Selasa, 29 Jun 2021

SUKARNYA BERTARUNG DENGAN DIRI SENDIRI

 

Kehidupan ini adalah pentas untuk kita berlumba-lumba melakukan kebaikan, tidak kira lah sama ada berlumba-lumba mengajak orang melakukan ketaatan atau sebaliknya mencegah orang daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Selain dunia ini pentas untuk menguji para makhluk Nya, hidup ini juga merupakan suatu manifestasi cinta kita kepada Allah dengan mengabdikan diri kita hanya kepada Nya. Selari dengan firman Nya dalam surah ad Dzariyat ayat 56 yang bermaksud :

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada Ku".

Dalam usaha mengabdikan diri kepada Allah, sudah pasti kita akan berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Kita akan berdepan dengan nafsu, bisikan syaitan, kutukan serta cercaan orang pada kita dan sebagainya. Hidup sebagai seorang Islam, tidak akan terlepas daripada berperang, menentang dan bertarung dengan musuh-musuh seperti ini. Namun, dalam kebanyakkan episod pertarungan menentang musuh, yang paling sukar dan susah untuk kita adalah bertarung dengan diri sendiri.



Kehebatan dan keunggulan kita mengajak orang kepada kebaikan dan mencegah dari melakukan kemungkaran adalah suatu kerja amal yang mulia bahkan dipandang tinggi di sisi Allah SWT. Kerana itu, dengan izin Nya, Islam tertegak adalah kerana hasil susah payah para sahabat dan generasi selepas mereka menyampaikan Islam. Hal itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Ada mehnah dan tribulasinya yang wajib kita tempuhi. Namun dalam banyak-banyak mehnah dan tribulasi ini, paling besar yang perlu kita hadapi ialah bertarung dengan diri sendiri dengan mengamalkan intipati dakwah yang sering kita serukan.

Oleh itu, di hadapan Allah kelak, bukan pangkat dan kedudukan yang ditanya, tidak juga KPI dan hasil yang diperiksa, tetapi keikhlasan kita dalam menyeru orang melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Berapa pun hebat hasil usaha yang telah kita capai, semuanya tidak dapat dihitung banyaknya melainkan diukur dengan keikhlasan kita kepada Allah Azza Wa Jalla. Sebab itu, musuh kita yang utama adalah diri kita sendiri. Paling mustahak, bagaimana kita perlu bersikap jujur dengan diri sendiri, zuhud dengan kedudukan, berjiwa besar serta berhati bersih dan beramal dengan sifat terpuji yang lain.

Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, Nabi Muhammad SAW ketika hendak keluar dari rumah, baginda Nabi SAW tidak pernah lupa untuk membaca sebuah doa yang bermaksud :

"Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari aku tersesat, atau aku disesatkan, atau aku tergelincir, atau aku digelincirkan, atau aku menzalimi, atau aku dizalimi, atau kebodohanku atau dibodohi".

Doa Nabi SAW ini sangat bertepatan dengan kelemahan diri manusia yang lemah dan hina. Tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kekhilafan. Maksud daripada doa ini ialah kita memohon perlindungan dari Allah daripada segala hal kesesatan, tergelincir daripada landasan sebenar, mohon berlindung daripada sikap zalim, juga mohon lindung daripada segala kebodohan. Walhal, doa ini dipohon seorang manusia bertaraf Nabi, bersifat maksum dan diberi jaminan masuk ke syurga, pun begitu, baginda Nabi menadah tangan memohon perlindungan daripada segala keburukan tersebut.



Oleh yang demikian, bagaimana pula dengan diri kita ? Sesungguhnya musuh utama kita bukanlah mereka yang menentang kita, tetapi sebaliknya adalah diri kita sendiri. Disaat kita diuji dengan melakukan kesilapan. Di waktu dan tika itu, kita bertarung dengan diri kita sendiri. Bertahan dengan mengaku tidak bersalah atau menyerah dengan mengaku salah ? Untuk menuntut sebuah keadilan, kita terlebih dahulu perlu adil dengan diri sendiri. Demikian juga untuk menuntut sebuah kejujuran orang lain, kita dahulu yang perlu jujur dengan diri sendiri.

Persoalan besarnya adalah bagaimana untuk kita berlaku jujur pada diri sendiri disaat kita sukar untuk berlaku jujur dihadapan orang ? Bagaimana untuk kita bersikap adil pada pihak musuh sedangkan kita tidak berlaku adil pada diri sendiri ? Barangkali yang tidak jujur, tidak adil itu pada orang lain. Kita juga lah yang jujur dan adil. Kita juga lah yang lebih baik daripada orang lain. Akhirnya, kita lah yang paling benar dan orang lain semuanya salah. Kata Imam Hasan al Basri berkenaan makna zuhud, beliau berkata :

"Seorang yang zuhud adalah jika ia melihat orang lain ia berkata : Ia lebih baik dariku".

Kita perlu muhasabah kembali. Sekurang-kurangnya, mencari kesalahan diri. Usah sibuk menunding jari. Mahu nampak gah dan hebat. Berbicara diatas pentas menuturkan ayat Tuhan dan sabda Nabi, mahu dilihat sebagai orang berilmu dan punya kedudukan, mengharap dipuji dan diangkat di khalayak ramai, itu semua hal yang akan menyebabkan kita makin sukar untuk bertarung dengan diri sendiri. Kerana, bukan Allah tujuan kita sebaliknya mahu mengangkat diri hingga tanpa sedar, kita telah terjerumus dalam perangkap syaitan yang direjam. Bertarung lah dengan diri sendiri. Buanglah sikap dan tabiat yang buruk dan koreksilah diri dengan panduan ilahi. Mudah-mudahan Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan