Jumaat, 21 Mei 2021

MENANGANI COVID 19 : KEMATANGAN RAKYAT & KESUNGGUHAN KERAJAAN

 

Kebelakangan ini angka kes harian tidaklah menggembirakan kita apabila peningkatan mendadak serta penemuan varian baharu yang sangat pantas merebak. Malah, varian baharu ini juga boleh menyerang sistem imunisasi tubuh badan manusia walau tanpa sebarang gelaja yang ditunjukkan. Maha suci Allah, Tuhan yang menciptakannya dengan penuh keajaiban dan diluar jangkaan manusia sekalian.

Namun, disebalik ketidakstabilan kes harian ini, dengan peningkatan kes kematian, kita dapat lihat beberapa suara rakyat yang memohon agar pihak kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan PKP seperti pada Mac tahun 2020 dengan penuh kawalan yang ketat. Kita juga dapat lihat betapa ramai rakyat bangkit bersungguh-sungguh menentang individu-individu terkenal yang di dapati melanggar SOP yang diwartakan oleh kerajaan sebelum ini.



Apa yang positifnya, disebalik seruan ini, kita dapat lihat sebahagian besar rakyat sudah mula menunjukkan kematangan dalam menangani isu ini. Jika dahulu, langkah PKP dianggap sebagai keputusan yang tidak disenangi oleh rakyat, ia bukanlah suatu keputusan yang popular dan dikehendaki oleh rakyat. Tetapi demi kebaikan negara, kerajaan terpaksa mengambil langkah agresif semula dalam usaha menangani wabak ini. Situasi berbeza kini. Rakyat pula yang mula berfikir untuk diadakan semula PKP seperti dahulu. Barangkali rakyat mula sedar akan bahayanya wabak ini.

Dengan situasi kini, bukanlah masa untuk kita bergembira mengadakan majlis ulangtahun hari jadi. Bukan masanya lagi untuk kita gembira bertemu sanak saudara mahupun ibubapa sendiri. Bukan masanya lagi untuk kita merancang majlis walimah, untuk melancong sana sini dan lain-lain. Bukan masanya lagi. Saat dan ketika ini, masanya untuk rakyat dan kerajaan kembali fokus pada usaha memutuskan rantaian wabak ini. Sepertinya rakyat mula memahami apa yang perlu dibuat oleh kerajaan dengan kerjasama dan sokongan rakyat jua. Jika kesedaran ini lahir dari rakyat, maka mungkin kerajaan boleh ambil langkah yang lebih serius dan tegas semula.

Bagi pihak kerajaan, kesungguhan mereka untuk menangani wabak ini memang tidak dapat kita sangkal lagi. Walaupun kadang kala, beberapa tindakan kerajaan yang dilihat seperti "double-standard" atau "sarkas" dalam penguatkuasaan undang-undang, namun dalam kebanyakkan situasi hari ini, kita percaya kerajaan akan dan sedang merangka strategi baharu untuk membuat pelan keluar dari wabak ini. Kelemahan harus diperbaiki. Kekurangan mesti diperhalusi. Agar selepas ini, tidak kedengaran lagi istilah "double standard" dan "sarkas" lagi. Selain itu, kita harapkan kesungguhan kerajaan juga untuk terus membantu warga rakyat yang kurang berkemampuan dengan pelbagai pakej bantuan lagi yang boleh dipertimbangkan.



Tatkala kita sedang mengeluh tidak boleh bebas ke sana ke sini, kenanglah mereka yang berada di barisan hadapan yang bekerja siang malam, berpenat lelah dan berhempas pulas menjalankan tugas bagi mengekang wabak ini. Jangan kita lupa bahawa kita pernah menang dahulu dan kini tiada yang mustahil jika kita bersungguh-sungguh menanganinya. Semua pihak daripada kayangan hingga ke marhaen, harus akur dan patuh SOP. Tidak kira di mana pun kita berada. Masjid, pusat beli belah, pejabat, semuanya ada SOP nya. Malahan, kita bukan sehari dua berperang dengan wabak ini, hampir 2 tahun sudah kita berdepan dengannya. Maka, tidak ada lagi alasan tidak tahu.

Kita katakan, untuk menangani wabak ini, sekali lagi kita menuntut kematangan rakyat untuk terus patuhi SOP dan kesungguhan kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak ini. Selain itu, pakej bantuan kepada rakyat juga perlu diperkasakan agar rakyat boleh hadapi saat getir ini dengan seadanya. Marilah kita kembali meletakkan fokus yang sama dengan matlamat dan juga harapan yang sama iaitu untuk keluar daripada wabak ini. Akhir sekali, kepada Allah jualah kita meminta dan kepada Nya jualah tempat kita bergantung. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan