Untuk
membina sesebuah ketamadunan sangatlah susah dan memerlukan pengorbanan masa,
tenaga, wang ringgit dan sebagainya. Namun, untuk meruntuhkannya cukuplah
dengan sikap prejudis yang boleh menjadi duri dalam daging memusnahkan
segalanya dengan sekelip mata. Justeru, kita sama sekali tidak boleh memandang
enteng, menilai sebagai hal yang remeh kerana ini juga ibarat bom jangka yang
boleh meletus pada bila-bila sahaja. Keparahan sikap prejudis ini menjadi lebih
buruk sekiranya ianya melibatkan ketenteraman dan keselamatan negara.
Perkataan
"Prejudis" merujuk kepada Kamus Pelajar Edisi Kedua membawa maksud
perasaan atau pendapat yang tidak berasas terhadap sesuatu kaum, agama dan
sebagainya. Sikap prejudis ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja membabitkan
mana-mana individu perseorangan mahupun gerakan berkumpulan. Negara kita telah
mengharungi sejarah panjang berkaitan sikap prejudis ini yang akhirnya telah
merugikan negara. Sikap melampau ini tidak akan sama sekali menguntungkan
mana-mana pihak. Oleh yang demikian, mengapa kita harus bersikap prejudis lagi
?
Episod
gelap negara dalam mendepani beberapa kelompok prejudis ini hingga mengheret
negara ke fasa darurat. Sebagai contoh, peristiwa 13 Mei 1969 yang membabitkan
peperangan perkauman, peristiwa Memali 1985 yang membabitkan serangan politik
diatas nama agama dan pelbagai lagi episod duka negara akibat sikap prejudis
ini. Jika kita menyoroti lembaran sejarah tanah air, kita akan dapati bahawa
sikap prejudis yang membara dalam diri, merebak dan tersebar kepada mereka yang
lain melalui hasutan demi hasutan, meskipun sewaktu itu negara kita sudah ada
Akta Hasutan sejak tahun 1948.
Isu
prejudis perkauman ini bukanlah isu bermusim malah isu ini juga merupakan isu
global yang melihatkan kepada kita bahawa beberapa buah negara maju juga
berhadapan dengan isu krisis perkauman yang sama. Puncanya apabila berlaku
sikap prejudis antara kaum, agama dan bangsa. Kita boleh menyaksikan serius
atau tidak isu prejudis ini, pada tahun 1948, Parti Nasional Afrika telah
memperkenalkan sistem Apartheid yang telah memisahkan hak dan kewajiban rakyat
antara mereka yang berkulit putih dan hitam. Ini adalah diskriminasi terancang
yang dibuat diatas sikap prejudis. Ekoran itu, muncul lah tokoh-tokoh hebat Afrika
Selatan bangkit dan menetang dasar Apatrheid ini seperti Nelson Mandela,
Desmond Tutu dan Chris Hani.
Dunia
barat juga tidak terkecuali berhadapan dengan golongan pelampau bersikap
prejudis ini. Rekod terdekat, pada tahun 2020, dunia digegarkan dengan kes
pembunuhan George Floyd yang berusia 48 tahun. Beliau merupakan seorang lelaki
warganegra Amerika dan berkulit hitam, telah menjadi mangsa keganasan rasis
perkauman oleh seorang anggota polis di Minnesota, Amerika Syarikat. Peristiwa
tidak berhati perut ini telah mengejutkan seluruh rakyat berkulit hitam bangkit
membantah tindakan tidak rasional tersebut. Peristiwa ini juga telah memberi
tamparan hebat kepada karakter suci dunia barat yang seringkali mendahului
dunia memperjuangkan isu-isu kemanusiaan dan peradaban.
Rentetan
daripada peristiwa demi peristiwa pergaduhan perkauman ini, besar faktornya
adalah berpunca dari sikap prejudis yang tidak berkesudahan. Malah sikap
prejudis ini bertambah mekar berkembang kepada generasi ke suatu generasi. Sudah
pasti, kita sebagai warganegara yang menjunjung tinggi perlembagaan negara,
yang menghayati prinsip Rukun Negara dan beramal dengan agama dan kepercayaan
masing-masing, tidak mahu dan tidak rela melihat episod hitam negara berulang
kembali. Kebanyakan cakap-cakap orang di luar sana menyatakan kebimbangan
mereka melihat generasi muda hari ini seakan termakan hasutan generasi
terdahulu sehingga mengakibatkan sikap prejudis dalam diri mereka.
Kebimbangan
ini ada asasnya apabila kita melihat dapatan kajian berkenaan kedudukan negara
yang rasis yang telah dikeluarkan oleh Businesstech pada tahun 2019, kita
dapati Malaysia berada di tangga ke-11. Pelbagai culaan dan kritikan yang boleh
kita lontarkan lagi bagi mengukuhkan lagi dapatan kajian ini namun kedudukan
ini memberikan isyarat bahawa "tidak sihat" negara dalam
konteks perpaduan nasional. Seperti yang telah disebutkan, sikap prejudis ini
boleh sahaja berlaku kepada mana-mana individu mahupun gerakan kumpulan.
Bermula dengan hasutan dan fanatik terhadap sesuatu, secara tidak langsung
telah menyuntik ideologi dan kefahaman yang salah, dan akhirnya memerangkap
diri dengan sentimen perkauman dan agama.
Seruan
kepada seluruh warga dunia, adalah menjadi kewajipan kita untuk bersama menolak
sikap dan budaya prejudis ini biarpun datang dan terbit daripada mana-mana
pihak. Sesuatu yang salah, dengan beraninya kita harus katakan ianya salah.
Sesuatu yang benar, dengan beraninya kita harus katakan ianya benar. Dengan
kesepaduan kita menolak sikap prejudis ini, secara langsung kita juga telah
menolak budaya diskriminasi terhadap kaum, agama dan bangsa. Media sosial
bukanlah lesen kebebasan untuk kita menghancurkan masa depan negara dengan
menyebarkan prejudis tidak bermaruah ini. Kepada mereka yang bergelar ahli
politik, pendokong dan penyokongnya, para agamawan dan pengikutnya, para ahli
akademik, pemimpin pelbagai lapisan masyarakat dan ramai lagi pihak mahupun
individu mampu tampil menjadi agen kepada perubahan ini dengan menolak sebarang
sikap prejudis yang akan merugikan masa depan kita. Semoga Allah merahmati kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan