Persoalan ini seringkali timbul di dalam
benak fikiran kita khususnya dikalangan muslim. Persoalan ini juga sering
menjadi faktor untuk muslim tidak berani untuk berdakwah kepada mereka yang
bukan muslim. Barangkali ada juga yang fikir lebih baik diam daripada berdakwah
hingga boleh menguris hati mereka yang bukan islam.
Dakwah itu sendiri membawa makna
mengajak, menyeru dan menjemput. Sudah tentu bila ada jemputan, ajakan mahupun
seruan, ada pihak yang menerima dengan senang dan ada pula yang menolak dengan
kebencian. Dakwah bukanlah kerja part time, bukan ruang untuk meraih
populariti, bukan peluang untuk mencari kekayaan, tetapi untuk menyebarkan
Islam dengan cara menyampaikan kebenaran.
Dalam catatan sirah baginda Nabi SAW,
gerakan dakwah Nabi bermula di bumi Mekah dengan cara sembunyi-sembunyi. Tujuan
nya adalah untuk menanamkan akidah, mentauhidkan Allah Azza Wa Jalla. Kemudian,
apabila umat semakin kuat akidah, maka berdakwah lah baginda Nabi secara
terang-terangan. Ini bermakna, keutamaan berdakwah adalah dengan mengajak
manusia kembali mentauhidkan Allah SWT.
Dalam konteks Malaysia hari ini, agama
persekutuan adalah agama Islam. Ini bermakna agama Islam yang berstatus agama
persekutuan Malaysia boleh disebarkan diatas nama perlembagaan negara. Jika kita
semak sekalipun, tiada sekatan ataupun sebarang peruntukkan undang-undang yang
boleh menyekat dan menghalang orang Islam menyebarkan dakwah. Ini sekaligus
membawa maksud kerja dakwah orang muslim di lindungi haknya di bawah perlembagaan negara.
Dakwah adalah wasilah untuk menghubungkan
antara orang Islam dan bukan Islam. Ianya peluang untuk orang Islam dan bukan
Islam berkongsikan apa yang menjadi kekeliruan dikalangan masyarakat yang
berbilang kaum dan agama. Misalnya seperti program Hari Terbuka Masjid, program
Street Dakwah, program Dialog Harmoni, antara ruang terbaik bagi orang Islam
berkomunikasi dengan mereka yang bukan Islam.
Melalui dakwah juga, masyarakat Islam
berpeluang untuk lebih mengenali akan isi kandungan agama yang lain, disamping
dapat mengetahui pantang larang dan sensitiviti sesuatu kaum dan agama. Ini
secara tidak langsung, dapat membantu masyarakat untuk lebih saling mengenali,
memahami dan menghormati antara satu sama lain. Firman Allah SWT dalam surah Al
Hujurat ayat 13 yang bermaksud :
"Wahai manusia sekalian,
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan,
kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling
kenal mengenali antara satu sama lain..."
Menerusi kalam Tuhan ini, kepelbagaian
bangsa dan kaum adalah ruang untuk saling mengenali dan dakwah merupakan
wasilah terbaik untuk mengimplementasikan maksud kalam Tuhan ini. Ada pun
dakwaan yang menyifatkan dakwah sebagai suatu ancaman, ianya hanyalah sebuah
teori kosong berbaur hasutan dan fitnah terhadap Islam. Sejak kita merdeka,
gerakan dakwah silih berganti dan tidak pula kedengaran sebagai ancaman.
Walhal, polimik politik lebih dasyat lagi hingga mencetuskan peristiwa 13 Mei.
Bukan kerana dakwah tetapi angkara politik durjana.
Kita mesti ingat bahawa golongan pelampau
tanpa kira apa pun agama dan bangsanya ini tidak akan berhenti meracuni
pemikiran masyarakat untuk membakar sentimen perpaduan yang akhirnya akan
menemplak kerja dakwah. Dakwah itu luas. Lain orang, lain pula pendekatannya,
namun mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menegakkan agama Allah. Dakwah
mesti dilihat dengan harmoni agar kita saling menghormati. Dakwah mesti
berpaksikan kebenaran agar kita tidak saling bercakaran. Fahami dakwah, hidup
akan lebih rahmah. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan