Jumaat, 11 November 2022

RAKYAT MENGUNDI ; ANTARA PAHALA DAN DOSA

Kesedaran masyarakat sangat penting tentang betapa pentingnya memilih pemimpin yang baik bagi menentukan masa depan negara yang lebih seimbang, terjamin dan stabil. Dalam konteks dan realiti pada hari ini, sistem demokrasi yang telah diamalkan oleh kebanyakan negara dunia telah membuka ruang dan peluang untuk rakyat memilih pemimpin. Melalui sistem demokrasi, rakyat diberi pilihan untuk mengundi calon yang diyakini bagi diangkat sebagai wakil mereka membawa suara rakyat di parlimen.

Dalam soal ini, umum telah mengetahui bahawa agama sangat menekankan soal mengangkat pemimpin dikalangan mereka yang al-Qawiy (berkemampuan) dan al-Amin (amanah dan bertaqwa) sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah".




Oleh itu, proses membuang undi bagi memilih calon yang berkelayakan bukan sekadar undi semata-mata, bahkan kesan daripada pengundian tersebut juga akan memberikan kesan baik buruk kepada kita. Setiap amalan sama ada perkara itu baik mahupun buruk, termasuk membuang undi memilih pemimpin, akan dihitung kesan baik buruknya oleh Allah SWT. Ini bermakna, sekiranya kita memilih pemimpin yang di ketahui jika di pilih akan membawa kebaikan, lalu kita memilihnya, maka disisi Allah, kita akan perolehi pahala. Sebaliknya, jika kita memilih pemimpin yang di ketahui jika di pilih akan membawa keburukan, lalu kita memilihnya, maka disisi Allah kita akan mendapat kemurkaan Nya

Dalam sebuah hadith riwayat Imam Malik dan al-Tirmizi, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan suatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah".

Berdasarkan hadith ini, kita fahami barangkali pada sangkaan kita, setiap apa yang kita tuturkan itu tidaklah sebegitu besar kesannya namun di sisi Allah, tetap diambil kira dan dihitung oleh Nya. Baik buruk setiap perlakuan kita itu akan mengundang pahala dan dosa kesan daripada apa yang telah kita perlakukan. Hal ini termasuklah dalam soal memilih pemimpin. Kesan memilih pemimpin yang baik serta berkelayakan, kita akan perolehi pahala. Tetapi jika sebaliknya, kesan memilih pemimpin yang zalim serta tidak berkelayakan, kita akan perolehi dosa.

Ini bermakna, setiap dikalangan kita yang diberi mandat untuk memilih haruslah memastikan individu yang diundi itu berkemampuan melaksanakan tanggungjawab tersebut dan mempunyai nilai amanah, integriti yang tinggi dalam diri. Jika hal ini tidak dipertimbangkan, maka bererti kita telah memberikan undi kepada mereka yang tidak berkelayakan dan mampu memegang amanah tersebut. Lebih malang lagi sekiranya kita telah pun ketahui rekod buruk individu tersebut, namun tetap memilihnya juga, secara sedar atau tidak, kita telah menyokong kezaliman individu tersebut. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 113 yang bermaksud :

"Dan janganlah kami cenderung kepada orang-orang yang membuat zalim nanti kamu akan disambar oleh api neraka sedangkan kamu tiada sebarang penolong pun selain dari Allah, kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan".




Melalui ayat ini, Allah Azza Wa Jalla memberi amaran kepada umat manusia agar sama sekali cenderung kepada mereka yang zalim. Apatah lagi untuk bersekongkol, menyokong dan membantu orang-orang yang zalim, lagilah dilarang dan dimurkai oleh Allah SWT. Oleh sebab itu, proses pengundian memilih pemimpin yang terkandung dalam sistem demokrasi adalah juga merupakan medan perhitungan pahala dosa dan syurga neraka disisi Allah. Dalam al-Quran, Allah SWT merakamkan penyesalan bagi ahli neraka yang menyokong, memilih dan bersubahat dengan orang-orang yang zalim.

Firman Nya dalam surah al-Ahzab ayat 67 yang bermaksud :

"Dan mereka berkata lagi : "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar".

Begitu juga Nabi SAW melarang kita untuk bersama-sama dengan orang-orang yang zalim. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi yang bermaksud :

"Dari Ka’ab bin ‘Ujrah (diriwayatkan) ia berkata: Rasulullah SAW menghampiri kami, kami berjumlah sembilan, lima, dan empat. Salah satu bilangan (kelompok) dari Arab sementara yang lain dari ‘Ajam. Beliau bersabda: Dengarkan, apa kalian telah mendengar bahwa sepeninggalku nanti akan ada pemimpin-pemimpin, barangsiapa yang memasuki (berpihak kepada) mereka lalu membenarkan kedustaan mereka serta menolong kezaliman mereka, ia tidak termasuk golonganku dan tidak akan mendatangi telagaku. Barangsiapa tidak memasuki (berpihak kepada) mereka, tidak membantu kezaliman mereka dan tidak membenarkan kedustaan mereka, ia termasuk golonganku, aku termasuk golongannya dan ia akan mendatangi telagaku."




Namun begitu, sebagai manusia yang lemah dan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya berlagak suci seperti Tuhan yang memegang kunci syurga dan neraka, menentukan undi kita boleh masuk syurga dan undi orang lain masuk neraka. Politik adalah soal ijtihad. Barangkali boleh jadi betul dan sebaliknya boleh jadi salah. Manusia sekadar mampu untuk berusaha mencari yang terbaik, selebihnya kata putusnya hanya daripada Allah Azza Wa Jalla. Diatas zahirnya manusia melakukan pertimbangan. Hakikatnya, Allah jualah yang lebih mengetahui.

Demikianlah undi dalam pilihan raya itu bukanlah sesuatu yang tidak memberikan kesan dalam hidup beragama. Sebagai orang Islam yang beriman kepada Allah, pilihan yang kita buat adalah tanggungjawab kita diatas keimanan dan ketaqwaan kita. Baik buruk atas pilihan yang kita lakukan tersebut akan dihitung oleh Allah sebagai amal soleh ataupun tidak. Selagi terdaya, pilih lah yang baik atau sekurang-kurangnya paling sedikit mudarat pada negara. Semoga Allah memberkati kita semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan