Isu konflik di Palestin kini bukan lagi
sekadar isu pertembungan agama malah ianya telah mengheret Israel berdepan
dengan kesalahan jenayah undang-undang antarabangsa. Untuk melihat konflik ini,
tidak semestinya kita perlu menjadi seorang Islam dahulu. Tetapi sebaliknya,
cukup lah sekadar kita menjadi seorang manusia yang berhati perut dan kita akan
dapat menilai onar kekejaman tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis.
Dalam usaha mencari jalan penyelesaian
berkenaan konflik ini, kita dapati terdapat suara pandang dan gesaan oleh
rakan-rakan daripada Hizbut Tahrir yang menggesa supaya pasukan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) turun ke medan dan pertahankan bumi Palestin tanpa perlu
menunggu arahan dari kerajaan Malaysia. Malah dakwa mereka lagi, tiada seruan
yang lebih tinggi melainkan seruan dan arahan daripada Allah untuk membela
nasib umat Islam.
Sekilas pandang, jika kita meneliti
gesaan ini seperti ada benarnya juga. Bak kata Buya Hamka, jika diam di saat
agamamu di hina, gantilah bajumu dengan kain kafan. Jadi, mengapa kita masih
berdiam diri sedangkan saudara seakidah dengan kita di tindas dan dicabuli hak
kemanusiaannya. Namun, perlu diingatkan bahawa, setiap tindak tanduk tindakan
kita perlu juga mengambil kira kesan dan implikasinya. Tidak sekadar turun
berperang semata-mata.
Malah, dakwaan Hizbut Tahrir yang
menyatakan ATM mesti turun ke medan perang
pertahankan Palestin walau tanpa arahan kerajaan adalah suatu seruan
yang bertentangan syariat. Firman Allah SWT dalam surah al Nisa ayat 59 yang bermaksud
:
" Wahai orang yang beriman taatlah
kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri
(para pemimpin) dari kalangan kamu"
Juga dalam sebuah hadis sahih riwayat
Bukhari, daripada Ibnu Umar RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud :
"Dengar dan taat (kepada pemerintah)
itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak
memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada
maksiat maka tidak wajib dengar dan taat (pada arahan tersebut)."
Kita sangat yakin, rakan-rakan dari
Hizbut Tahrir telah pun memahami kewajipan mentaati pemerintah selagi mana
pemerintah menyuruh kepada kebaikan. Maka, gesaan supaya ATM turun ke medan
berperang tanpa perlu menunggu arahan dari kerajaan adalah suatu gesaan yang
tidak wajar dan melanggar perintah Allah SWT. Kita mesti memahami perkara ini
terlebih dahulu kerana inilah akar tunjang kepada tindak tanduk kita agar
selari dengan arahan Allah yang juga memerintah kita untuk mendengar dan
mentaati perintah pemerintah.
Dalam masa sama, menilai perkembangan
semasa yang semakin meruncing di bumi Palestin, mengapa kerajaan tidak segera
menghantar bantuan tentera untuk melindungi rakyat Palestin ? Apakah kerajaan
Malaysia yang berstatus negara Islam berdiam diri berpeluk tubuh dan reda
menyaksikan penindasan berlaku ? Untuk menilai tindakan kerajaan, kita perlu
lebih adil dan waras berpandukan neraca syariat dan bukan bertunjangkan
sentimen agama semata-mata.
Untuk membuat sesuatu keputusan yang
melibatkan urus tadbir pemerintah, kerajaan perlu membuat keputusan yang
terikat dengan maslahah rakyat. Dalam erti kata lain, untuk membuat sesuatu
tindakan, kerajaan akan terikat dengan kepentingan dan kebaikan untuk rakyat.
Tidak boleh sewenang-wenangnya memgeluarkan arahan tanpa pertimbangan maslahah
ini. Dalam satu kaedah fiqh disebutkan "urus tadbir pemerintah ke atas
rakyat hendaklah terikat dengan maslahah". Oleh itu, pelbagai penelitian
dan pertimbangan wajar perlu di perhalusi terlebih dahulu.
Adapun persoalan tentang tindakan
kerajaan Malaysia sehingga hari ini, Malaysia yang diwakili oleh Menteri Luar
Negara telah menghadiri Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya pada 16 Mei
2021. Beliau yang mewakili Malaysia telah menggesa OIC untuk mengambil tindakan
lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat
Palestin. Malah dalam mesyuarat tersebut juga, negara anggota OIC telah
menyatakan komitmen untuk memperkasakan ekonomi dikalangan negara anggota
sebagai salah satu jihad untuk melumpuhkan ekonomi Zionis dan sekutunya
Amerika.
Laporan akhbar juga melaporkan Menteri
Kanan (Keselamatan), Dato Seri Ismail Sabri Yaakob bersedia untuk menghantar
bantuan tentera pengaman ke Palestin sekiranya mendapat permintaan daripada
PBB. Persoalannya, mengapa kita tidak hantar sahaja bantuan tentera tanpa perlu
menunggu arahan PBB ? Jawapannya adalah kerana negara kita tertakluk kepada
undang-undang antarabangsa. Kita tidak mahu jadi seperti rejim Zionis yang
sesuka hati menyerang dan mencabuli hak dengan melanggar undang-undang
antarabangsa.
Sekalipun negara bercadang untuk
menghantar tentera ke Palestin, kita mesti melihat kepada kesan implikasinya
terhadap negara. Dalam ilmu Maqasid Syariah, terdapat istilah yang disebutkan
sebagai "Maalat" yang membawa maksud kesan implikasi
yang akan dihadapi. Dalam kitab al Muwafaqat karangan Imam Syatibi, beliau
mendatangkan satu gagasan yang bermaksud "melihat kepada kesan
perbuatan". Beliau menghuraikan gagasan ini dengan menyatakan :
"Melihat kepada kesan perbuatan
diiktibar dan di inginkan oleh syarak sama ada perbuatan itu bertepatan atau
bertentangan (dengan syara'). Justeru itu, buat seorang mujtahid tidak (boleh)
menghukum perbuatan atau perbuatan-perbuatan yang lahir dari mukallaf (hanya)
berdasarkan (penilaian) awal atau tidak pasti melainkan selepas melihat kesan
yang terhasil daripada perbuatan ini"
Hal yang sama juga perlu di pertimbangkan
oleh pemerintah, sebelum memberikan arahan berperang di Palestin. Pemerintah
perlu bijak menilai apakah kesan implikasi yang akan dihadapi sekiranya sesuatu
tindakan itu dibuat. Oleh itu, sesuatu keputusan itu tidaklah semudah sembang
di kedai kopi, tidaklah semudaj berforum berwacana dan sebagainya. Bahkan
pemerintah perlu lebih bijak agar tindak tanduknya tidak merugikan rakyat yang
dipimpinnya.
Selain itu, kita juga perlu arif dan
memahami tentang geopolitik timur tengah sebelum kita berperang. Berperang
bukan bermakna mengangkat senjata dan tembak sesuka kita. Tetapi mesti dengan
strategi, teknikal dan susun atur yang hebat agar kita tidak tergelincir dalam
permainan politik dunia. Ambil lah iktibar dengan apa yang berlaku di
kebanyakan negara Timur Tengah seperti Syria, Libya dan Iraq. Akibat mengikut
kehendak diri, porak peranda negara Islam hasil percaturan licik kuasa dunia.
Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan