Ketaatan manusia kepada Allah merupakan hasil terjemahan daripada
manifestasi keimanan yang sejati. Ini bermakna apa jua titah perintah yang
disyariatkan oleh Allah adalah menjadi keutamaan bagi mereka yang beriman untuk
mendengar dan seterusnya menuruti titah perintah tersebut biarpun kadang
memerlukan kepada pengorbanan wang dan tenaga. Keluhuran cinta seorang hamba
kepada empunya nyawa dan dirinya yakni Allah, telah mendorong manusia untuk
berkorban dalam apa jua keadaan demi mentaati dan menuruti perintah Nya. Oleh
itu, dalam Islam, selain tuntutan ibadah yang memerlukan komitmen tenaga
seperti solat dan puasa, terdapat padanya tuntutan ibadah yang memerlukan pula
komitmen untuk berkorban harta, tenaga malah terpaksa meninggalkan orang yang
tersayang iaitu ibadah haji.
Perkataan "Haji" berasal dari bahasa Arab. Menurut
kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah, ungkapan haji dari sudut bahasa membawa
maksud menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Pada sudut istilah pula, haji
merujuk kepada makna mengunjungi Baitullah (Ka'bah) pada masa-masa tertentu
(bulan haji, Zulhijah) serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi
ibadah haji. Dalam rekod Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan haji membawa
maksud rukun Islam kelima yang memerlukan seseorang Islam yang cukup syaratnya
pergi ke Mekah dan melakukan beberapa ibadat berkaitan dengan fardhu haji.
Hakikatnya, ibadah haji merupakan salah satu dari lima rukun Islam yang wajib
dilaksanakan oleh umat Islam. Ini sebagaimana yang dijelaskan di dalam sebuah
hadith Nabi riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Islam didirikan di atas lima perkara : Bersaksi bahawa tiada Tuhan
yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hambaNya dan
pesuruhNya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah,
dan berpuasa di bulan Ramadan.”
Pun begitu kewajiban melaksanakan ibadah haji diikat dengan syarat
berkemampuan dari sudut harta, tenaga dan sebagainya. Ini kerana ibadah haji
memerlukan suatu kemampuan kewangan yang baik, kuat emosi dan mental untuk
berpisah dengan orang tersayang dan juga sihat wal afiah bagi memudahkan urusan
melakukan ibadah tersebut. Ini juga bermaksud ibadah haji tidak menjadi
kewajiban bagi mereka yang tidak mampu terutamanya bagi mereka yang fakir dan
miskin. Dalam al-Quran, menerusi surah Ali-Imran ayat 97, Allah Azza Wa Jalla
berfirman yang bermaksud :
“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan
mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
Berdasarkan ayat ini, para ulama membahaskan perkataan yang
disebutkan sebagai kemampuan. Antaranya Syeikh al-Maraghi menerusi kitab
tafsirnya, Tafsir al-Maraghi, dalam menafsirkan ayat di atas, ia
menjelaskan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim
mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu
penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim AS
sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan
umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada
Penciptanya. Selain itu, Ibn Hazm dalam kitabnya, al-Muhalla, beliau
menyatakan bahawa berkemampuan yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas
bukanlah pada kekuatan jasmani. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT
dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana
telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan
dia mampu untuk menggalasnya.
Dalam lembaran catatan sejarah, ibadah haji pertama dilakukan oleh
Nabi Adam AS. Ini berdasarkan pandangan yang dikemukakan oleh Ibn Ishaq.
Al-Azraqi meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, beliau berkata :
“Semasa Adam AS diturunkan dari syurga dan sampai ke bumi, baginda
telah berkata: “Wahai Tuhan, mengapa aku tidak mendengar lagi suara malaikat?”
Allah SWT berfirman: “Semuanya kerana kesalahan engkau wahai Adam.”
Kemudian Allah SWT memerintahkan supaya baginda membina Kaabah dan
bertawaf mengelilinginya sebagaimana malaikat mengelilingi Arasy. Kata Ibn
Abbas :
“Adam ialah manusia pertama yang mengasaskan al-Bait (Kaabah).
Baginda menunaikan solat serta bertawaf di situ.”
Berdasarkan pandangan ini, jelas kepada kita bahwa baginda Nabi
Adam AS merupakan manusia pertama yang melaksanakan ibadah haji. Namun begitu,
pelaksanaan ibadah haji yang dilalukan oleh Nabi Adam AS telah dibimbing oleh
para malaikat. Ini juga bermakna, sebelum daripada Nabi Adam AS, para malaikat
telah terlebih dahulu melakukan ibadah haji. Maka tidak hairanlah apabila kita
mendapati para malaikat telah memberikan bimbingan kepada Nabi Adam AS untuk
melaksanakan ibadah haji yang pertama dikalangan umat manusia. Keadaan ini juga
menjelaskan bahawa pada ketika zaman Nabi Adam AS, belum ada lagi cara atau
kaedah khusus untuk melakukan ibadah haji. Demikian pula turut dicatatkan
selepas Nabi Adam, ibadah haji turut pernah dilakukan oleh beberapa para Nabi
yang lain seperti Nabi Nuh, Nabi Hud dan Nabi Salleh. Ini sebagaimana yang
telah dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, Bidayah wa an-Nihayah,
beliau menyebutkan bahawa sebuah riwayat Imam Ahmad bin Hanbal RA, Ibnu Abbas
RA berkata yang bermaksud :
“Ketika Nabi SAW sedang lewat di Lembah Usfan pada waktu berhaji,
beliau berkata, ‘Wahai Abu Bakar, lembah apakah ini?’ Abu Bakar menjawab,
‘Lembah Usfan.’ Nabi Bersabda, ‘Hud dan Saleh AS pernah melewati tempat ini
dengan mengendarai unta-unta muda yang tali kekangnya dari anyaman serabut.
Sarung mereka adalah jubah dan baju mereka adalah pakaian bergaris. Mereka
mengucapkan talbiyah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah’.”
Setelah itu, di dalan al-Quran, Allah SWT turut merakamkan kisah
Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS melaksanakan ibadah haji. Kisah tersebut
sepertimana yang dijelaskan dalam surah al-Hajj ayat 26-28, firman Allah SWT
yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di
Baitullah (dengan mengatakan), ‘Janganlah kamu menyekutukan sesuatu pun dengan
Aku dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang-orang yang bertawaf dan orang-orang
yang beribadah, dan orang yang ruku dan sujud. Dan, serulah manusia untuk
mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan
mengendarai unta yang kurus, yang datang dari segenap penjuru yang jauh, supaya
mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama
Allah pada hari yang telah ditentukan’.”
Kemudiannya, ibadah haji yang juga merupakan sebuah ibadah yang
melahirkan suatu makna pengorbanan yang besar bagi umat Islam telah
disyariatkan oleh Allah SWT kepada baginda Nabi Muhammad SAW. Dikalangan para
ulama, berlaku perbezaan pendapat berkenaan tarikh bilakah disyariatkan ibadah
haji. Ada yang berpandangan ibadah haji disyariatkan pada tahun ke sembilan
hijrah. Ini juga menjadi pandangan yang dipegang oleh Buya Hamka yang
dinukilkan dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Azhar. Buya Hamka juga
menganggap ianya pandangan majoriti ulama. Ada pula selain itu berpandangan
pada tahun keempat hijrah. Namun begitu, Imam Ibn Hajar dalam kitab Fath Bari
pula berpandangan pada tahun keenam hijrah. Imam Ibn Hajar juga menilai tarikh
tersebut sebagai pandangan majoriti ulama. Biar apapun perbezaannya, syariat
ibadah haji yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi SAW merupakan syariat haji
yang lengkap dan sempurna. Apa yang dibawa oleh baginda Nabi maka itulah juga
kehendak dan tuntutan Allah kepada kita. Demikianlah apa yang telah dinyatakan.
Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan