Sabtu, 29 Mei 2021

PERUBATAN MENURUT SUNNAH NABI

 

Sebagai orang Islam, ajaran sunnah baginda Nabi SAW merupakan panduan terpenting dalam kerukunan hidup sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan Rasul Nya. Malah, sunnah Nabi SAW merupakan sumber primer (utama) untuk umat Islam menjadikan ianya sebagai rujukan dan panduan kehidupan.

Perkataan sunnah merujuk kepada makna sebarang perbuatan, perkataan, persetujuan (taqrir) dan sifat perwatakan baginda Nabi sama ada secara zahirnya (luaran) mahupun secara batin (dalaman). Maka, untuk memahami sunnah Nabi ini, termasuklah dalam bab perubatan Nabi SAW, kita mesti jelas dengan dua jenis pembahagian sunnah yang dijadikan dalil atau hujah.



Pertama, disebutkan sebagai Sunnah Tasyri'. Sunnah Tasyri' ini membawa makna apa yang datang daripada Nabi SAW dengan diiktibarkan baginda adalah seorang Nabi dan Rasul, maka hal itu dinamakan sebagai sumber Tasyri'iyyah (pensyariatan). Terdapat banyak contoh berkenaan sunnah Tasyri' yang boleh menjelaskan lagi maknanya sama ada dari sudut percakapan, perbuatan atau persetujuan baginda Nabi SAW.

Misalnya, dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, daripada Abi Abdirrahman 'Abdullah Ibn 'Umar Ibn al Khattab, katanya, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Islam dibina diatas lima perkara ; (Bersyahadah), mengucap tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu merupakan pesuruh-Nya (Rasulullah), mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, dan berpuasa pada bulan Ramadan."

Berdasarkan hadis ini, telah disyariatkan rukun Islam itu mempunyai lima perkara dan setiap yang bergelar muslim wajib melaksanakannya sepertimana yang telah disebutkan oleh baginda Nabi SAW. Maka, berdasarkan sunnah Tasyri' ini, kita sudah maklum akan 5 rukun Islam ini tanpa menambah atau sebaliknya mengurangkannya.



Adapun bahagian kedua, disebutkan sebagai Sunnah Ghair Tasyri'iyyah (bukan pensyariatan). Nama lainnya adalah sunnah Jibiliyyah. Sunnah Jibiliyyah adalah bermaksud apa yang datang daripada baginda Nabi SAW dan diiktibarkan bahawa Nabi SAW adalah seorang manusia biasa yang berketurunan atau disebabkan pengalaman hidup baginda Nabi SAW. Sunnah Jibiliyyah adalah dalil yang tidak disyariatkan untuk kita ikuti. Bahkan ianya dilakukan kerana sifat fitrah Nabi seorang manusia biasa dan kerana pengalaman Nabi SAW.

Sebagai contoh, hadis riwayat Imam Bukhari, daripada Aisyah, berkata yang bermaksud :

"Adapun Rasulullah SAW menggemari manisan dan madu"

Syeikh Dr. Wahbah al Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan bahawa setiap yang datang daripada Nabi SAW yang berbentuk tabiat Nabi sebagai manusia seperti cara bangun, duduk, berjalan, tidur, makan, minum dan perbuatan-perbuatan yang lain tidak dikira sebagai satu pensyariatan. Hal ini kerana perbuatan tersebut lahir dari sifat kemanusiaan sebagai seorang manusia dan bukannya bersifat pensyariatan.

Demikian juga dalam bab perubatan sunnah Nabi SAW. Terdapat beberapa hadis Nabi SAW yang menceritakan tentang khasiat makanan tertentu, atau barangkali Nabi sendiri merubat menggunakan herba makanan tertentu, bukan itu yang dikehendaki oleh Nabi SAW. Tumpuan Nabi dalam hal perubatan bukanlah tentang soal jenis penawar herba dan sebagainya. Nabi tidak diutuskan untuk menjadi duta mana-mana produk kesihatan.

Tetapi, yang menjadi penekanan dan fokus dalam perubatan sunnah Nabi ini ialah penjagaan kesihatan dengan segera mencegah dan berubat apabila mendapat sakit. Oleh kerana itu, kita boleh lihat bahawa sifat perubatan sunnah Nabi itu berbentuk luas dan terbuka. Apa sahaja yang boleh membantu mengubat penyakit, maka ia dijadikan sumber perubatan. Seperti contohnya, susu, madu, habbatus sauda', dan ada ketikanya air kencing unta pun dijadikan sumber perubatan ketika di zaman Nabi.



Bahkan pada zaman Nabi SAW, baginda tidak pernah menghalang atau melarang ahli perubatan untuk datang mengubat penyakit. Malah, dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Saad bin Abi Waqas katanya yang bermaksud :

"Aku sakit lalu Rasulullah menziarahiku. Baginda meletakkan tangannya di tengah dadaku sehingga terasa sejuk di tangan baginda di dadaku. Baginda bersabda : Kamu sedang sakit dada, pergilah berjumpa al Harith bin Kaladah dari kabilah Thaqif kerana dia tahu mengubat.."

Al Harith bin Kaladah merupakan seorang doktor Arab yang terkenal pada zaman itu. Beliau merupakan seorang bukan Islam. Namun begitu, Nabi tidak pernah melarang kita mengambil manfaat biarpun ia datang daripada orang bukan Islam. Selagi mana kaedah perubatan tersebut tidak menyanggahi syariat, maka diharuskan kita berubat. Oleh itu, kita mesti memahami bahwa bukan semua perubatan sunnah Nabi itu sesuai dengan penyakit dan tubuh badan.

Walaupun ianya datang dari ajaran sunnah Nabi, tetapi bukanlah menjadi pensyariatan yang wajib dan mesti kita lakukan. Selagi tidak ada bukti yang kukuh dari sudut kesihatan, maka rujuklah kita dengan pakarnya. Jangan menunggang nama sunnah demi melariskan jualan untuk kepentingan tertentu. Ambil lah nasihat pada yang selayaknya. Jangan membuta tuli menjunjung nama perubatan sunnah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan