Isnin, 5 Oktober 2020

MENJUAL ARAK : ANTARA "IZIN" & "REDHA"

Menjadi perbualan hangat dikalangan muslim hari ini apabila ada yang mendakwa bahawa kerajaan sejak dahulu lagi telah melakukan kemungkaran dan kemaksiatan dengan membenarkan arak di jual dan di dapati dengan begitu mudah. Malah ada juga yang mencadangkan agar arak di haramkan penjualan, disekat dan di hapuskan penjualannya.

Pertamanya, adalah terlebih dahulu menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan orang Islam tidak meminum arak. Maka untuk memastikan hal itu, dilaksanakan undang-undang larangan meminum arak kepada muslim. Keduanya, sebelum kita menghukum sesuatu perkara dengan lebih jauh, adalah menjadi kepentingan bagi kita untuk memahami dan menghayati benar-benar dua perkataan ini iaitulah perkataan izin dan redha. Izin dan redha merupakan dua perkataan yang membawa kepada dua maksud yang berbeza. Izin tidak semestinya diredhai. Sebaliknya, redha tidak semestinya di ikat dengan izin.


Misalnya, apabila penganut agama selain Islam, memohon kebenaran kepada pihak pemerintah (ulil amri) untuk membina rumah ibadat bagi agama mereka, maka kerajaan atas rasa tanggungjawab, setelah dinilai dan dibincang, maka diberikan kelulusan untuk membina rumah ibadat bagi mereka. Persoalannya, adakah kerajaan yang ditadbir dan di urus oleh kaum muslim, telah meredhai akan penyembahan berhala ? Apakah kerajaan telah redha akan perbuatan syirik tersebut ?

Sudah tentu tidak. Meskipun kerajaan membenarkan diatas rasa tanggungjawab pemerintah namun sama sekali tidak meredhai akan perbuatan kufur tersebut. Kerajaan memberikan kebenaran membina rumah ibadat agama lain adalah diatas sebab tadbir urus yang memegang amanah bagi memberikan hak bagi yang berhak. Menjadi kewajipan kerajaan menjaga kebajikan umat manusia supaya tidak ada yang di tindas dan sebagainya.

Begitu juga dengan isu penjualan arak. Kerajaan mengutip cukai arak dengan tujuan memberikan hak kepada masyarakat bukan muslim. Mereka yang tidak terikat dengan hukum syariah, dibenarkan untuk meminum. Larangan arak adalah tertakluk pada mereka yang bergelar muslim sahaja. Maka bukan lah menjadi suatu kesalahan sekiranya kerajaan membenarkan penjualan arak dengan syarat ianya di jual untuk orang bukan Islam.

Adakah kerajaan dianggap redha dengan kemungkaran menjual arak ? Tidak sama sekali. Keizinan telah berlaku tanpa keredhaan. Keizinan pula diberikan atas nama urus tadbir negara yang melibatkan pelbagai kaum, bangsa dan budaya. Oleh sebab itu, kita seharusnya bijak membezakan antara makna izin dan redha. Bukan semua benda yang di izinkan itu disertakan dengan redha.



Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, ketika baginda Nabi SAW membuat perjanjian Hudaibiyyah, Suhail Bin Amr mewakili Quraisy. Ketika Nabi membuat perjanjian, baginda Nabi tulis dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim. Maka kata kaum Quraisy, kami tidak tahu apa makna Ar Rahman dan Ar Rahim. Maka diperintahkan untuk tulis Bismikallahumma. Ketika itu Saidina Ali tidak mahu tulis. Tetapi Nabi perintahkan untuk tulis seperti yang diminta oleh kaum Quraisy. Melalui kisah ini, kita melihat bagaimana baginda Nabi mengikut kehendak kaum kafir Quraisy untuk menukar lafaz bismillah. Tetapi Nabi tidak sesekali redha dengan hal itu.

Demikian juga sikap golongan Khawarij yang ketika berdebat dengan Ibn Abbas, mereka mendakwa bahawa ketika Saidina Ali membuat perjanjian dengan Muawiyah, Saidina Ali telah menulis namanya Ali Bin Abu Talib tanpa menggunakan lafaz Amirul Mukminin. Khawarij menuduh Saidina Ali telah bersetuju menolak gelaran Amirul Mukminin ketika membuat perjanjian, maka Khawarij telah menyatakan Saidina Ali adalah Amirul Kaffirin kerana tidak menulis dalam perjanjian tersebut dengan gelaran Amirul Mukminin.

Begitulah pemikiran simplistik Khawarij dengan sewenang-wenangnya menuduh orang lain kafir hanya kerana berbeza ijtihad dengan mereka. Kita perlu berhati- hati dalam semangat mahu mencegah kemungkaran. Jangan lah sehingga kita menuduh dan memfitnah atas sangkaan kita sahaja. Walhal, sebaliknya, apa-apa kemungkaran yang berlaku seperti penjualan arak, pembinaan rumah ibadat agama selain Islam, sudah tentu ianya diizinkan atas nama urus tadbir negara tetapi sama sekali tidak meredhai akan sebarang kemungkaran tersebut. Semoga Allah pelihara kita semua dalam keimanan dan ketaqwaan pada Nya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan