Rabu, 26 Jun 2024

PILIHAN KAHWIN : ANAK DARA ATAU JANDA ?

 

Sesungguhnya setiap penciptaan manusia yang bermula daripada Nabi Adam AS sehingga umat manusia akhir zaman ini dijadikan hidup dengan berpasang-pasangan. Meski ada yang beranggapan bahawa jodoh itu rahsia Allah, namun jodoh juga diperolehi dengan usaha, doa dan tawakkal kita kepada Allah. Ini bermakna, untuk hidup berpasangan memerlukan kepada usaha mencari, mengenali selain berdoa dan berserah urusan tersebut kepada Allah SWT. Amat dukacita sekali jika ada yang menolak, tidak mahu atau tidak bercita-cita langsung untuk berkahwin kerana menggangap kahwin sesuatu yang menyusahkan. Ini kerana perkahwinan merupakan suatu ibadah yang akan menyempurnakan sebahagian agamanya.

Ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat al-Baihaqi, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki".




Pernikahan adalah suatu komitmen dua jiwa bagi mencapai tujuan kebahagiaan, ketenangan dan kasih sayang antara suami dan isteri. Membina rumahtangga sememangnya bukanlah bertujuan untuk memperjudikan nasib hidup manusia. Oleh kerana itu, agama Islam menuntut untuk kita membuat pilihan yang betul agar kelak tidak merugikan masa hadapan. Dalam hal ini, baginda Nabi SAW mengingatkan kita dalam membuat pilihan memilih pasangan hidup. Ini sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik."

Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahwa untuk mendirikan perkahwinan, membuat pilihan yang tepat adalah sangat penting agar kelak kita tidak hidup dalam penyesalan. Namun begitu, selain daripada membuat pilihan tersebut, tidak kurang juga menjadi dilema dikalangan mereka yang mahu memilih pasangan hidup, memandang terhadap status anak dara atau janda. Sebahagian persepsi masyarakat melihat bahwa status janda atau anak dara ini memberikan sedikit sebanyak tanggapan baik atau buruk. Sebenarnya di dalam Islam, status janda bukanlah suatu kehinaan kepada kaum wanita. Jika dilihat kepada sirah baginda Nabi SAW, hampir semuanya isteri-isteri baginda itu berstatus janda. Oleh itu, memegang status sebagai seorang janda bukanlah suatu yang mengaibkan bagi kaum wanita.

Dalam soal memilih antara anak dara atau janda, sekiranya seseorang lelaki itu berhadapan dengan dua pilihan antara janda atau anak dara, yang kedua-duanya juga adalah sama baik dan bagus dari pelbagai sudut, maka dalam keadaan ini menjadi keutamaan bagi lelaki tersebut untuk memilih anak dara. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadith riwayat Ibn Majah, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

“Hendaklah kamu mengahwini anak dara. Ini kerana mereka lebih baik perkataannya, lebih subur rahimnya dan lebih redha dengan yang sedikit”




Hadith ini secara jelas menyatakan bahawa menjadi keutamaan bagi seorang lelaki jika diberikan pilihan antara anak dara atau janda, setelah dinilai akan kedua-duanya sama baik, maka anak dara perlu menjadi pilihan utama. Ini kerana mengahwini anak dara yang bermaksud tidak pernah atau belum pernah bergaul dengan lelaki, kebiasaannya sifat ketegasan atau kasarnya mereka ini kurang berbanding mereka yang berstatus janda. Selain itu, peluang untuk mendapat zuriat lebih luas berbanding mereka yang berstatus janda disebabkan faktor usia dan kudrat yang ada. Bagi mereka yang berstatus janda barangkali mereka lebih terdedah dengan masalah kelahiran memandangkan beberapa faktor lain seperti usia dan selainnya. Malah, dari sudut sifat redha dengan suami, mereka yang anak dara lebih redha dengan suaminya termasuk dalam soal pemberian nafkah dan kehebatan hubungan seks.

Berbanding dengan mereka yang berstatus janda, mereka tentunya tidak dapat lari daripada merasai perbandingan dengan suami yang sebelumnya termasuk dari sudut pemberian nafkah dan hubungan seks. Ini kerana mereka telah mempunyai pengalaman hidup dengan pasangan yanh terdahulu. Secara tidak langsung, sifat redha turut akan memberi kesan apabila wujudnya perasaan membanding-banding antara pasangan kini dan yang terdahulu. Maka selari dengan realiti hidup hari ini, memang tidak dapat dinafikan keutamaan untuk memilih anak dara berbanding memilih mereka yang berstatus janda. Keutamaan memilih anak dara juga secara langsung menjadikan faktor ini boleh menyumbang kepada keadaan rumahtangga yang lebih harmoni dan bahagia. Pun begitu, keutamaan ini bukanlah suatu kewajiban namun ianya terpulang kepada mereka yang menghadapi situasi seperti ini.




Keutamaan memilih anak dara pula bukanlah bermaksud menafikan hak mereka yang berstatus janda untuk bahagia dengan pasangan yang baharu. Dalam beberapa keadaan tertentu, memilih janda adakalanya lebih baik berbanding memilih anak dara. Ini apabila kita melihat kepada pengalaman mereka berstatus janda yang mempunyai anak, usaha mereka dalam kesabaran dan ketabahan mendidik anak-anak juga merupakan suatu bonus bagi mereka yang mengahwini janda. Apatah lagi jika janda tersebut lebih berilmu, kuat agama maka tentu sekali janda lebih mendapat tempat bagi membina sebuah rumahtangga yang bahagia. Berkaitan hal ini, kisah Jabir yang telah mengahwini seorang janda telah mendapat perhatian baginda Nabi Muhammad SAW. Ini seperti yang diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

"Kata Jabir: Ayahku mati, meninggalkan tujuh atau sembilan anak perempuan (periwayat kurang pasti). Aku mengahwini seorang wanita janda. RasululLah S.A.W telah bertanya kepadaku: “Engkau telah kahwin wahai Jabir ?” . Jawabku : Ya !. Baginda bertanya : “Anak dara atau janda?”. Jawabku : “Janda”. Sabda baginda: “Mengapa tidak anak dara, engkau bermain dengannya, dia bermain denganmu, engkau menjadikan dia ketawa dan dia menjadikanmu ketawa”. Aku kata kepada baginda: “Sesungguhnya `Abd Allah telah mati dan meninggalkan anak perempuan. Aku tidak suka aku mendatangkan kepada mereka orang yang seperti mereka, maka aku pun kahwin dengan seorang wanita yang dapat mengatur dan menguruskan mereka” Baginda bersabda : “Semoga Allah memberkatimu” atau baginda menyebut sesuatu yang baik".

Kisah Jabir ini menunjukkan bahawa memilih janda atau anak dara adalah menjadi pilihan berbentuk peribadi. Dalam keadaan ini, Jabir berkehendakkan kepada wanita yang mempunyai pengalaman dalam menguruskan rumahtangga. Adapun jika dilihat pada hadith yang sebelum ini, galakkan Nabi SAW untuk memilih anak dara adalah bertujuan untuk mereka yang berhajat kepada kemesraan dan kebahagiaan rumahtangga. Bukanlah bermakna mengahwini janda tidak akan tercapai maksud mesra dan bahagia namun secara jujurnya, sesiapa pun tidak boleh menafikan tentang kelebihan dan kekurangan berkahwin antara anak dara dan janda. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Walau apa pun yang kita pilih, Islam sangat membenci sikap memandang sinis atau memperendahkan mana-mana status manusia baik anak dara mahupun janda. Hadith-hadith yang telah dinukilkan ini memberikan gambaran umum sahaja tetapi sebaliknya keputusan terletak pada diri kita. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan