Salah
satu keperluan dalam kehidupan manusia ialah senyuman dan gelak ketawa. Tanpa
senyuman yang terpancar dan gelak ketawa yang ria, tentu hidup terasa sunyi
sepi dan tiada penyeri. Dalam beberapa keadaan, senyuman dan gelak ketawa mampu
menjadi penawar duka mengubat luka. Oleh sebab itu, senyum tawa adalah sangat
penting bagi manusia untuk melepaskan segala tekanan hidup selain merehatkan
minda yang sarat dengan kerja fikirnya. Antara perkara yang boleh mengundang
manusia untuk senyum tawa ialah dengan melakukan gurauan senda atau dalam
perkataan lain disebut sebagai melawak dan berjenaka. Dalam Islam, perbuatan
bergurau senda adalah sesuatu yang diharuskan. Namun begitu, Islam sebagai
wahyu menggariskan batasan yang perlu dipatuhi agar kita tidak melampaui batas.
Bergurau
senda, berlawak atau berjenaka adalah salah satu cara manusia untuk berhibur.
Keharusan bergurau, melawak atau berjenaka ini membuktikan Islam agama yang
meraikan nilai fitrah manusia yang memerlukan hiburan. Tabiat manusia yang suka
akan hiburan menjadi tanda bahawa Islam agama yang mengiktiraf akan penciptaan
manusia itu dengan sifat fitrahnya yang tersendiri. Dalam masa yang sama, Islam
secara prinsipnya bukanlah agama yang mengajak manusia berzikir, bersolat,
berpuasa dan sebagainya sehingga mengabaikan fitrah manusiawi yang suka akan
hiburan. Menjelaskan lagi dalam hal ini, al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradhawi
menyebutnya di dalam sebuah kitabnya yang bertajuk al-Halal wal Haram.
Beliau menyatakan bahawa :
"....
Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari
sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya
hanyalah al-Quran al-Karim dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam
masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya
yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah SWT
menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan berman-main sebagaimana
diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum...”
Demikian
apa yang dijelaskan oleh al-Qaradhawi. Amat jelas sekali perbuatan bergurau
senda adalah sesuatu yang tidak dilarang, tidak ditegjh apatah lagi diharamkan.
Bahkan Allah SWT dengan penuh kebijaksanaan telah menjadikan manusia itu boleh
bergembira dan boleh juga berdukacita. Ini sebagaimana di dalam al-Quran
melalui surah al-Najm ayat 43, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
"Dan
bahawa sesungguhnya, Dia (Allah) lah yang menyebabkan (seseorang itu
bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita)
menangis;"
Allah
SWT yang Maha Berkuasa boleh menjadikn seseorang itu bergembira dan boleh
menjadikan seseorang juga bersedih. Ini bermakna kejadian fitrah manusia yang
suka bergurau senda adalah sesuatu yang sememangnya dijadikan tabiatnya oleh
Allah. Oleh itu, bergurau senda adalah sesuatu yang harus hukum asalnya. Namun
begitu, dalam keharusan kita bergurau, berlawak dan berjenaka, Islam telah
memberikan panduan yang jelas agar kita tidak termasuk dikalangan mereka yang
melampaui batas dalam bergurau senda. Antara lain yang ditegaskan oleh Islam
ialah gurauan yang dibuat tidak boleh mempersendakan isi ajaran dan intipati
agama. Hakikatnya, agama bukanlah bahan untuk dijadikan sebagai bahan jenaka
dan gurau senda. Tersilap bergurau mempersendakan agama, pasti akan mengundang kemurkaan
Allah SWT. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al-Taubah ayat 65 yang
bermaksud :
"Dan
jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek gurau mereka) tentulah mereka
(orang munafik) akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanya berbual dan
bermain". Katakanlah: "Patutkah nama Allah, ayat-Nya serta Rasul-Nya
kamu persenda dan ejek?"
Selain
itu, antara yang digariskan oleh Islam berkenaan gurau senda ini ialah tidak
dibenarkan untuk berbohong, menipu atau berdusta dalam membuat lawak. Perbuatan
berbohong dan menipu sama sekali tidak boleh diterima. Meskipun dengan tujuan
bergurau sahaja, pembohongan adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh.
Pembohongan adalah suatu sikap yang tercela dan turut dibenci oleh masyarakat.
Dalam perkara ini, terdapat sebuah hadith riwayat Abu Daud yang melarang umat
Islam berbohong meski dengan tujuan bergurau. Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
"Celaka
(biasalah) bagi orang yang berbicara secara berdusta untuk menimbulkan gelak
tawa orang. Celaka baginya! Celaka baginya!"
Berdasarkan
hadith ini, Syeikh Abu al-Ala al-Mubarakfuri menyatakan di dalam kitabnya, Tuhfaz
al-Ahwazi, hadith ini bermaksud jika seseorang bercakap dengan perkataan
yang benar untuk berlawak dengan satu kaum maka tidak mengapa hal itu seperti
mana yang berasal daripada kisah Umar RA bersama Nabi SAW tatkala baginda marah
terhadap beberapa orang Ummahat al-Mu’minin (isteri-isteri Nabi). Berkata
al-Ghazzali : “Justeru, perlu diketahui bahawa sisi jenaka Rasulullah SAW
tidak berlaku melainkan dalam bentuk kebenaran, tidak menyakitkan hati, dan
tidak juga melampaui batas".
Antara
lain lagi, dalam bergurau senda dan lawak berjenaka, Islam dengan jelas
melarang dan menegah umatnya bergurau senda dengan tujuan untuk merendahkan
orang lain selain dilarang untuk mengejek dan mencela orang lain. Larangan ini
sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah
al-Hujurat ayat 11, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
“Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh
dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari
kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,
(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan
janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah
pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.
(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi
fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia
beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan
fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
Larangan
ini juga termasuklah perbuatan bergurau sehingga boleh memburukkan maruah orang
lain. Sangat jelas bagaimana Islam amat melarang kita daripada menjadikan
maruah orang lain sebagai bahan lawak jenaka. Satu hal lagi yang tidak kurang
penting juga, Islam menegah umatnya daripada membuat lawak berbentuk kejutan
menakutkan orang lain. Dalam apa jua bentuk lawak yang dibuat, Islam melarang
kita bergurau dengan cara menakutkan orang lain. Ini termasuklah budaya prank
dan sebagainya. Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud dan Ahmad, sabda Nabi
Muhammad SAW yang bermaksud :
"Tidak
halal (tidak patut) bagi seorang Muslim mengejutkan (menakut-nakutkan) saudara
Muslimnya yang lain (walaupun sekadar gurauan)".
Demikianlah
antara sebahagian perkara yang boleh dijelaskan mengenai gurauan senda menurut
neraca Islam. Secara asasnya, bergurau senda, berlawak dan berjenaka adalah
sesuatu yang harus. Islam tidak melarangnya kerana itu juga adalah sebahagian
daripada fitrah penciptaan manusia. Namun Islam datang dengan memberi panduan dan
pedoman agar kelak, kita tidak berlebih-lebihan dalam bergurau senda. Tentunya
segala larangan dan tegahan tersebut adalah bertujuan untuk memastikan gurauan
yang dibuat mendatangkan kegembiraan dan bukannya menjemput kedukaan. Ingatlah
juga bahawa bergurau bersama bukanlah bermakna kita bebas berkata-kata. Kelak
kita semua akan di londehkan dihadapan Allah lalu ditimbang akan segala amal
baik dan buruk. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan