Kepimpinan
merupakan aspek terpenting yang ditekankan oleh Islam. Amanah sebagai pemimpin
bukanlah suatu kebanggaan mutlak kerana padanya terpundak tanggungjawab yang
akan dipersoalkan kelak. Allah SWT sememangnya telah menjadikan para hamba Nya
dikalangan umat manusia sebagai khalifah atau pemimpin diatas muka bumi ini.
Ini merupakan ketetapan yang boleh kita telusuri berdasarkan firman Nya dalam
surah al-Baqarah ayat 30, yang bermaksud :
"Dan
(ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat ; "Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".
Melantik
pemimpin juga adalah suatu tuntutan dalam hidup beragama. Oleh itu, diatas
realiti pada hari ini, kita diberi pilihan melalui sistem demokrasi ini bagi
kita memilih dan melantik pemimpin yang kita yakini. Hakikatnya, kita tidak
dapat lari daripada keluar mengundi dan memilih pemimpin. Peri penting memilih
dan melantik pemimpin ini ditegaskan oleh baginda Nabi SAW sepertimana yang
terdapat dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Apabila
tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah salah seorang daripada mereka
dilantik sebagai ketua".
Sekiranya
keluar bermusafir tiga orang pun, baginda Nabi SAW menyuruh kita melantik
ketua. Inikan pula untuk mengurus tadbir sesebuah negara yang melibatkan jutaan
warga penduduk, lebih-lebih lagi lah penting dan utama untuk kita memilih
pemimpin. Namun satu hal yang menjadi polemik dikalangan masyarakat adalah
apabila calon yang bertanding untuk dijadikan pemimpin adalah terdiri daripada
mereka yang bukan beragama Islam. Persoalannya sejauh mana pertimbangan hukum
syarak berkenaan hukum melantik pemimpin dikalangan orang kafir atau orang
bukan Islam.
Pertamanya,
Allah SWT melalui firman Nya telah melarang dan menegah orang Islam daripada
menjadikan orang kafir sebagai teman rapat kita. Hal ini sepertimana firman Nya
dalam surah Ali-Imran ayat 28 yang bermaksud :
"Janganlah
orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan
meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan yang demikian
maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali
kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak
mereka (yang kafir itu)".
Berdasarkan
ayat ini, Syeikh Wahbah az-Zuhaily dalam kitabnya Tafsir al-Munir,
beliau menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan sekumpulan orang Islam
yang menjadikan segolongan orang Yahudi yang mempunyai niat jahat terhadap
Islam, dan mereka enggan untuk menjauhi mereka meskipun telah dinasihati dan
diperingatkan berkali-kali tentang tipu daya mereka. Menerusi apa yang
dinyatakan oleh beliau ini, larangan dan tegahan tersebut adalah diikat dengan
syarat agar umat Islam yang berteman rapat dengan orang kafir tidak sehingga
tahap meredhai segala kekufuran dan kesyirikkan yang telah mereka lakukan.
Menurut
Imam Fakhruddin ar-Razi di dalam kitabnya Tafsir al-Kabir, beliau
menyatakan bahawa menjadikan orang-orang kafir sebagai teman rapat atau sekutu
mengandungi tiga pengertian. Pertama, meredhai kekufuran mereka. Hal ini jelas
dilarang dan ditegah oleh Islam. Keduanya, bergaul dengan mereka secara baik
sesuai dengan realiti hari ini, hal tersebut tidaklah dilarang. Ketiganya,
berpihak atau menyebelahi kepada orang kafir, menghulurkan bantuan menyokong
kekafiran mereka, hal tersebut dilarang sama sekali di dalam Islam.
Bagi
melihat sudut pandang hukum syarak berkenaan melantik dan memilih orang kafir
sebagai pemimpin, terbahagi kepada dua pandangan. Pandangan pertama,
sepertimana yang dinyatakan oleh para sarjana Islam seperti al-Qadhi 'Iyadh,
Ibnu Munzir dan Ibnu Hazm dalam kitab Syarh Sahih Muslim, Ahkam Ahl
al-Zimmah dan Maratib al-Ijma', mereka menyatakan bahawa para ulama
sepakat bahawa kepimpinan tidak boleh diserahkan kepada orang kafir. Bagi
mereka, adalah haram melantik dan memilih orang kafir sebagai pemimpin. Begitu
juga senada dengan mereka adalah al-Jassas, dalam kitab Ahkam al-Quran,
ketika beliau menafsirkan ayat 28 surah Ali Imran, beliau menyatakan ayat ini
menjadi dalil pengharaman meminta bantuan bukan Islam dan mempercayai mereka.
Pandangan
kedua, seperti yang dipegang oleh Ibnu Hajar al-Haitami, dalam kitab Tuhfah
al-Muhtaj ma'a Hashiyah al-Syarwini, beliau menyatakan bahawa adalah harus
mengangkat orang bukan Islam untuk suatu jawatan jika adanya maslahah
(kebaikan) padanya, dan jika jawatan tersebut tidak mampu dipikul oleh mana-mana
orang Islam, atau orang Islam mempunyai sifat khianat dan yang bukan Islam
tidak mempunyai sifat demikian. Namun pihak yang mengangkatnya ke jawatan
tersebut perlu menyelia dan mampu mencegahnya daripada melakukan sebarang
kemudaratan terhadap orang Islam.
Senada
dengan Ibnu Hajar al-Haitami ialah Imam ar-Ramli, Imam Khatib as-Syarbini dan
Ibnul 'Arabiy. Dalam kitab Nihayah al-Muhtaj, Imam ar-Ramli menyatakan
bahawa harus bekerjasama dengan orang bukan Islam apabila mereka tidak berniat
khianat terhadap orang Islam dan terdapat keperluan ke arahnya. Begitu juga
menurut Imam Khatib as-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, beliau
menyatakan adalah menjadi keharusan bagi orang Islam bekerjasama dengan orang
bukan Islam jika ada keperluan.
Demikian
pula Ibnul ‘Arabiy dalam kitab Ahkam al-Quran, berpandangan bahawa jika
melantik dan memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin itu mempunyai faedah
yang muhaqqaqah, maka tidak mengapa dengan maksud harus melantik orang bukan
Islam sebagai pemimpin. Turut memberikan pandangan dalam isu ini al-Marhum
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menerusi penulisannya dalam kitab Ghayr fi
al-Mujtama' al-Islami. Beliau menyatakan bahawa golongan bukan Islam
mempunyai hak untuk menjawat jawatan-jawatan negara kecuali jawatan-jawatan
yang lebih dominan unsur keagamaan seperti ketua negara, panglima tentera,
penghakiman antara orang Islam dan pengurusan zakat.
Dalam
pandangan yang lain menerusi kitabnya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam,
beliau menyatakan sepanjang sejarah, orang bukan Islam telah banyak memegang
jawatan-jawatan penting dalam negara Islam, dan tiada seorang ulama pun yang
mengingkari hal ini. Adapun ayat-ayat al Quran yang melarang berteman rapat
terhadap orang bukan Islam, ia khusus kepada mereka yang mempunyai permusuhan
terhadap agama Islam dan penganutnya, bukan semata-mata kerana berbeza agama.
Oleh
itu, kesimpulan yang boleh kita dapati ialah Islam mengharuskan kita melantik
dan memilih pemimpin dikalangan orang bukan Islam dan hal itu terikat dengan
beberapa kriteria. Misalnya, kita mestilah dapat mengawal dan menyelia
tindak-tanduk pemimpin tersebut agar tidak bercanggah dengan tuntutan syarak.
Selain itu, kita juga harus melantik orang bukan Islam untuk menjadi pemimpin
selagimana orang tersebut tidak memusuhi dan menyerang Islam secara nyata.
Melantik orang bukan Islam bukanlah bermakna kita meredhai kekufurannya.
Sebaliknya bermaksud kita memberikan kepercayaan padanya untuk membantu
memimpin selagi hal itu tidak membawa kepada kesyirikan dan kekufuran. Semoga
Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan