Khamis, 10 November 2022

FENOMENA GERHANA : TANDA KEKUASAAN & KEBESARAN ALLAH

 

Sesungguhnya setiap penciptaan Nya baik yang berada di langit mahupun di bumi, di luar mahupun di dalam pengetahuan kita, semuanya menunjukkan bukti akan kekuasaan dan kebesaran Allah. Sepintar mana pun seseorang dalam mengkaji sifat dan tabiat alam ini, pastinya akan kembali memuji dan memuja akan kekuasaan dan kebesaran Nya. Oleh kerana itu, apabila bumi diperlihatkan dengan fenomena gerhana, baik gerhana bulan ataupun matahari, semuanya terjadi diatas kehendak Allah.

Sepertimana yang terkandung di dalam al Quran, menerusi surah al-Anbiyya ayat 33, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan tiap-tiap satunya beredar terapung-terapung di tempat peredarannya masing-masing"

Fenomena gerhana adalah merujuk kepada suatu keadaan kedudukan matahari dan bulan yang berubah sehingga mengakibatkan fenomena gerhana ini berlaku. Umum kita ketahui, fenomena gerhana ini boleh berlaku di dalam dua keadaan iaitu gerhana bulan dan gerhana matahari. Bagi gerhana bulan, ianya terjadi disebabkan oleh kedudukan bulan, bumi dan mahatari membentuk garis lurus di mana kedudukan bumi berada di antara bulan dan matahari. Manakala gerhana matahari pula terjadi disebabkan oleh kedudukan bulan yang melindungi atau menutupi matahari.




Melalui fenomena gerhana ini, ia adalah antara salah satu bukti akan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Bagi yang mahu berfikir, kejadian ini juga membuktikan bahawa alam semesta yang seluas tidak terhitung ini ada pencipta dan pentadbirnya. Alam ini tidak terjadi dengan sendiri. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman dalam surah Fussilat ayat 37 yang bermaksud :

"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah".

Begitu juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah RAnha, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Bahawasanya matahari dan bulan itu dua tanda daripada segala tanda-tanda yang menunjukkan keesaan dan kekuasaan Allah Taala, tiada gerhana keduanya kerana mati seseorang atau hidupnya, maka apabila kamu lihat akan demikian itu, maka hendaklah kamu bersembahyang", dan baginda bersabda : "maka sembahyanglah kamu hingga disingkap kembali oleh Allah kepada kamu semua (bulan dan matahari)".

Kekuasaan dan kebesaran Allah yang mutlak dapat dibuktikan dengan fenomena alam seperti ini. Kejadian yang berlaku ini bukan sahaja untuk dikaji dan diteliti akan perubahan alam ini tetapi kita juga dituntut untuk kembali mengingati Allah dengan memperbanyakkan beristighar memohon keampunan Allah SWT. Kita juga dituntut untuk banyakkan berdoa kepada Allah SWT. Sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Musa berkata :

"Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Nabi SAW. Lalu baginda bangun dalam keadaan takut akan berlakunya hari kiamat sehingga baginda tiba di masjid. Lalu baginda mendirikan solat yang paling panjang berdirinya, rukuknya dan sujudnya yang pernah aku lihat baginda lakukan di dalam solat. Kemudian baginda berkata : Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda yang Allah hantar. Ia tidaklah berlaku kerana kematian atau kehidupan seseorang. Akan tetapi Allah menghantarnya untuk menimbulkan rasa takut pada hamba Nya. Apabila kalian lihat ia berlaku, segeralah mencari perlindungan dengan mengingati Allah, berdoa kepada Nya dan memohon keampunan-Nya".




Menurut Imam al-Nawawi ketika membahaskan hadith ini dalam kitab Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, beliau menyatakan bahawa gerhana berlaku bukanlah sebagai tanda hari akan kiamat kerana tanda-tanda kiamat yang lain telah diketahui melalui hadith-hadith yang sahih seperti terbitnya matahari dari sebelah barat, keluarnya al-Dabbah dan juga dajjal. Namun, bangunnya Rasulullah SAW dalam keadaan takut dan mengerjakan solat yang panjang bacaan dan rukuknya itu kerana takut ianya dari jenis hukuman yang Allah SWT turunkan sepertimana yang berlaku ketika mana bertiupnya angin dan jelas nampak wajah Rasulullah SAW yang baginda tidak menyukainya.

Pada masa sama, satu hal yang harus kita cegah adalah amalan dan kepercayaan karut menjelang fenomena gerhana ini. Seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran dan al-Hadith, kejadian gerhana ini sama sekali tidak terjadi kerana kematian seseorang mahupun kerana kelahiran seseorang. Tidak ada kaitan sama sekali. Bahkan kejadian gerhana ini berlaku diatas kehendak dan kekuasaan Allah bagi menunjukkan akan kebesaran Nya. Amalan dan kepercayaan karut ketika berlakunya gerhana ini seperti menutup semua jendela dan pintu dengan kertas kerana percaya cahaya gerhana boleh merosakkan kulit, wanita hamil dilarang keluar rumah kerana mempercayai bayi dalam kandungan menjadi cacat dan lain-lain lagi harus di jauhinya. Ianya sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

Ketika berlakunya fenomena gerhana ini, umat Islam sangat dituntut untuk mendirikan solat gerhana (kusuf) sepertimana yang ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW. Kita juga digalakkan untuk memperbanyakan berdoa memohon ampun kepada Allah. Selain itu, kita juga dituntut untuk bersedekah, bertakbir membesarkan Allah, berzikir dan bertasbih mensucikan Allah disamping kita mestilah menjauhi diri kita daripada melakukan amalan dan kepercayaan karut-marut. Demikian beberapa anjuran oleh Islam bagi umatnya ketika melihat fenomena gerhana ini. Kita seharusnya yakin bahawa setiap kejadian alam yang berlaku adalah diatas kekuasaan dan kebesaran Nya. Maka, segala kekaguman dan kegerunan kita akan fenomena ini dikembalikan kepada Allah dengan memperbanyakkan bermunajat kepada Nya. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan