Ketika bertugas mengendalikan sebuah slot
bual bicara dalam program Perlis Mengaji, saya tertarik dengan pandangan Puan
Sharifah Aini, Pegawai Psikologi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis ketika beliau
mengupas tajuk "Kesihatan Mental Adalah Nikmat : Cintai Diri" yang
disiarkan secara langsung menerusi Suara Sunnah Channel. Ketika diajukan soalan
tentang kaedah kerohanian dalam menangani masalah mental ini, beliau menyatakan
dikalangan kita yang beribadah seringkali gagal memahami apa yang dibaca dan dilaksanakan
yang akhirnya kita akan rasa penat dan letih saja.
Antara perkara yang harus kita akui ialah
sebahagian daripada kita gagal untuk memahami makna ibadah atau dalam erti kata
lain, kita telah gagal melahirkan perasaan khusyuk dalam beribadah sehingga kita
akan merasakan ibadah menjadi suatu bebanan bukan lagi suatu hubungan langsung
kita dengan Allah SWT. Kekhusyukkan dalam beribadah adalah kunci utama dalam
memperoleh ketenangan dan kedamaian jiwa. Hati yang khusyuk juga akan
menzahirkan rasa syukur dengan apa yang dimiliki oleh kita.
Oleh kerana itu, salah satu ciri-ciri
orang yang berjaya adalah mereka yang khusyuk dalam ibadah. Sepertimana firman
Allah SWT dalam surah al Mu'minun ayat 1-11 dimana Allah telah menggariskan
ciri-ciri orang beriman yang berjaya. Firman Allah yang bermaksud :
"Sesungguhnya berjayalah orang yang
beriman (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya (2) Dan mereka yang
menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia (3) Dan mereka yang
berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); (4) Dan
mereka yang menjaga kehormatannya...."
Antara ciri-ciri tersebut adalah mereka
yang khusyuk dalam solat. Jika kita luaskan makna ini, bermaksud ibadah seperti
solat, membaca al quran, berzikir dan sebagainya dengan penuh kekhusyukkan akan
melahirkan kejayaan dengan cara jiwa dan hati menjadi tenang dan aman.
Sebaliknya, jika kita sekadar solat, melakukan gerakan semata-mata tanpa kita
memahami makna solat, maka kita barangkali beroleh penat lelah sahaja.
Begitu juga dengan berzikir, membaca al
quran, jika kita berzikir dengan hati yang rendah diri, suara penuh kesantunan,
insha Allah ketenangan akan kita miliki. Al quran yang kita baca setiap hari,
jika dibaca dengan sepenuh hati khusyuk, insha Allah ianya menjadi penawar duka
jiwa yang lara. Oleh kerana itu juga, Allah SWT menganjurkan hamba Nya untuk
berzikir mengingati Nya dalam keadaan yang rendah diri dan takut. Sepertimana
firman Nya dalam surah al A'raaf ayat 205 yang bermaksud :
"Dan ingatlah Tuhan kamu di dalam
diri kamu secara rendah diri dan penuh rasa takut"
Anjuran ini adalah bagi melahirkan rasa
khusyuk dalam diri, memahami setiap bait-bait zikir yang diungkapkan,
mengagungkan dan membesarkan Nya hingga kita tenggelam dalam ketenangan jiwa
mengubat hati yang duka. Begitu juga dengan membaca ayat-ayat suci al Quran,
yang merupakan kalam penawar bagi hati yang berduka, di dalamnya terkandung
ayat motivasi untuk diri terus menghampiri Tuhan empunya nikmat ketenangan dan
kebahagiaan.
Namun malangnya, sebahagian kita hanya
mengejar kuantiti ibadah, mengejar bilangan rakaat, menghitung helaian muka
surat al quran, mengira jumlah zikir di bibir, berbanding kita mengejar kualiti
ibadah yang menjamin ketenangan dan kebahagiaan hidup. Tidak hairanlah jika ada
yang mendakwa dirinya telah solat, telah membaca al quran, telah banyak
berzikir, tetapi jiwanya tidak tenteram. Kerana hakikatnya, ibadah itu bukannya
sekadar melaksana tetapi lebih dari itu ialah meletakkan diri kita khusyuk
dalam beribadah. Inilah kelazatan beribadah. Apabila khusyuk datang menyapa,
maka insha Allah ketenangan jiwa akan bertandang tiba.
Kita percaya, selain rawatan psikologi
yang lain, beribadah juga merupakan sebahagian daripadanya. Dengan syarat, kita
mesti beribadah dengan bersungguh-sungguh, khusyuk pada Nya, barulah jiwa akan
tenang dan damai. Segala kekusutan dan keresahan jiwa dapat diubati dengan kita
beribadah mendekatkan diri kepada Allah dalam keadaan penuh khusyuk pada Nya.
Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan