Isnin, 17 Mei 2021

ADA APA DENGAN ISRAEL, YAHUDI & ZIONIS

 

Ramai dikalangan kita yang seringkali bertanyakan sampai bila isu Palestin ini akan tamat plot cerita penindasannya. Apabila kita bercerita tentang isu keganasan di Palestin, kita selalu mendengar perkataan Israel, Yahudi dan Zionis kerapkali bermain di minda kita semua. Ada juga mungkin masih keliru dengan tiga terma ini sehingga telah menimbulkan salah faham terhadap agama Yahudi yang dipelopori oleh kaum Israel.

Kita perlu memahami apakah makna dan perbezaan perkataan Israel, Yahudi dan Zionis. Dengan pemahaman makna 3 terma ini, dapatlah kita simpulkan bahawa konflik yang tidak berkesudahan berlaku di bumi Palestin ini, sama ada ianya isu pertembungan agama atau isu nasionalisma ? Peri pentingnya juga kita perlu memahami terma-terma ini agar kita tidak terkeliru dengan gerakan politik dan badan antarabangsa yang dilihat seperti ditunggang oleh pihak tertentu bagi menutup mata dengan apa yang terjadi di Palestin.



Israel adalah suatu kaum atau keturunan yang juga disebut sebagai bani Israel, daripada anak keturunan Nabi Yaakub AS. Nabi Yaakub juga digelar sebagai 'Israel' yang bermaksud hamba Allah. Dalam bahasa Ibrani, 'Isra' bermaksud hamba manakala 'El' pula bermaksud Allah. Dalam al Quran, terdapat ayat-ayat yang menceritakan tentang sebahagian dari bani Israel yang kufur kepada Allah. Hal ini bermaksud tidak semua bani Israel itu adalah kufur, ada juga sebahagian daripada mereka yang beriman. Firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 87 yang bermaksud :

" Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul Qudus (Jibril). Maka patutkah tiap-tiap kali datang kepada kamu seoang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya ?"

Ayat ini menceritakan kepada kita akan sikap sebahagian bani Israel yang kufur kepada Allah dengan mengambil ajaran agama mengikut apa yang disukainya sahaja dan menolak apa yang tidak disukainya. Malah kebiadaban dan keingkaran mereka terhadap Allah ini ada yang sehingga sanggup membunuh para rasul utusan Allah SWT.

Namun begitu, al Quran juga turut merakamkan ayat yang menceritakan terdapat sebahagian bani Israel yang beriman kepada Allah SWT seperti para Nabi dikalangan mereka, Nabi Yaakub, Nabi Ishak, Nabi Yusuf. Juga selain dikalangan para Nabi seperti Thalut yang memerangi Jalut, kumpulan Ahli Sihir Firaun yang berani menyatakan keimanan mereka di hadapan Firaun.

Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 70 yang bermaksud :

" Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka, maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata : " Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa".



Perkataan Yahudi pula merujuk kepada sebuah agama yang dianuti oleh golongan bani Israel yang kafir terhadap Allah. Jika kita teliti beberapa ayat al Quran yang menceritakan tentang Yahudi, semuanya berbentuk celaan. Seperti firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 76 yang bermaksud :

" Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata, "Kami telah beriman". Tetapi apabila kembali kepada sesamanya, mereka berkata "Apakah akan kamu ceritakan kepada mereka apa yang telah diterangkan Allah kepadamu, sehingga mereka dapat menyanggah kamu di hadapan Tuhanmu ? Tidakkah kamu mengerti ? "

Imam As Suyuthi dalam kitabnya, Asbabun Nuzul, menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan segolongan Yahudi yang beriman, kemudian mereka mengingkarinya (munafik). Ketika masih beriman, mereka sering mendatangi orang-orang beriman Arab dan menceritakan kebenaran Nabi Muhammad SAW dalam kitab Taurat, kemudian mereka saling menyalahkan.

Perkataan Yahudi juga pada asalnya merupakan nama baru yang disandarkan kepada Yahuda, salah seorang anak Nabi Yaakub. Dalam kalangan 12 suku bani Israel, suku Yahuda yang paling menonjol sehingga mencetuskan sebuah kemunculan kerajaan bernama kerajaan Yahuda. Sehingga kini, penggunaan sebutan 'Yahudi' bukan lagi merujuk kepada orang-orang berketerunan Yahuda semata-mata bahkan merangkumi segenap keterunan dari Israel. Akhirnya, semua bangsa Israel digelar sebagai orang Yahudi dan penganutnya menganut agama Yahudi. Hal ini kerana agama Yahudi dkhususkan untuk kaum Israel sahaja.



Perkataan Zionis pula merujuk kepada sebuah gerakan politik yang dipelopori oleh Moses Hess untuk menubuhkan negara haram Israel. Zionis juga boleh kita sebutkan sebagai sebuah ideologi politik yang menggunakan nama "Yahudi" sebagai asas perjuangan mereka. Secara tidak langsung, Zionis merupakan gerakan politik bagi orang Yahudi yang menyokong penubuhan semula "tanah yang dijanjikan" untuk bangsa Yahudi di Palestin pada abad ke 19 di mana ketika itu dikuasai oleh Kerajaan Turki Uthmaniyah.

Walhal, gerakan Zionis itu sendiri mendapat tentangan hebat dalam kalangan Rabbi Yahudi (ulama dalam agama Yahudi) sendiri. Golongan Rabbi Yahudi sendiri berpendirian negara haram Israel yang diperkenalkan oleh Zionis adalah tidak sah. Hakikatnya, agama Yahudi tidak ada kena mengena dengan gerakan Zionis. Mereka telah menunggang nama Yahudi untuk kepentingan politik semata-mata. Oleh sebab itu, kita akan mendapati sebahagian orang Yahudi juga membantah kekejama Zionis di Palestin. Malah ada yang turut berdemontrasi menzahirkan bantahan mereka. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan