Kematian adalah suatu hakikat yang mesti ditempuhi oleh semua makhluk
yang bernyawa. Selain perkara kiamat, kematian juga merupakan salah satu
daripada kerahsiaan yang dipelihara oleh Allah Azza Wa Jalla. Kebanyakan kita
barangkali beranggapan kematian adalah penamat kepada kehidupan. Namun
sebaliknya bukan penamat tetapi permulaan langkah ke seterusnya menuju ke alam
yang kekal abadi iaitulah akhirat. Dalam pada itu, kematian adalah pemutus
kepada segala kelazatan hidup di dunia. Maka apabila ajal datang menyapa
bermakna kita perlulah meninggalkan segalanya termasuklah harta, kedudukan,
anak isteri dan semuanya. Hanya yang kekal menemani kita hingga ke akhirat
adalah amalan kita ketika berada di dunia.
Menjadi amalan dan tradisi sebilangan kecil masyarakat orang Islam,
apabila diuji oleh Allah SWT dengan kesulitan dan kesusahan hidup, ada
dikalangan orang Islam tanpa was-was pergi ke kubur para wali, orang soleh, tok
syeikh dan seumpamanya lalu meminta pertolongan dengan menyebut-nyebut nama
ahli kubur tersebut yang hakikatnya telah pun mati dan meninggal dunia. Pada
mereka yang melakukan amalan tersebut, seolah-olah terdapat kepercayaan bahawa
Allah Azza Wa Jalla telah menjadikan para ahli kubur itu pemegang kunci kepada
rahsia alam ini. Ini kerana mereka yang berdoa dengan menyeru nama orang yang
telah mati itu menganggap bahawa orang mati tersebut boleh dan mampu memberikan
atau menunaikan sesuatu permintaan yang dimohon.
Agama Islam sebagai agama wahyu, ajaran yang mengajak kepada penganutnya berpegang kepada dasar ilmu dan hujah, dengan tegas menyebut bahawa Islam agama yang telah menjadikan setiap ibadah itu semata-mata dilakukan kerana Allah. Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran melalui surah al-Zumar ayat 14, dimana Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
"Katakanlah lagi: "Allah jualah yang aku sembah dengan
mengikhlaskan amalan ugamaku kepadaNya".
Begitu juga dalam ayat yang lain, Allah SWT menegaskan kepada
baginda Nabi Muhammad SAW dengan menyatakan segala amal baik mestilah dengan
niat ikhlas kepada Allah dan bukan kepada selain Allah SWT. Perkara ini dapat
kita lihat dan fahaminya sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran menerusi
surah al-Zumar ayat 2, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai
Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah
dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya".
Maka perkara pertama yang wajib kita fahami ialah setiap amalan
atau ibadah haruslah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan bukan kerana makhluk
lain. Dalam pada itu, perbuatan berdoa adalah antara amalan dan ibadah
disyariatkan oleh Allah Azza Wa Jalla yang seharusnya dilakukan kerana Allah.
Berdoa bukanlah semata-mata adat tradisi nenek moyang terdahulu bahkan berdoa
itu sendiri adalah salah satu daripada perkara yang berbentuk syariat. Oleh
kerana doa itu adalah syariat, maka Allah SWT telah meletakan garis panduan
tentang bagaimana cara untuk umat manusia meminta. Antara yang ditegaskan oleh
Allah SWT dalam bab berdoa ialah wajib berdoa memohon dan meminta hanya kepada
Allah Jalla Wa 'Ala. Ini bermakna, Islam melarang kita meminta menadah tangan
berdoa kepada selain Allah SWT. Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan tentang
larangan meminta, menyeru dan memohon selain daripada Allah Azza Wa Jalla.
Dalam surah al-Qasas ayat 88, Allah SWT dengan penuh tegas
berfirman yang bermaksud :
"Janganlah kamu seru ilah lain di samping Allah. Tidak ada
ilah melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. Bagi-Nya-lah
segala penentuan, dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan".
Berdasarkan kepada kefahaman maksud ayat ini, jelas kepada kita
bahawa Allah SWT melarang kita dengan menyebut jangan berdoa, meminta, menyeru
nama lain bersama dengan nama Allah Jalla Wa 'Ala. Menyeru nama ahli kubur kerana
meminta tolong tetapi tetap menyebut juga nama Allah, adalah sesuatu yang
dilarang dengan jelas oleh Allah SWT. Inilah syirik yang bersifat jelas dengan
memperlihatkan adanya nama lain yang diseru selain daripada nama Allah SWT.
Dalam kalimah syahadah (penyaksian), kita telah menafikan tiada ilah selain
Allah SWT. Perkataan ilah itu harus benar-benar difahami. Secara ringkas,
ungkapan ilah itu bermaksud tempat sandaran hati, tempat pengharapan dan
pergantungan kita. Kita telah bersaksi bahawa Allah SWT adalah satu-satunya
ilah bagi manusia, yang menjadi tempat meminta, memohon dan berharap pada Nya.
Dalam ayat lain menerusi surah al-Ra'd ayat 14, Allah Azza Wa Jalla
berfirman yang bermaksud :
"Kuasa menerima ibadah yang benar adalah tertentu bagi Allah;
dan benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak akan dapat
menyahut atau memberikan sesuatupun kepada mereka, hanyalah seperti orang yang
membentangkan kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya,
padahal air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya. Dan tiadalah ibadat
dan doa permohonan orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan".
Maka jelas kepada kita tanpa perlu pergi dengan lebih jauh, Allah
SWT telah memperakui bahawa hanya diri Nya sahaja yang benar-benar boleh
memberi atau menolak sesuatu mudarat atau manfaat. Hanya Allah SWT yang
berkuasa dan bukannya para makhluk Nya termasuklah kekasih Allah baginda Nabi
Muhammad SAW. Lihatlah firman Allah SWT di dalam surah al-A'raf ayat 188, Allah
Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
"Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat
bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah.
Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan
mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan
(tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh
Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita
gembira bagi orang-orang yang beriman".
Melihat kepada maksud ayat ini, telah terjawablah tentang persoalan
apakah orang yang telah mati boleh memberi manfaat atau mudarat kepada orang
yang masih hidup. Sesungguhnya para wali, tok syeikh, orang soleh,tok guru dan
sekaliannya lagi, apabila sudah meninggal dunia tidak ada daya walau sedikit
pun untuk memberi manfaat atau mudarat kepada orang yang masih hidup. Para ahli
kubur pada hakikatnya tidak mempunyai kuasa, tiada kemampuan dan daya untuk
menolong orang yang masih hidup. Bahkan orang yang telah mati sangatlah
memerlukan doa daripada orang yang masih hidup. Malangnya kebodohan telah
menimpa umat manusia apabila orang yang masih hidup pula datang menyeru dan
meminta tolong dengan orang yang telah mati. Perbuatan syirik sebegini tidak
akan wujud jika tidak ada golongan pelampau yang terlalu taksub dengan guru
mereka sehingga mendorong mereka melakukan perbuatan terkutuk ini.
Telah berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Risalah
al-Saniyyah, beliau menyebut bahawa :
"Sikap ghuluw (melampau) terhadap sebahagian syaikh mereka,
bahkan ghuluw terhadap Ali RA dan terhadap al-Masih (Isa AS). Maka sesiapa yang
melampau terhadap nabi atau orang soleh dan menjadikan mereka itu memiliki
sifat ketuhanan, seperti seruan mereka; “Wahai tuan si fulan, selamatkanlah
aku, atau lepaskan kesulitan aku, atau kurniakanlah aku rezeki, atau menyeru;
aku benar-benar berharap kepadamu atau perkataan-perkataan seumpamanya.” Maka setiap
ungkapan ini merupakan kesyirikan dan satu kesesatan. Orang itu diminta untuk
bertaubat dan jika dia enggan, maka dijatuhkan hukuman bunuh (oleh ulil amri).
Sesungguhnya Allah SWT mengutus para rasul dan menurunkan kitab hanya untuk
beribadah kepada-Nya semata-mata dan tidak ada sekutu bagi-Nya".
Adapun terdapat segolongan kumpulan umat Islam yang melampau
mendakwa bahawa para wali dan para guru mereka memiliki kuasa untuk bertindak
semasa hidup dan selepas kematian diatas anggapan karamah (kemuliaan), maka
Syeikh Sun'ullah al-Hanafi menyatakan di dalam kitabnya Sayfullāh ’alā man
Kadhaba ’alā Awliyā’illah, beliau berkata :
“Inilah yang membawa kepada kemunculan kumpulan-kumpulan umat Islam
yang mendakwa bahawa bagi para wali itu boleh bertindak semasa hidup dan
selepas kematian mereka. Begitu juga diminta pertolongan dengan mereka (wali
yang telah meninggal dunia) dalam kesusahan dan bencana, dan dengan pengawasan
mereka (para wali) akan tersingkap perkara-perkara penting (yang diperlukan),
kerana itulah mereka pergi ke kubur mereka (para wali) dan mereka menyeru untuk
memenuhi keperluan mereka. Mereka berdalilkan bahawa ini termasuk dalam
keramat. Mereka juga berkata : Di antara mereka (para wali) ada Wali Abdal,
Wali Nuqaba’, Wali Autad, Wali Nujaba’, Wali 70 dan 7, Wali 40 dan 4. Wali
Qutub (di sisi mereka) adalah penolong manusia dan sebagai tempat pergantungan
tanpa ragu, dan mereka mempersembahkan korban dan nazar kepada mereka, dan
mereka menetapkan pahala pada keduanya (korban dan nazar) untuk mereka.”
Demikianlah sedikit penjelasan mengenai perbuatan atau amalan
memohon pertolongan dengan orang yang telah meninggal dunia. Daripada
penjelasan yang panjang lebar ini, terdapat tiga mesej terpenting yang wajib
kita fahami dan sebarkan kepada masyarakat umum. Pertama, Islam agama yang
menyeru manusia untuk melakukan ibadah semata-mata kerana Allah dan bukannya
kepada yang lain. Ibadah yang kita kerjakan hanyalah diterima jika kita
ikhlaskan niat hanya kerana Allah SWT. Kedua, Allah memerintahkan malah
menegaskan bahawa ibadah doa yang melibatkan soal meminta, memohon, menyeru
hanyalah kepada Allah Jalla Wa 'Ala. Tidak boleh memohon selain daripada
menyebut nama-nama Allah SWT. Ketiga, hakikat orang yang telah meninggal dunia
sama sekali tidak mempunyai kuasa, daya kekuatan, tidak boleh beri mudarat
mahupun manfaat diatas apa jua nama apa sekalipun termasuklah diatas istilah
karamah. Hanya Allah yang berkuasa. Maka perbuatan meminta tolong dengan orang
mati adalah berdosa besar kerana syirik kepada Allah, selain sia-sia dan
membodohkan akal sahaja. Semoga Allah mengampuni kita semua.


