Kebanyakan
masyarakat bukan Islam seringkali tertanya-tanya tentang sebab orang Islam
dilarang memakan daging babi dan meminum arak. Dua jenis ini adalah antara yang
paling banyak ditanya oleh mereka yang bukan beragama Islam. Pada logik
akalnya, mereka beranggapan adalah sesuatu yang sia-sia sekiranya Tuhan
menciptakan babi dan arak tetapi diharamkan untuk umat manusia mengambil
manfaat daripada apa yang telah diciptakannya.
Pertamanya,
babi dan arak kedua-duanya adalah haram bagi orang Islam. Perkara ini jelas
lagi terang sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 173 yang
bermaksud :
"Sesungguhnya
Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging
babi".
Dan
dalam firman Nya lagi dalam surah al-Ma'idah ayat 90 yang bermaksud :
"Wahai
orang-orang yang beriman ! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan
berhala, dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah (semuanya) kotor
(keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya
kamu berjaya".
Amat
jelas dan terang bagi kita bahawa Islam telah mengharamkan kita daripada
memakan babi dan meminum arak. Maka persoalan yang lebih utama adalah
mengapakah Allah SWT mengharamkan babi dan arak ? Sebagai manusia yang berakal,
sudah tentu kita mahu melihat sebab dan puncanya untuk kita lebih memahami akan
sesuatu hal. Tanpa sebab dan punca, barangkali kita sendiri pun belum tentu
mahu ikut apa yang telah diputuskan oleh agama. Pasti ada hikmahnya disebalik
segala tegahan dan larangan tersebut.
Dari
sudut sainstifik, terdapat beberapa hikmah akan pengharaman babi dan arak ini.
Antaranya berdasarkan hasil kajian yang diterbitkan di website Dr. Joseph
Mercola, beliau menyatakan bahawa daging babi boleh memberikan bahaya
kepada kesihatan dalam pelbagai peringkat. Menurut kajian oleh Consumer
Reports, sebanyak 69 peratus daripada sampel-sampel daging babi yang diuji
mengandungi bakteria berbahaya Yersinia enterocolitica yang boleh
menyebabkan masalah-masalah kesihatan.
Selain
itu, menurut Dr. Muhammad Abdul Khair dalam kitab Ijtihadat fi al-Tafsir
al-Quran al-Karim, beliau menyatakan bahawa :
"Daging
babi mengandungi benih-benih cacing pita dan cacing-cacing lain. Cacing-cacing
ini akan berpindah kepada manusia yang memakan daging babi tersebut. Perlu
dicatat, sehingga kini generasi babi belum terbebas daripada cacing-cacing
ini".
Demikian
juga keburukan arak. Arak diharamkan antara lain sebabnya adalah boleh
memabukkan. Hal ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari
dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Semua
yang memabukkan adalah haram"
Hadith
ini dengan jelas menyatakan bahawa semua perkara yang memabukkan adalah haram
walau atas nama apa sekalipun. Menurut ijma' ulama, pengharaman arak adalah
kerana ia memabukkan. Oleh itu, apa jua jenama minuman yang memabukkan adalah
haram hukumnya. Mabuk yang dimaksudkan ini ialah pemikiran terlalu kacau yang
mengakibatkan halangan kepada fungsi akal kerana tidak dapat mengawal dengan
bijak dan sepatutnya.
Menurut
sebuah artikel oleh MyHEALTH, minuman beralkohol seperti arak ini
mengandungi etanol, iaitu sebatian yang tergolong dalam kumpulan dadah yang
boleh menindas fungsi sistem saraf pusat. Ianya boleh melambatkan tindakbalas
fizikal dan mental peminumnya. Selain itu, etanol juga adalah dadah yang boleh
mendatangkan kebergantungan atau ketagihan jika diambil setiap hari.
Pengambilan minuman beralkohol akan menyebabkan kesan kepada masalah mental
seperti kecelaruan tingkah laku dan fikiran, keresahan dan kebingungan, hilang
ingatan sementara, kemurungan dan kecenderungan untuk membunuh diri.
Arak
juga adalah salah satu punca akan segala kejahatan dan kerosakan. Perkara ini
seperti yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat al-Nasaie, hadith daripada
Uthman RA secara mauquf bermaksud :
"Hendaklah
kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan"
Di United
Kingdom (UK), statistik rasmi jenayah akibat meminum arak adalah 45-46 %
kejadian jenayah, 39 % keganasan rumah tangga dan hampir 1 juta serangan ganas
berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk.
Selain itu, menurut statistik PDRM, bagi tempoh 2014 sehingga 2018, sebanyak
637 kematian berpunca kemalangan membabitkan pemandu memandu dibawah pengaruh
alkohol direkodkan. Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya
Malaysia (MIROS), pemandu mabuk 13 kali lebih berkemungkinan menyebabkan
kemalangan berbanding pemandu tidak dibawah pengaruh alkohol.
Demikian
beberapa sudut pandangan saintifik yang membuktikan keburukan babi dan arak.
Namun begitu, sudut pandang saintifik bukanlah kayu ukur utama untuk menyingkap
hikmah disebalik pengharaman babi dan arak. Kita harus fahami bahawa tujuan
utama Allah mengharamkan babi dan arak adalah kerana itulah arahan Allah SWT,
sebagai tuhan kepada makhluk ciptaan Nya. Walaupun beribu kajian dilakukan,
sebab utama babi dan arak diharamkan adalah kerana itulah arahan Allah. Hal ini
sepertimana yang telah disebutkan oleh al Marhum Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam
kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, beliau menyatakan bahwa :
"Tidak
semestinya setiap muslim untuk mengetahui secara terperinci kesemua barangan
yang dianggap rosak dan bahaya, yang dengan sebabnya diharamkan oleh Allah SWT
sesuatu barangan itu. Adakalanya, hal itu terlindung dari kefahamannya, yang
mana keadaan yang sama kelihatan pada keadaan yang lain. Adakalanya, keburukan sesuatu
barangan itu tidak jelas pada sesuatu zaman yang tertentu, manakala ianya jelas
pula pada zaman berikutnya. Oleh itu, sewajarnya sikap seorang mukmin itu
selalu mengatakan : "Kami dengar dan kami taat".
Keburukan
daging babi dan arak ini diketahui setelah dibantu dengan kecanggihan teknologi
yang ada pada masa kini. Walhal, pengharaman ini bukanlah baharu malah telah
diharamkan sejak dahulu lagi. Maka, dengan itu, orang terdahulu mematuhi dan
taat akan segala larangan Allah meskipun tanpa mengetahui sebab dan puncanya.
Hal ini kerana ketaatan dan kepatuhan akan arahan Allah. Oleh itu, sebab
utamanya Allah mengharamkan babi dan arak bukanlah kerana keburukannya
semata-mata sebaliknya kerana kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Meskipun
suatu hari nanti, teknologi canggih dapat membersihkan babi dari segala kuman
dan terdapat arak yang tidak memabukkan, ianya tetap haram kerana demikianlah
tegahan Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan