Sedar atau tidak, dunia yang sedang kita diami ini telah terlalu
tua usianya dengan pelbagai generasi manusia datang dan pergi meninggalkannya.
Entah berapa ribu bahkan jutaan generasi umat manusia telah mengisi ruang hidup
di dunia ini. Sedang kita menikmati indahnya hidup ini, dunia dan seluruh alam
semesta yang juga merupakan makhluk Allah SWT bakal hancur dan lebur pada waktu
dan masa yang dirahsiakan oleh Allah SWT. Berdasarkan kepercayaan kebanyakkan
agama-agama di dunia ini, sebelum dunia berubah menjadi lebur dan hancur,
terdapat suatu watak terpenting yang disebutkan sebagai penyelamat dunia akhir
zaman dengan gelaran dan nama-nama tertentu mengikut pengajaran agama
masing-masing.
Seperti yang kita yakini di dalam Islam, kemunculan Imam al-Mahdi
berdasarkan wahyu al-hadith, merupakan suatu watak terpenting yang akan
menegakkan semula nilai keadilan dengan menentang segala macam kezaliman dan
kerosakan di dunia ini. Jika dilihat dalam kepercayaan agama-agama lain,
menurut naratif yang tersendiri, pada kepercayaan mereka juga terdapat suatu
watak sang penyelamat dunia yang mereka nantikan. Sekiranya kita beranggapan
bahawa hanya agama Islam yang menyakini soal itu, maka tanggapan itu salah
kerana hampir semua agama-agama dan ajaran besar seperti Yahudi, Hindu, Buddha
dan selainnya, bagi mereka juga terdapat kepercayaan tentang akan munculnya
sang penyelamat dunia akhir zaman. Meski begitu, kita akan dapati pelbagai
watak dan nama yang diyakini mereka mirip atau paling kurang hampir seperti
perwatakan Imam al-Mahdi yang dipercayai oleh orang Islam.
Kepercayaan agama-agama lain dapat dilihat sebagaimana menurut
kepercayaan orang beragama Yahudi yang bermazhab Ortodoks, mereka percaya
bahawa Imam Mahdi ini akan lahir ke dunia dengan segala macam kehebatan dan
kelebihan. Menurut mereka Imam Mahdi yang dianggap sebagai penyelamat akhir
zaman ini akan mengembalikan mereka ke tanah tumpah asal mereka iaitu
Baitulmaqdis, Bukit Tursina dan Palestin. Mereka ini disebutkan sebagai
golongan Messianic iaitu merujuk kepada maksud golongan yang percaya akan
tibanya sang juru penyelamat dunia akhir zaman.Perkataan "Messianic"
itu sendiri berasal dari istilah Messiah iaitu suatu nama yang digelar Imam
Mahdi. Kepercayaan mereka bahawa akan datangnya Messiah yang dinantikan ini
lantas membawa mereka kembali ke Palestin dan memenangkan bangsa Yahudi selain
akan menghapuskan semua agama lain.
Bagi agama Kristian pula, mereka sangat menyakini konsep Imam Mahdi
ini yang pada kepercayaan mereka, Imam Mahdi akan lahir dikalangan penganut
agama mereka iaitu agama Kristian. Namun begitu, kepercayaan berkaitan
kemunculan sang penyelamat Imam Mahdi ini sebenarnya lebih bersifat literal dan
tidaklah menjadi kewajipan mereka untuk mempercayainya. Apa yang jelas, menurut
apa yang mereka percaya, Imam Mahdi yang dimaksudkan oleh mereka ini sebenarnya
adalah Nabi Isa AS. Ini kerana di dalam kitab-kitab utama mereka seperti Injil
Matta, Luqa, Marqus dan Yuhanna, diceritakan tentang khabar gembira kemunculan
Nabi Isa dan Imam Mahdi secara global. Selain itu, penceritaan tentang
kemunculan sang penyelamat ini juga terdapat dalam kitab Injil Barnabas walau
kitab ini tidaklah begitu diyakini oleh para ulama agama Kristian.
Selain itu, agama Hindu juga antara agama yang sangat yakin akan
kemunculan sang penyelamat dunia akhir zaman ini. Ini boleh dilihat di dalam
kitab-kitab suci mereka, dinyatakan tentang kemunculan Kalki sebagai sang
penyelamat. Dalam ajaran agama Hindu, Kalki atau juga ditulis sebagai Kalkin
dan Kalaki, adalah salah satu avatar atau jelmaan tuhan Wishnu (tuhan penjaga)
yang akan datang pada waktu yang ditentukan. Kalki dilihat dalam kerangka
pemikiran penganut agama Hindu sebagai seorang tokoh ketuhanan dan akan bersatu
dengan kedudukan tuhan yang tidak terbatas. Kalki akan muncul dengan menunggang
kuda putih dengan mengenggam pedang berkilat dengan tujuan untuk menghapuskan
kezaliman dan kejahatan. Bagi penganut agama Hindu, Kalki memiliki kedudukan
yang istimewa. Berdasarkan kepercayaan mereka, Kalki akan membunuh pemerintahan
yang tidak layak lantas membentuk sebuah pemerintahan yang mendunia.
Bagi agama Buddha pula, mereka sangat mempercayai bahawa akan
munculnya seorang penyelamat dunia yang dkenali sebagai Maitreya. Dalam bahasa
Sanskrit, perkataan Maitreya membawa maksud orang yang penyayang. Dalam agama
Buddha, kepercayaan kepada konsep Maitreya ini sangat berbeza mengikut fahaman
mzhab masing-masing. Meski begitu, kesemua mazhab yang wujud dalam agama Buddha
mempercayai akan konsep Maitreya yang akan menjadi sang penyelamat dunia akhir
zaman. Watak Maitreya seperti yang diukirkan pada arca Buddha, digambarkan
sebagai orang yang sedang duduk dan bersedia untuk berdiri. Arca Maitreya ini
secara tidak langsung menjelaskan bahwa dirinya sudah bersedia untuk bangkit
semula dan menghapuskan kezaliman. Bagi aliran baharu agama Buddha iaitu I Kuan
Tao, Maitreya akan muncul dari aliran kepercayaan mereka. Menurut aliran ini,
berdasarkan dalam kitab suci Buddha iaitu Sutta Pitaka, bahagian Digha Nikaya
V, buku Cakkavati Sihanada Sutta, mereka yang datang dari aliran I Kuan Tai ini
percaya bahawa Maitreya ialah seorang buddha akhir zaman yang sudah diutuskan ke
dunia ini iaitu pemimpin mereka yang bernama Lu Zhong I yang lahir pada tahun
1849.
Selain itu, turut memiliki kepercayaan tentang kemunculan sang
penyelamat dunia ialah mereka yang menganut agama Zoroaster. Agama Zoroaster
(menyembah api suci) yang muncul dari aliran orang-orang Majusi mempercayai
bahawa akan muncul tiga orang penyelamat besar iaitu dimulai dengan kemunculan
Aushedar, kemudian disusuli dengan kemunculan Aushedar-mah dan yang terakhir
ialah seorang lelaki perkasa bernama Saoshyant atau Shayoshant yang dipercayai
berasal dari anak cucu Zoroaster. Sang penyelamat yang terakhir ini menurut
kepercayaan mereka akan menghapuskan Ahriman iaitu kuasa jahat sekaligus
membersihkan dunia daripada kegelapan dan kesengsaraan. Saoshyant yang juga
sang penyelamat ini kemudiannya akan memerintah dunia dengan adil dan saksama
selama seribu tahun, mendirikan kerajaan yang bernama Ahura Mazda yang membawa
maksud Tuhan yang bijaksana.
Demikianlah antara sebahagian kepercayaan agama-agama besar dunia
berkaitan tentang kemunculan sang penyelamat dunia akhir zaman. Secara asasnya,
meskipun mereka mempercayainya dengan nama-nama tertentu yang berbeza mengikut
agama masing-masing, kita yakin dan percaya ianya sangat mirip dengan apa yang
diyakini oleh orang Islam sebagai kedatangan Imam al-Mahdi. Meskipun di dalam
Islam, peristiwa kemunculan Imam al-Mahdi menjadi perselisihan pendapat
dikalangan para ulama, namun hadith-hadith yang menceritakan tentangnya tetap
diimani dengan kecenderungan pemahaman yang berbeza. Berdasarkan apa yang
dijelaskan di dalam hadith, padanya disebutkan ciri-ciri al-Mahdi, tujuan
kemunculannya dan sebagainya. Janganlah kita mudah tertipu dan terpedaya oleh
mereka yang mengakui dirinya sebagai Imam al-Mahdi. Semoga Allah merahmati kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan