal, telah sekian lama menjadi tuntutan serta intipati dalam ajaran agama Islam. Ianya telah termaktub dalam kitab perlembagaan Islam iaitu Al Quran & As Sunnah.  Islam sejak dahulu menekankan kepentingan hak manusia dan begitu juga acuan ideologi Liberal. Matlamat perjuangan yang sama. Namun, apa yang membezakan Islam dan Liberal adalah cara berjuang meraih hak bersifat mutlak.

Dalam Islam, tidak ada yang dimaksudkan dengan hak yang bersifat mutlak. Kerana yang mutlaknya adalah kembali kepada kebijaksanaan, keagungan serta kebesaran Allah SWT. Manusia itu bersifat lemah dan tidak boleh berdiri sendirinya tanpa bantuan kuasa mutlak daripada Nya. Maka, bagaimana mungkin seseorang manusia itu mempunyai hak mutlak sedangkan dirinya tidak mampu berdiri dengan sendiri. Semua aturan kehidupan telah berjalan dengan sistem yang diatur oleh Nya. Maka tiada yang mutlak selain Allah SWT. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan