Isnin, 24 Mei 2021

HIDUP BERAGAMA BIARLAH BERAKAL.

 

Setelah hampir setahun lebih negara kita sedang berperang dengan wabak Covid 19 ini, masih wujud dikalangan kita yang menganuti fahaman teori konspirasi dan kelompok ini semakin membarah dalam lingkungan masyarakat. Lebih parah, apabila segelintir dikalangan para asatizah yang menjadi ikutan dan contoh pada mata masyarakat, bercakap pada sesuatu yang bukan dalam bidang pengetahuannya. Mendakwa itu dan ini sekaligus melambatkan proses vaksinasi dan terus mengkhayalkan masyarakat dengan teori konspirasi yang tidak berkesudahan episod.

Kita faham, betapa ramai umat Islam yang mengeluh tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid seperti dulu. Kita juga tahu ramai orang di luar sana yang tidak berpuas hati dengan penutupan masjid dan kawalan yang ketat berbanding tempat awam yang lain yang dilihat longgar dan tanpa kawalan. Lebih memilukan lagi, seorang menteri yang tugasnya hari-hari melaporkan tentang perkembangan dan tindakan kerajaan yang tidak melibatkan kesihatan, beliau juga tidak tahu menahu tentang kasino yang dibuka hingga mencetuskan jangkitan wabak.



Namun, kekeluhan dan kekecewaan ini janganlah sehingga kita seperti hilang akal. Menuduh itu ini agenda Yahudi, menghasut rakyat menolak vaksin tanpa asas dan sebagainya. Dalam hidup beragama, kita mesti menggunakan akal yang waras untuk melakukan sesuatu pertimbangan sebelum kita mengambil sebarang tindakan. Apabila ada dikalangan agamawan yang bercakap tentang vaksin agenda Yahudi, covid percaturan dan lakonan kuasa dunia, maka sebahagian masyarakat bertanya akan kesahihannya. Adakah semua ini rasional berdasarkan realiti yang ada pada hari ini ?

Apabila masyarakat mula bertanya, ini menunjukkan orang awam sudah memahami agama dengan wajib menggunakan akal dan wahyu al Quran dan as Sunnah, bukan sekadar mendengar cerita sini sana dengan tanpa masuk akal dan tanpa semakan sumber yang betul. Hal jelas membuktikan pada kita bahwa agama dan akal dua perkara yang saling berhubung kaitkan. Agama tidak pernah menolak akal dan sudah tentu akal tidak akan boleh menolak agama.

Firman Allah SWT dalam surah al Mulk ayat 10 yang bermaksud :

"Berkata mereka (ahli neraka), kalau kami dengar dan menggunakan akal, sudah pasti kami bukan ahli neraka".

Berdasarkan ayat ini, al Quran menerusi firman Allah telah mencerirakan kepada kita bahawa dikalangan ahli neraka, antara ciri-ciri mereka adalah mereka yang ketika di dunia tidak menggunakan akal. Mereka tidak memanfaatkan anugerah akal ini sehingga mereka bertindak dengan tindakan yang boleh menghumbankan mereka ke dalam neraka. Oleh itu, jelas disini bahawa agama dan akal saling berpaut antara satu sama lain.



Orang berakal berdasarkan kitab Lisan al Arab, bermaksud orang yang boleh mengawal hawa nafsunya daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah. Sebaliknya, orang yang tidak berakal bermaksud orang yang tidak dapat mengawal hawa nafsunya sehingga terjebak dalam lembah kemungkaran dan kemaksiatan. Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud :

"Dan aku tidak (mengatakan) diriku bebas (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong ke arah kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang".

Sesuatu perbuatan buruk dan keji adalah lahir daripada nafsu yang selalu mendorong diri kita. Untuk itu, bagi mengawal nafsu, peranan akal dalam membuat pertimbangan sangatlah penting disamping wahyu Allah SWT. Menurut Imam Ibnu Manzur, nafsu boleh dikawal dengan akal. Oleh demikian, hidup beragama mesti juga hidup berakal kerana kedua-duanya saling melengkapi.

Akal juga telah mendapat tempat yang tinggi dalam hidup beragama. Ini kerana Islam meletakkan asas bahawa orang yang tidak berakal seperti orang gila tidak di tuntut untuk mengamalkan agama. Dalam istilah disebut "mukallaf". Bahkan dalam kitab Zad al Masir fi Ilm al Tafsir, Ibn Abbas ada menyatakan bahawa manusia yang semakin berakal, maka semakin kuat beragama. Semakin dia berakal dalam beragama, dia akan meninggalkan perkara yang haram dan semakin kuat melakukan ketaatan kepada Allah.

Kegagalan kita untuk memahami sesuatu perkara misalnya seperti vaksin bukanlah bermakna ianya tidak masuk akal. Kegagalan kita itu adalah barangkali kerana kebodohan kita, lemahnya kita dalam membaca, mengkaji dan menyemak. Kita lebih gemar menyelak gambar artis, mencari gosip yang akhirnya tidak membantu kita memahami sesuatu perkara. Oleh itu, rujuklah pada yang pakar, bertanyakan kepada ahlinya. Hidup dalam sangkaan dan berandaian, tidak akan membawa kita bertemu dengan kebenaran. Semoga Allah memberikan kita hidayah serta taufik Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan