Jumaat, 16 Oktober 2020

HAK KESAMARATAAN : ISLAM MENGUNGGULI PRINSIP KESAMARATAAN MERENTASI ZAMAN

 

Antara perkara yang tidak dapat kita nafikan dan ianya sudah menjadi nilai berprinsip di dalam agama Islam sejak sekian lama dahulu ialah hak kesamarataan yang dicanangkan oleh golongan Islam liberal. Sejak wahyu diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW, diturunkan juga beberapa ayat yang menekankan tentang hak kesamarataan.

Nilai kesamarataan ini telah terlaksana sejak zaman baginda Nabi SAW lagi. Malah setelah kewafatan baginda Nabi, pelaksanaan nilai kesamarataan ini diteruskan oleh para pemerintah khulafa', Ar Raasyidin. Sangat penting juga untuk kita faham bahawa hak kesamarataan ini terwujud bukan lah kerana hasil pertembungan ideologi mahupun revolusi seperti yang tercatat dalam sejarah sistem demokrasi yang dilihat tercetus dari dunia Barat.



Tetapi prinsip dan hukum kesamarataan dalam Islam ini telah terbina diatas pengajaran wahyu Allah tanpa melalui perbincangan, revolusi atau lain-lain. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

"Wahai umat manusia, Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki & perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak, supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain)....."

Prinsip kesamarataan di Islam diperkukuhkan lagi dengan sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya bapa kamu satu. Justeru ketahuilah bahawa tiada kelebihan orang Arab melebihi orang 'Ajam dan tidaklah orang 'Ajam melebihi orang Arab serta tidaklah orang berkulit hitam lebih istimewa berbanding yang berkulit merah dan tidaklah yang berkulit merah lebih baik daripada yang berkulit hitam, melainkan dengan bertaqwa"

(Hadis riwayat Imam Ahmad)



Prinsip kesamarataan ini adalah bersifat menyeluruh, tiada yang diberikan keistimewaaan, bangsa apa pun dia, berketerunan apa pun dia, hak kesamarataan ditegakkan dengan prinsip dan nilainya. Bukan sekadar menjadi slogan di mulut, tidak sekadar menghiasi ucapan yang indah, tetapi ianya ditegakkan dengan penuh keadilan.

Antara contoh yang jelas berkaitan hak kesamarataan ini, dalam hadis riwayat bukhari & muslim, diceritakan ketika Usamah Bin Zaid diminta oleh sebahagian sahabat untuk meminta pelepasan bagi seorang wanita yang mulia dalam kaumnya daripada disabitkan hukum hudud kerana mencuri, maka baginda Nabi bersabda :

"Adakah kamu meminta pelepasan daripada hukum yang ditetapkan oleh Allah ? Kemudian baginda berkhutbah dihadapan orang ramai dengan bersabda : Demi Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad telah di dapati mencuri, nescaya aku sendiri yang akan potong tangannya."

Demikian prinsip dan hukum kesamarataan ditegakkan oleh Islam. Ianya datang daripada tuntutan wahyu yang suci bersih dari campur tangan manusiawi. Kononnya hari ini, dicanangkan segolongan manusia mencetuskan semangat menegakkan nilai kesamarataan, padahal Islam telah mendahului menegakkan prinsip dan hukum kesamarataan ini merentasi zaman dan kepentingan. Semoga Allah meredhai kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan