Ahad, 15 November 2026

TAKDIR ALLAH PILIHAN ATAU PAKSAAN ?

 

Sejenak terfikir jauh dalam lubuk hati ini, alangkah indahnya hidup kita seperti tulisan di dalam novel cinta yang berakhir dengan bahagia tanpa derita, betapa beruntungnya jika hidup ini seperti di dalam drama dan filem yang penamatnya penuh dengan episod suka dan gembira. Hakikatnya hidup ini tidaklah seindah dalam novel dan drama. Hidup ini penuh dengan liku-liku dan onak duri cabaran kehidupan. Ada waktu kita akan berasa tenang dan bahagia dan ada masanya pula kita berasa tak guna hidup ini, berasa derita dan sengsara. Inilah namanya takdir. Segala yang baik dan buruk itu telah tertulis dalam ketentuan hidup kita. Cuma barangkali ada yang terfikir, jika Allah sudah tahu kita ini baik atau jahat, mengapa Allah masih mahu kita hidup di dunia lagi ? Jika benar Allah sudah tahu penghujung kita ke syurga atau neraka, kenapa kita masih diberi kehidupan ? Takdir ini sebenarnya pilihan atau paksaan keatas hamba Nya ?

Perkataan "Takdir" sebenarnya berasal daripada perbendaharaan kata bahasa Arab. Ungkapan takdir (تقدير) terbitan dari kata qaddara (قدر،يقدر، تقديرا) yang merujuk kepada maksud ukuran terhadap sesuatu atau memberi kadar. Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan al-Arab menjelaskan bahawa perkataan takdir dan al-qadar mempunyai makna yang serupa iaitu ketentuan Allah. Pada sudut etimologi, takdir difahami dengan makna memberikan sesuatu ukuran, batas atau kadar tertentu terhadap sesuatu perkara. Sementara itu, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat menjelaskan bahawa takdir ialah sesuatu yang ditentukan oleh Allah SWT terlebih dahulu. Kalau dilihat pada sudut istilah pula, takdir difahami dengan makna sesuatu ketetapan atau keputusan Allah SWT terhadap segala sesuatu yang berlaku keatas makhluk Nya sejak daripada azali lagi berdasarkan ilmu dan hikmah Nya.Ringkasny, takdir boleh kita rumuskan sebagai suatu ketentuan yang ditentukan oleh Allah Azza Wa Jalla merangkumi perjalanan hidup tiap-tiap hamba Nya.




Menjawab persoalan yang berbangkit, jika benar Allah SWT sudah tahu akan penghujung hidup kita, maka mengapa Allah Jalla Wa 'Ala masih berikan kita hidup di dunia ini ? Logiknya kita akan anggap bahawa kehidupan yang sementara ini hanyalah sia-sia kerana Allah sudah tentukan penghujung nasib hidup kita sama ada ke syurga atau neraka. Pertama, kita perlu jelas bahawa setiap kejadian dan ciptaan yang dijadikan oleh Allah SWT itu tidak pernah ada yang sia-sia. Allah Azza Wa Jalla tidak akan menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah Ali-'Imran ayat 192, dimana Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka"

Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa ada tujuan alam ini dijadikan. Allah SWT yang memiliki sifat yang Maha Mulia tidak akan membuat sesuatu yang sia-sia. Bermakna bukanlah layak digelar 'Tuhan' jika dia mencipta sesuatu yang sia-sia kerana sikap melakukan yang sias-sia itu adalah sikap lemah yang hanya layak ada pada diri makhluk Nya. Oleh yang demikian, kehidupan di dunia yang dikurniakan oleh Allah Rabbul Jalil ini tiadalah yang bersifat sia-sia dan tiada tujuan. Semuanya dijadikan dengan tujuannya. Kemudian, perkara kedua yang harus kita tahu ialah Allah SWT tidak akan menghukum atas perkara yang bukan di dalam kawalan kita. Sebagai contoh, Allah Jalla Wa 'Ala tidak akan menghukum kita hanya kerana kita berbangsa lain. Juga Allah SWT tidak akan menghukum kita kerana warna kulit kita hitam atau putih. Perkara yang sedemikian bukanlah di dalam kawalan kita dan kita tidak diberi pilihan pun untuk memilih mahu lahir sebagai bangsa apa dan mahu warna kulit yang bagaimana.




Selain itu, Allah SWT juga tidak akan menghukum mana-mana orang bukan Islam kerana kebenaran tidak pernah sampai kepada mereka. Ini sebagaimana Allah SWT menyebut di dalam al-Quran menerusi surah al-Israa' ayat 15, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)".

Sesungguhnya Allah SWT menghukum manusia diatas sebab pilihan yang dibuatnya sendiri setelah sampai kepadanya seruan-seruan kebenaran. Maka tidak benar sama sekali jika ada yang fikir bahawa Allah SWT itu zalim kerana menghukum hamba Nya diatas ketentuan Nya. Sejak azali lagi sebelum dijadikan makhluk, Allah SWT sudah tahu apa pilihan yang akan kita buat, Allah tahu siapa yang beriman dan siapa yang tidak akan beriman. Allah SWT juga tahu siapa ke syurga dan siapa pula ke neraka. Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu. Tetapi tetap Allah SWT memberikan ruang untuk kehidupan yang bersifat sementara ini. Tidakkah kita lupa disaat makhluk yang paling taat iaitu Malaikat, bertanyakan kepada Allah SWT untuk mengangkat kedudukan manusia sebagai khalifah diatas muka bumi ini sedangkan Allah tahu manusia tentu akan melakukan kerosakan di muka bumi ini. Cerita ini sebagaimana firman Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".




Lantas daripada penjelasan ini, mungkin ada yang fikir jika benar begitu Allah SWT hanya menghukum manusia pada perkara yang dipilihnya sahaja, maka tidak adil lah Tuhan kerana sebelum manusia dijadikan, Allah sudah tahu dan tentukan apa pilihan yang manusia akan pilih. Seolah-olah takdir itu dipaksakan kepada manusia sehingga manusia itu terpaksa membuat pilihan yang salah. Cara fikir seperti ini adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana ilmu dan pengetahuan Allah SWT itu jauh lebih luas daripada apa yang kita fikirkan. Takdir yang ditentukan oleh Allah SWT bukan suatu paksaan kepada pilihan perbuatan manusia tetapi ilmu dan pengetahuan Allah itu jauh melangkaui daripada dimensi waktu manusia melakukan pilihan tersebut. Hakikatnya Allah SWT menentukan sesuatu ketetapan itu dengan memberikan manusia pilihan dan sebenarnya Allah Azza Wa Jalla telah tahu apa yang manusia itu akan pilih. Maka pengetahuan Allah SWT telah mendahului sesuatu perbuatan manusia tersebut. Ini juga bermakna sebelum manusia memilih, Allah Jalla Wa 'Ala telah pun tahu apa pilihan manusia.

Satu analogi mudah untuk kita boleh faham, dalam satu kelas, seorang guru memberikan ujian peperiksaan kepada semua muridnya. Dalam kelas tersebut, terdapat seorang murid yang gurunya tahu dan kenal muridnya ini seorang yang pemalas, suka ponteng kelas dan tidak mengulang kaji pelajaran. Namun begitu, guru tetap memberikan peluang kepada murid tersebut menduduki ujian peperiksaan meskipun tahu muridnya itu tidak akan lulus dalam ujian. Lalu, ternyata benar murid tersebut gagal dalam ujian yang diberikan. Kegagalan murid berkenaan bukanlah kerana gurunya menggagalkannya tetapi kerana sudah diketahui umum murid tersebut sememangnya malas berusaha. Oleh itu, murid gagal kerana pilihannya untuk bersikap malas berusaha dan bukannya kerana guru tersebut yang menggagalkannya. Demikianlah sedikit sebanyak penjelasan dan penerangan bagi menghuraikan kekusutan fikiran apabila membicarakan tentang takdir, pilihan atau paksaan. Kesimpulan daripada penjelasan ini, pertama takdir adalah merupakan ketentuan Allah yang menjadi kewajiban untuk umat Islam percaya dan yakin dengannya. Kedua, Allah SWT tidak akan menghukum pada perkara yang kita tidak diberi pilihan sebaliknya Allah menghukum kita dengan apa yang kita pilihkan. Ketiga, takdir bukan paksaan keatas manusia sebaliknya ketentuan yang sudah diketahui oleh Allah sebelum manusia melakukannya. Maka tidak tepat untuk kita katakab takdir adalah paksaan terhadap para hamba Allah. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan