Isnin, 28 November 2022

ADAKAH ORANG ISLAM SEMBAH KAABAH ?

 

Islam merupakan agama wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT melalui para utusan Nya, bermula dari Nabi Adam AS sehingga kepada penutup sekalian Nabi, Muhammad SAW. Sesungguhnya, agama yang benar di sisi Allah SWT adalah Islam. Selain daripada itu, Islam mengiktiraf akan kewujudan agama lain namun sama sekali tidak mengiktiraf akan kebenaran agama lain selain Islam.

Melalui agama suci ini, mesej terpenting bagi Islam adalah mengeluarkan umat manusia daripada menjadi hamba kepada keduniaan, menyembah harta dan kemewahan, takut kepada kekuasaan manusia sehingga meredhai akan kezaliman mereka, menuju kepada jiwa hamba yang merdeka, yang punyai maruah dan prinsip yang utuh, melawan kemungkaran dan menolak kebatilan, hanyasanya menjadi hamba dan menyembah kepada empunya segala isi bumi dan langit, iaitulah Allah SWT.




Islam membawa mesej paling besar dalam kehidupan ini dengan mengajak sekalian umat manusia membesarkan dan mengagungkan Allah Azza Wa Jalla, mengabdikan diri, menyerah dan meletakkan kebergantungan diri hanya kepada Allah SWT. Perkara ini sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman Nya dalam surah az-Zumar ayat 66 yang bermaksud :

"(Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadah) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur".

Sebahagian mereka yang bukan Islam telah memahami bahawa intipati ajaran Islam yang melarang dan menegah penganutnya daripada melakukan sebarang kesyirikan seperti menyembah patung berhala, memuja alam dan sebagainya. Hal yang demikian boleh mengundang kemurkaan Allah, Tuhan empunya alam yang luas ini. Namun, sebahagian mereka beranggapan umat Islam telah menyembah sebuah berhala berbentuk empat segi, diselubungi kain hitam yang dikenali sebagai "Kaabah". Pada anggapan mereka, semua umat Islam telah mendirikan solat dengan menyembah Kaabah, baik bagi yang berada di sebelah timur, barat, utara mahupun selatan.

Anggapan ini tidak benar sama sekali. Islam sejak diturunkan ke dunia lagi, mesejnya jelas dan terus konsisten dengan mesejnya yang tidak pernah berubah. Mesejnya adalah menyeru umat manusia menyembah Allah SWT. Apa yang dianggap oleh mereka yang bukan Islam, melihat umat Islam mendirikan solat dengan arah yang sama, iaitu ke arah Kaabah, beranggapan bahawa umat Islam menyembah Kaabah adalah tidak benar. Kaabah merupakan arah kiblat semata-mata. Ianya bukan untuk di sembah apatah lagi di puja. Kaabah, hanyalah sebuah bangunan yang terdiri daripada susunan beberapa bongkah batu besar yang dibina oleh para Nabi sejak dahulu. Dengan perintah Allah, seluruh umat Islam diperintahkan menyembah Allah dengan satu arah sahaja iaitulah mengadap arah Kaabah.




Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud :

"Kerap kali Kami melihat engkau wahai Muhammad, berulang-ulang mendongak ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu kearah masjid Al-Haraam iaitu tempat letaknya Kaabah ; dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka ; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan".

Berdasarkan firman Allah ini, Kaabah hanyalah arah kiblat bagi menyatukan umat Islam bagi menyembah Allah SWT. Tanpa perintah Nya, barangkali orang Islam akan menyembah Allah dengan pelbagai arah. Oleh itu, diatas kebijaksanaan Allah jualah, Kaabah diangkat menjadi arah kiblat umat Islam, juga sekaligus sebagai simbolik kesatuan umat ini mengabdikan diri kepada Allah. Kaabah seperti yang kita lihat, hanyalah sebuah bangunan bersegi empat yang langsung tidak punyai kuasa untuk memberikan sebarang mudarat (keburukan) atau fadilat (kebaikan). Di dalamnya pula tidak terdapat sebarang patung berhala mahupun apa-apa bentuk rupa berhala untuk disembah melainkan sekadar ruang tempat untuk menyembah Allah SWT.

Satu hal yang tidak kurang penting juga untuk kita ketahui, pada zaman Nabi SAW, bangunan Kaabah telah dijadikan tempat bagi Bilal bin Rabbah, tukang azan rasmi Rasulullah SAW, berdiri diatas bangunan Kaabah, memijak Kaabah dengan tujuan melaungkan azan, menyeru dan memanggil umat Islam menuju kejayaan. Logiknya, sekiranya benar Kaabah dianggap sebagai berhala yang disembah, mustahil dan langsung tidak masuk akal untuk orang Islam memijak-mijak Tuhannya sendiri. Selain itu, saban tahun kita akan menyaksikan penjaga bangunan Kaabah akan membuat penukaran kain hitam yang menyelubungi Kaabah, yang disebut sebagai "Kain Kiswah". Tidak logiklah untuk manusia memijak Tuhannya sendiri.




Islam mempunyai sejarah panjang berkenaan arah kiblat umat Islam. Diawal penurunan wahyu Islam, kiblat pertama umat Islam adalah di Baitul Maqdis. Perbuatan orang Islam ketika itu menjadikan Baitul Maqdis sebagai arah kiblatnya telah membuatkan orang Yahudi dan Nasrani mendakwa orang Islam meniru mereka kerana kiblat bagi mereka juga adalah sama, di Baitul Maqdis. Kemudiannya, dengan perintah Allah Azza Wa Jalla, arah kiblat umat Islam berubah ke Baitullah, Masjid Al-Haraam, tempat dimana terletaknya bangunan Kaabah. Arahan dan perintah ini bagi membezakan agama Islam yang suci dengan agama-agama lain. Demikian secara ringkas sejarah arah kiblat umat Islam.

Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al-Baqarah 149 yang bermaksud :

"Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu kearah masjid al-Haraam (Kaabah) : dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan".

Apa yang pastinya adalah Kaabah merupakan suatu tempat yang menjadi arah kiblat menyembah Allah. Padanya bukanlah berhala besar mahupun tempat bersemayamnya Tuhan. Diatas prinsip yang utuh, Islam sangat melarang umat manusia daripada menjadikan patung berhala sebagai tempat menyembah Tuhan dan perkara tersebut dimurkai oleh Allah SWT. Dengan demikian juga, kita boleh melihat tiada sebarang upacara atau ritual khas bagi mensucikan Kaabah melainkan semata-mata tempat orang Islam beribadah selari dengan perintah Allah SWT, Tuhan empunya syariat Islam suci ini. Semoga Allah merahmati dan memberkati kehidupan kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan