Isnin, 31 Mei 2021

APABILA NASIHAT AHLINYA DIKETEPIKAN

 

Melihat perkembangan wabak Covid 19 yang amat membimbangkan ini, apatah lagi statistik kematian angkara Covid 19 semakin mencanak naik, apa lagi yang mahu kita bantahkan. Apa lagi yang mahu kita bangkang. Bagaimana cara lagi untuk kita menghentam kiri kanan. Tatkala ada sebilangan kecil daripada kita masih menganggap Covid 19 ini suatu lakonan semata-mata, semakin ramai juga netizen yang terkena tempias wabak ini tampil menasihatkan masyarakat di luar sana yang masih berkhayalan dengan teori kepunahan itu.

Masih ingatkah kita betapa hebatnya warga maya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangkit dan menghentam fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hukum HARAM merentas negeri atas alasan berziarah balik kampung. Pelbagai bentuk sindirian dibuat untuk menzahirkan rasa bantahan terhadap fatwa yang dilihat "mesra kerajaan" ini. Ada juga yang beranggapan kerajaan terdesak sehingga menggunakan institusi agama bagi menakutkan lagi orang ramai merentas negeri.



Sebelum daripada itu, Tan Sri Dato Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia juga pernah diselar sebagai anggota Freemanson kerana saranan beliau yang saban hari mengingatkan kita akan kepentingan masyarakat mematuhi SOP dan mendaftar sebagai penerima vaksin. Tidak cukup dengan itu, para mufti dan golongan cerdik pandai ilmuwan Islam turut dikecam hebat dengan dakwaan telah memasuki perangkap Yahudi, gerakan Freemanson dan pelbagai lagi kerana menyokong Dasar Vaksinasi Imunisasi Negara.

Akhirnya, sejak sebelum menjelang Aidilfitri lagi, negara kita menerima kenaikan kes yang mencanak naik dan terus membimbangkan kita semua. Saudara saudari sekalian, setelah kita berjuang menghentam orang sana sini, setelah penat kita berteori itu dan ini, setelah kita mendengar coleteh para asatizah ustaz-ustazah yang mendakwah ini semua perancangan terancang, apa lagi yang boleh kita lakukan ? Siapa lagi yang mahu kita dengar dan taat ? Kemana kita dengan teori konspirasi ini ? Walhal, agama sesekali tidak pernah berdiri diatas angan-angan dan teori itu dan ini. Mesti ada bukti, hujah dan disandarkan pada sumber yang sahih.

Dalam al Quran, menerusi firman Nya dalam surah al Baqarah ayat 111 yang bermaksud :

".....katakanlah (wahai Muhammad) : Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar"

Inilah prinsip yang mesti dipegang oleh orang yang beriman. Bercakap mestilah bersandarkan bukti hujah. Bukti dan hujah pula mesti berdiri diatas sumber yang sahih. Bukan sekadar angin yang lalu. Golongan bercakap pandai dan bersembang bagai tak tumbang inilah yang akan menanggung dosa diatas teori fitnah bercampur celaan terhadap usaha baik oleh pihak yang bertanggungjawab. Usaha menolak vaksin dan menolak pematuhan SOP adalah suatu usaha yang berdosa besar kerana bukan sahaja melanggar arahan pemerintah malah berdosa kerana memfitnah hingga boleh menyebabkan kehilangan banyak nyawa.



Jika fatwa yang dikeluarkan oleh para mufti, yang sudah tentu diiktiraf kelayakan mereka untuk bercakap pun masih mahu kita lawan, kepada siapa lagi mahu kita jadikan sebagai rujukan. Jika nasihat dan saranan pakar kesihatan pun kita ketepikan, kepada siapa lagi mahu kita dengarkan. Ingatlah pesanan Allah SWT kepada kita semua menerusi firman Nya dalam surah al Anbiyaa' ayat 7 yang bermaksud :

"....maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui."

Apakah tindakan kita selepas ini akan dapat menyelamatkan nyawa atau sebaliknya akan mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa ? Setiap percakapan kita, tidak kira sama ada bentuk rakaman video atau penulisan, menghasut masyarakat dengan doktrin fitnah dan sampah, menghasut masyarakat menolak vaksin, menganggap hal ini adalah percaturan dajjal, freemanson dan entah apa lagi, kesudahannya bagaimana kita perlu hadapi semua ini ? Semuanya akan kembali rujuk kepada orang yang berilmu, yang mahir dan pakar dalam bidang-bidang tertentu. Ustaz ustazah pun bukannya pakar dalam semua bidang. Bukan semua para asatizah hebat dan tahu dalam semua perkara. Untuk itu, salurkanlah kekeliruan itu dan ini ke saluran ahlinya yang betul.

Teringat akan satu hadis Nabi SAW yang memberi ancaman kepada mereka yang tersalah memberi pandangan sehingga mengorbankan nyawa. Dalam satu hadis riwayat al Hakim, daripada Ibn Abbas RA yang bermaksud :

"Terdapat seorang lelaki berjunub pada musim sejuk. Dia bertanya (kepada orang ramai) maka dia disuruh untuk mandi, maka dia mandi lalu mati. Lalu disebut perkara itu kepada Nabi SAW maka baginda berkata : Apa mereka sudah lakukan ? Mereka telah membunuhnya, maka Allah akan membunuh mereka!. Baginda mengulanginya tiga kali..."

Hadis ini menceritakan kepada kita apabila fatwa "orang ramai" tanpa ilmu, telah menyebabkan membunuh satu nyawa yang tidak bersalah. Walhal, dalam keadaan itu, si lelaki yang berjunub itu boleh bertayammum sahaja untuk mengelakkan kemudharatan yang lebih besar. Demikian juga dalam hal ini. Untuk mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, patuhilah SOP, ambil lah vaksin tanpa ragu, dan ikutilah saranan dari masa ke semasa oleh golongan yang berkelayakan. Bukan sekadar berfatwa di kedai kopi sambil bersyarah teori itu dan ini. Semoga kita semua dirahmati oleh Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan