Khamis, 16 April 2026

BACAAN QUNUT ANTARA SUNNAH DAN BID'AH

 

Sedarkah kita bahawa sikap kreatif dan inovasi yang ada pada diri manusia telah membawa kepada dunia yang baharu pada hari ini. Jika dahulu, penggunaan telefon bimbit bertujuan semata-mata untuk berkomunikasi dan berhubung dengan mereka yang berjauhan, tetapi hari ini penggunaan telefon bimbit telah bertambah fungsi dan peranannya dan kriteria utama yang dilihat pada masa kini ialah kecanggihan kamera yang pelbagai versi. Begitu juga kreatifnya manusia sehingga dapat mewujudkan pelbagai platform media untuk umat manusia bersosial tanpa memerlukan pertemuan secara fizikal. Islam pada sudut kehidupan di dunia, secara prinsipnya tidaklah melarang sebarang bentuk kemajuan selagi kemajuan yang dibawa itu tidak menyalahi hukum syarak. Namun apabila datang kepada persoalan ibadah, segala bentuk kreatif dan inovasi manusia tidak diperlukan kerana secara asasnya ibadah tertakluk kepada teks wahyu al-Quran dan al-Sunnah, tidak boleh memandai-mandai untuk menambah atau mengurangkannya.

Perkataan "Qunut" adalah dari kosa kata bahasa Arab. Pada sudut bahasa, ungkapan qunut membawa kepada beberapa maksud yang pelbagai seperti berdiri lama, selalu taat, tunduk, diam dan doa. Menurut pemahaman pada sudut istilah pula, perkataan qunut merujuk kepada maksud bacaan doa yang dibaca oleh seorang Islam dalam solat pada tempat yang ditetapkan semasa berdiri. Umumnya, qunut merupakan doa khusus yang mengandungi ucapan doa dan puji-pujian kepada Allah SWT. Qunut boleh diucapkan dengan apa-apa jua lafaz yang memiliki dua unsur tersebut dan ini merangkumi juga ayat-ayat al-Quran dengan syarat hendaklah berniat untuk membaca qunut. Sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab Kasyifah al-Saja Syarh Safinat al-Naja, dinyatakan bahawa qunut ialah zikir khusus yang merangkumi doa dan puji-pujian kepada Allah Azza Wa Jalla. Ia boleh diucapkan dengan apa-apa lafaz yang membawa makna kepada dua unsur utama tersebut iaitu doa dan pujian kepada Allah. Persoalan yang seringkali menjadi polimik dikalangan umat Islam ialah tentang hukum bacaan doa qunut, apakah ia adalah sunnah atau bid'ah ?




Sebelum kita melihat lebih lanjut tentang hal ini, perlu kita jelaskan juga mengenai makna "Sunnah" dan "Bid'ah". Secara ringkas dan mudah untuk kita fahami, sunnah ialah merujuk kepada makna sebarang perbuatan, perkataan, persetujuan (taqrir) dan sifat perwatakan baginda Nabi sama ada secara zahirnya (luaran) mahupun secara batin (dalaman). Manakala istilah bid'ah pula sebagaimna yang disebut oleh Imam Abu Ishaq al-Syatibi, membawa maksud jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT. Terkait tentang bid'ah, dikalangan para ulama, mereka berbeza pandangan dalam bab menyatakan pembahagian jenis-jenis bid'ah. Pun begitu, kita boleh menyimpulkan bahawa bid'ah adalah sebarang bentuk rekaan amalan yang tidak ada asasnya dalam Islam dan bersifat melampau dan berlebihan dalam usaha mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sesungguhnya bacaan qunut terbahagi kepada dua jenis. Jenis pertama, dinamakan sebagai Qunut Ratibah, iaitu qunut yang disunatkan untuk membacanya pada dua tempat iaitulah ketika iktidal di dalam rakaat kedua solat subuh dan tempat keduanya ketika iktidal yang terakhir dalam solat sunat witir di bulan Ramadan.

Jenis qunut kedua pula ialah Qunut Nazilah. Bacaan qunut nazilah ialah bacaan doa yang disunatkan untuk dibaca di dalam solat ketika berlaku sesuatu musibah atau bencana khususnya yang melibatkan orang Islam. Maka kita simpulkan dengan menyebut qunut mempunyai dua jenis iaitu Qunut Ratibah dan Qunut Nazilah. Berbalik kepada isu pokoknya, apakah bacaan doa qunut itu dianggap sunnah atau bid'ah ? Bagi hukum membaca doa qunut di waktu solat subuh, para ulama berbeza pandangan mengenainya. Dalam mazhab Hanafi, mereka berpandangan bahawa tiada qunut khusus dalam solat subuh. Mereka berhujah dengan menyebut tidak ada riwayat sahih yang menyebut bahawa baginda Nabi Muhammad SAW konsisten membaca qunut subuh sebagai amalan harian. Bagi mereka dikalangan ulama mazhab Hanafi menyatakan qunut hanya dilakukan dalam solat witir dan dalam keadaan tertentu seperti qunut nazilah. Dalam mazhab Maliki pula, bacaan doa qunut dalam solat subuh adalah sunat. Tetapi doa qunut tersebut hanya dilakukan sebelum rukuk dan bukannya selepas rukuk. Bagi mazhab Syafie pula, hukum membaca doa qunut dalam solat subuh adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut).

Hujah bagi mereka dalam mazhab Syafie yang menyatakan qunut subuh adalah sunat muakkad berdasarkan sebuah hadith riwayat al-Baihaqi, daripada Anas bin Malik, katanya yang bermaksud :

“Sesungguhnya Nabi SAW membaca qunut (nazilah) selama sebulan mendoakan ke atas mereka kemudian baginda meninggalkan membacanya. Dan adapun bacaan qunut pada solat subuh maka sentiasa baginda membacanya sehingga baginda wafat.”




Selain itu, bagi mazhab Hanbali pula, mereka berpandangan tidak disyariatkan membaca doa qunut dalam solat subuh secara khusus kecuali pada situasi qunut nazilah. Ini kerana bagi mereka, amalan doa qunut sebagai amalan khusus dalam keadaan tertentu sahaja dan bukannya amalan berterusan. Maka berdasarkan kepada perbezaan pandangan ini, dapat kita rumuskan bahawa bagi bacaan doa qunut dalam solat subuh, para ulama empat mazhab saling berbeza pandangan hukum. Bagi mazhab Syafie dan Maliki, bacaan doa qunut subuh adalah sunat manakala bagi mazhab Hanafi dan Hanbali pula qunut subuh tidak diamalkan secara khusus kecuali dalam keadaan tertentu seperti qunut nazilah. Oleh itu, hukum qunut subuh di fahami dengan dua pandangan utama. Ada sebahagian dikalangan para ulama menyatakan qunut subuh adalah sunnah dan ada pula sebahagian lagi dikalangan para ulama menyebut qunut subuh adalah bid'ah. Antara yang menyatakan qunut subuh adalah bid'ah ialah Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi yang menyatakan dalam kitabnya al-Mughni, beliau menyebut qunut subuh berterusan adalah bid'ah. Maka tidak hairanlah jika kita mendapati amalan bacaan doa qunut dalam solat subuh di serata negara berbeza-beza mengikut pandangan yang dipilih masing-masing.

Hukum bagi qunut nazilah dan qunut dalam solat witir pula, para ulama Ahl al-Sunnah wal Jama'ah telah bersepakat akan hukumnya adalah sunnah. Ini berdasarkan dalil yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Anas bin Malik RA yang bermaksud :

"Bahawasanya Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan meminta bantuan daripada Nabi SAW untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka Baginda SAW menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qura’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’una, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, baginda membaca qunut (nazilah) selama sebulan dalam solat subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas puak arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan".




Begitu juga dengan pensyariatan qunut dalam solat witir di bulan Ramadan, berdasarkan sebuah hadith riwayat Abu Daud yang dinilai sahih oleh al-Albani, daripada Hasan bin Ali RAnhuma, katanya yang bermaksud :

"Rasulullah SAW telah mengajarkan aku beberapa kalimah yang harus aku ucapkan di dalam solat witir, iaitu :

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ

وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ

إِنَّكَ تَقْضِي وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ وَإِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ

وَلاَ يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ.

"Ya Allah, tunjukilah aku ke dalam golongan orang yang Engkau telah berikan petunjuk, sejahterakanlah aku ke dalam golongan orang yang Engkau telah berikan kesejahteraan, sayangilah aku ke dalam golongan orang yang telah Engkau sayangi, berkatilah aku ke dalam golongan orang yang telah Engkau berkati, hindarilah aku dari segala bahaya yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya Engkaulah yang menentukan dan bukan yang ditentukan, Sesungguhnya tidak akan hina orang yang telah Engkau lindungi dan tidak akan menjadi mulia orang yang Engkau musuhi. Engkau wahai Tuhan adalah Maha Mulia serta Maha Tinggi"

Demikianlah sebahagian perbahasan mengenai hukum bacaan qunut. Secara kesimpulannya, bacaan doa qunut yang disepakati akan hukumnya sunnah ialah qunut nazilah dan qunut solat witir. Telah bersepakat para ulama menyebut hukumnya adalah sunnah berdasarkan dalil yang jelas lagi sahih. Pun begitu, bacaan qunut dalam solat subuh memperlihatkan para ulama berbeza pandangan akan halnya. Sebahagian para ulama seperti mereka di dalam mazhab Syafie dan Maliki, mereka berpandangan hukum bacaan doa qunut subuh adalah sunnah. Namun begitu, bagi mazhab Maliki, doa qunut subuh dibaca sebelum rukuk manakala bagi mazhab Syafie doa qunut subuh dibaca selepas rukuk. Sebahagian para ulama yang lain pula seperti mereka yang di dalam mazhab Hanafi dan Hanbali, mereka berpandangan qunut dalam solat subuh adalah tidak disyariatkan dan perbuatan tersebut dihukum sebagai bid'ah. Semoga Allah SWT mengampuni dan merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan