Rabu, 22 Mei 2024

IDEOLOGI FEMINISME : ANCAM KERUKUNAN HIDUP

 

Sedarkah kita sejak akhir-akhir ini, kandungan di media sosial seringkali memaparkan video-video yang memperlihatkan bahawa suami takut kepada isteri. Juga seringkali dinormalisasikan perwatakan seorang isteri memarahi suami, menjerkah, memekik, dan seumpamanya. Tidak kurang pula ada yang memuat naik kandungan di media sosial memaparkan seolah-olah suami wajib meminta izn terlebih dahulu kepada isteri untuk melakukan sebarang urusan. Walhal, keadaan yang sebaliknya Islam menuntut si isteri perlu meminta izin suami terutamanya dalam soal isteri mahu keluar rumah. Bertambah parah, apabila terdapat segelintir para asatizah yang menyatakan bahawa tanggungjawab isteri hanya melayani suami dan kerja-kerja rumah bukan tugas isteri.

Tanpa sedar, kandungan media sosial seperti yang demikian barangkali dianggap hanya sebagai hiburan tetapi hakikatnya ianya adalah sebuah serangan halus yang diperjuangkan sejak dahulu lagi oleh golongan yang membawa ideologi feminisme. Menurut Cambridge Dictionaries, istilah "Feminisme" dapat dilihat sebagai keyakinan bahawa kaum perempuan harus diberikan hak, kekuasaan dan peluang yang sama dengan kaum lelaki dan diperlakukan dengan cara yang sama. Selain itu, menurut Encyclopedia Britannica, feminisme adalah keyakinan dalam kesetaraan sosial, ekonomi dan politik dari kedua jenis kelamin. Secara ringkas, feminisme ialah satu ideologi pemikiran yang menuntut persamaan hak untuk wanita. Ia adalah suatu teori sosial dan gerakan politik yang mendokong persamaan hak tanpa mengira jantina dalam setiap aspek kehidupan.




Gerakan ideologi feminisme ini bermula dari dunia Barat. Ianya bertitik tolakkan kepada suatu bentuk pemikiran Plato tentang kesetaraan gender di zaman Yunani Kuno. Hasilnya, sejumlah tokoh dan penulis seperti Christine de Pizan, Margaret Cavendish dan Marry Wollostonecraft telah mengangkat isu-isu kesetaraan perempuan pada tempoh masa yang tertentu. Perkembangan ideologi ini terus aktif apabila pada tahun 1848, dalam Konvensyen Seneca Falls, suatu deklarasi yang dinamakan sebagai Deklarasi Sentimen telah dikeluarkan oleh tokoh aktivis hak wanita Amerika Syarikat, Elizabeth Cady Stanton dan Lucretia Mott yang menyatakan sokongan untuk hak wanita. Semenjak itu, perjuangan hak suara wanita mulai mendapat perhatian dunia terutamanya di Amerika Syarikat. Ini seperti yang tercatat dalam sejarah, pada tahun 1920, suatu Amandemen yang ke-19 telah memberikan hak bersuara kepada kaum perempuan di sana.

Gerakan Feminisme ini telah menghadapi beberapa fasa gelombang berbeza mengikut tempoh zaman yang berubah. Fasa awal gerakan ini adalah bertujuan mengiktiraf perempuan sebagai manusia yang punyai maruah dan bukannya dilayan seperti kepunyaan harta. Pun begitu, gelombang awal ini hanyalah menumpu kepada perempuan kulit putih sahaja. Memasuki sekitar tahun 1960-an sehingga 1970-an, wujud pula gelombang kedua yang mula memperjuangkan soal peranan kaum perempuan dalam sosio-masyarakat. Hasil gelombang kedua ini juga, telah lahirlah mereka yang bersikap liberal dan radikal terhadap pengamalan budaya setempat. Setelah itu, menjelang sekitar tahun 1990-an, gerakan ini terus memainkan peranannya membangkitkan isu berkaitan identiti kewanitaan dan isu-isu tentang seksualiti. Kini, gerakan ideologi ini nampaknya semakin kukuh telah terus-menerus memainkan isu hak sama rata gender hingga mulai merobek intipati ajaran syariat Islam.

Dalam konteks Malaysia, sejak tahun 1988, ideologi ini mula diserap masuk menyerang pemikiran manusia melalui penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Sister in Islam (SIS), Women's Aid Organisation (WAO), Women's Centre for Change (WCC) dan Association of Women Lawyers. Ini antara sebahagian medium yang mengangkat nilai perjuangan feminisme khususnya di Malaysia. Tanpa perlu berselindung, rangkaian gerakan ini juga telah menonjolkan beberapa figura mereka yang sememangnya tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia, antaranya Siti Kassim, Zainah Anwar, Amina Wadud, Marina Mahathir dan lain-lain. Sememangnya kewujudan figura-figura ini telah ditonjolkan apabila mereka antara yang terkehadapan berwacan soal isu-isu keperempuanan. Untuk rekod, gerakan feminisme khususnya di Malaysia telah banyak mewujudkan polimik dikalangan rakyat Malaysia. Antaranya pada tahun 2019, sokongan mereka terhadap perhimpunan LGBT, mereka juga telah mempersoalkan tentang kewajiban memakai tudung, membangkitkan persoalan sistem Patriarki selain membangkitkan isu Marital Rape (rogol dalam perkahwinan).




Hakikatnya, secara tidak sedar, kandungan di media sosial seperti suami takut isteri, kempen beras kita beli dan persoalan tentang tugas isteri hanya layan suami, ini semua merupakan akar intipati kepada golongan yang membawa ideologi feminisme ini. Pertikaian soal "Patriarki" yang dilihat menjadi budaya kehidupan ini mula mendapat tempat di hati kaum perempuan yang mengajak agar isteri tidak perlu melakukan kerja rumah kerana itu bukan tugas hakiki isteri. Isu-isu seperti ini ditambah pula dengan kandungan di media sosial sudah menjadi perencah sebati untuk golongan berideologi feminisme ini. Secara pastinya, gerakan ideologi ini membawa kempen seperti ini bagi menunjukkan seolah-olah seperti Islam ini agama yang tidak adil pada gender perempuan dan syariat Islam yang telah sempurna ini memerlukan usaha reform (perubahan) selari dengan peredaran zaman. Ini seharusnya menjadi kebimbangan kita kerana secara langsung ianya boleh meruntuhkan kerukunan kehidupan kita.

Maka kita akan lihat kesan dan implikasi daripada perjuangan feminisme ini jika tidak dikawal, ramai kaum perempuan semakin berani untuk memekik, menjerkah, meninggi suara kepada suami, menyakiti hati suami dan semuanya dihalalkan perbuatan tersebut diatas nama hak kebebasan. Rumahtangga akan berkecamuk dengan perbalahan tentang siapa perlu buat itu dan ini sehingga mengakibatkan penceraian dek kerana isu-isu remeh tersebut. Begitu juga kesannya kepada maruah suami, suami akan menjadi dayus dengan mentaati isteri tanpa berani menegur dan menasihati isterinya. Suami tidak akan lagi di hormati dan akan kehilangan sifatnya sebagai seorang pemimpin. Walhal, syariat Islam telah menuntut isteri untuk mentaati suami dan bukan sebaliknya. Malah, dalam Islam juga, suami mempunyai kedudukan lebih tinggi sebagai ketua keluarga berbanding isteri yang dituntut untuk mentaati suami dalam segala hal yang baik di sisi syarak.




Sebahagian usaha dan perjuangan mereka ini bukanlah semuanya tidak boleh diterima. Ada juga yang baiknya hasil perjuangan mereka seperti memperjuangkan soal nafkah untuk isteri di mahkamah. Ini suatu yang harus dipuji. Pun begitu, masyarakat perlu sedar dan bangkit daripada terperangkap dalam muslihat ideologi ini. Ini bukan bermakna isteri tidak berhak bersuara atau bukan bermaksud untuk menafikan hak istimewa para isteri. Seruan terpenting untuk dekad ini ialah mengajak umat manusia kembali menjadikan syariat Islam sebagai akar dalam kehidupan ini. Ini bermakna, untuk bercakap atau berwacana tentang isu keperempuanan, maka rujuklah syariat Islam dengan kefahaman yang benar tanpa perlu kita merujuk kepada cara fikir berkiblatkan ideologi feminisme ini. Memadailah kita melihat permasalahan dunia ini dengan neraca Islam yang sempurna dan dijamin oleh Allah SWT. Islam adalah agama yang sejahtera, membebaskan para manusia dari kegelapan menuju ke pencerahan. Sangat mustahil Allah yang menciptakan kita dengan tujuan menindas dan menzalimi hamba Nya melainkan kita barangkali tidak benar-benar memahami intipati ajaran Islam. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan