Setiap dikalangan kita pasti mempunyai
tanggungjawab dan peranannya yang tersendiri. Biar apa pun kedudukan dan
pangkat yang sedang kita miliki, itu semua bukanlah syarat untuk kita
berkompromi mencurahkan bakti pada nusa, agama dan negara. Pokok pangkalnya
adalah bermula daripada hati yang ikhlas. Tidak mengampu, jauh sekali untuk menongkat diri mendakwa itu
ini semua hasil usaha sendiri. Kerana kita tahu, semuanya terjadi dengan percaturan
ilahi.
Sebahagian besar manusia akan dikenali
kerana dirinya berkedudukan, namun jauh lebih hebat daripada itu, setelah tiada
kedudukan, orang ramai masih mengingati dirinya tanpa perlu diangkat dijulag
tinggi. Oleh kerana itu, Allah SWT telah mengingatkan kita tentang keikhlasan,
menerusi firman Nya dalam surah al Ghafir ayat 11 yang bermaksud :
"Sesungguhnya aku diperintahkan
untuk menyembah Allah dengan penuh keikhlasan kepada Nya dalam menjalankan
agama"
Ikhlas adalah persoalan hati yang tidak
ada siapa yang tahu. Hakikatnya, hanya Allah yang Maha Mengetahui segala isi
hati kita. Untuk itu, kita mesti meletakkan Allah sebagai tujuan kita, Nabi
sebagai contoh teladan bagi kita dan syariat Nya sebagai panduan perjalanan
hidup kita. Kita tidak boleh memperlekehkan orang hanya kerana kita sahaja yang
melakukan perkara tersebut. Kerana kita sendiri tidak pasti pengakhiran kita ke
mana, sama ada syurga atau neraka.
Dalam soal berkhidmat, tidak ada istilah
syarat. Dengan apa yang sudah kita miliki ini pun sudah menjadi harapan kita.
Teringat akan kata Buya Hamka, beliau pernah berkata "manusia itu
selalu berangan-angan pada benda yang dia tidak miliki sehingga terlupa apa
yang dia ada sekarang ini pun sudah menjadi harapan kita". Oleh itu,
biar apa pun kemampuan kita, berkhidmat lah dalam ruang yang kita ada. Tanpa
syarat, ertinya jauh lebih besar daripada apa yang kita faham. Tanpa syarat
ertinya tanpa kita dikenali, walau tidak disanjungi, meski tidak diingati, kita
masih tetap mahu berbakti dan berkhidmat. Walau kita beza itu dan ini, atas
nama agama, kita sanggup berkhidmat merentas kepentingan diri sendiri.
Antara sebab kita gagal menjadi diri
sendiri adalah kerana sikap kita yang sentiasa mengampu, mahu jadi seperti
orang lain sehingga kita sudah tidak kenali diri kita sendiri. Apabila gagal,
menunding jari sana sini. Apabila berjaya, mengangkat diri seolah-olah pejuang
sejati. Jarum syaitan mula menyerang. Penyakit ujub mula menguasai diri. Bahkan
lebih teruk, semua orang dilihat tidak betul. Abdullah ibn al Mubarak ketika
ditanya tentang ujub, beliau berkata : "Engkau melihat di dalam dirimu
sesuatu yang tidak ada pada diri orang lain".
Demikian juga Imam al Ghazali ketika
menyebutkan tentang ujub, beliau berkata ujub bermaksud mengagungkan diri, atau
menganggap agung amal yang dilakukan. Ini lah penyakit yang lebih bahaya dari
segala macam penyakit. Bahkan lebih bahaya dari wabak Covid 19. Ia tidak
mengenal siapa kita. Tersilap langkah, habislah ibadah. Punah lah amal. Hanya
kerana ujub yang menyerang kita.
Allah juga telah mengingatkan kita akan
sifat ujub ini menerusi firman Nya dalam surah al Najm ayat 32 yang bermaksud :
"Maka janganlah kamu memuji-muji
diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih
mengetahui akan orang-orang bertaqwa"
Juga dalam sebuah hadis riwayat Muslim,
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Jangan kamu mensucikan diri kamu
kerana Allah lebih mengetahui orang yang paling baik dalam kalangan kamu"
Dalam keadaan kita sedang diuji ini,
alangkah baiknya jika kita ambil ruang ini untuk kembali bermuhasabah,
meletakkan diri kita ke landasan yang betul semula. Setelah kita penat
berkhidmat, pada apa - apa cabang peluang dan ruang, ayuh kita jadikan amal
bakti kita ini sebagai saham ke akhirat dengan kembali menetapkan hati atas
iman dan taqwa, menyerahkan diri dengan usaha dan redha, lantas ingatlah kita
akan janji Allah SWT dalam surah al Syarh ayat 5 yang bermaksud :
"Maka sesungguhnya bersama kesulitan
ada kemudahan"
Oleh yang demikian, usahlah kita menunggu
masa yang sesuai untuk berkhidmat. Selagi ada ruang, curahkan khidmat, walau
dicaci dan disakat, berhentilah daripada mengampu dan menjilat, kerana kelak
diri yang akan terjerat. Buang lah sikap menongkat diri mendabik dada atas apa
yang telah kita buat, kerana itu semua hanya pinjaman dari yang Maha Hebat,
esok-esok yang tinggal hanya hati beserta niat. Jasa setinggi gunung Mat
Cincang sekalipun, akan hancur lebur hanya dengan satu letupan yang dinamakan
riyak dan ujub. Mudah-mudahan Allah berkati dan merahmati segala amal soleh
kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan