Kejadian manusia merupakan sebaik-baik penciptaan yang telah
diiktiraf oleh Allah SWT. Di dalam al-Quran, dalam pelbagai ayat firman Nya
menyebutkan bahawa sesungguhnya kejadian manusia itu terdiri daripada dua jenis
iaitu mereka yang berjantina lelaki dan perempuan. Pada setiap jantina baik
lelaki mahupun perempuan telah Allah peruntukkan kasih sayang Nya bersesuaian
dengan fitrah kejadian insan. Oleh itu, kita lihat bagaimana ketetapan Allah
berkaitan hukum juga adalah bersesuaian dengan naluri lelaki dan perempuan. Ini
termasuklah soal penjagaan aurat yang berbeza antara lelaki dan perempuan.
Dalam soal kita berbicara berkenaan aurat, tentu sekali penekanan
banyak diberikan kepada para perempuan yang lebih banyak bersifat menutup
selari dengan nilai sifat malunya seorang perempuan. Apatah lagi perempuan
seringkali dijadikan bahan eksploitasi oleh pihak tertentu sejak zaman Arab
jahiliah lagi. Kerana itu Islam yang datang dengan tujuan lain adalah untuk
melindungi kaum perempuan dan meletakkan martabat dan maruah mereka pada tempat
yang sewajarnya. Aurat bagi perempuan seperti yang disepakati oleh para ulama
ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Namun begitu, terdapat
perbezaan dikalangan ulama berkenaan mulut dan dahi yang sebahagiannya menyatakan
bahagian tersebut juga dianggap sebagai aurat.
Selain itu, timbul persoalan berkenaan suara perempuan. Apakah
suara orang perempuan juga dianggap sebahagian daripada aurat ? Maka
berdasarkan perbahasan yang diperincikan oleh para ulama, terdapat dua pandangan
dalam hal ini. Pandangan pertama, jumhur (majoriti) para ulama menyatakan
bahawa suara orang perempuan tidak dikira sebagai aurat. Hal ini kerana
terdapat dikalangan para sahabat Nabi SAW mendengar suara isteri-isteri Nabi
untuk mempelajari hukum-hukum agama. Namun begitu, diharamkan pula mendengar
suaranya yang berbentuk lagu dan irama sekalipun bacaan al-Quran. Ini kerana
dibimbangi dan dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah. Ini juga sebagaimana yang
dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi surah al-Ahzab ayat 32
yang bermaksud :
"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti
mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah
kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana
yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya
(menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata
yang baik (sesuai dan sopan)".
Berdasarkan daripada ayat ini, Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya,
beliau menyebutkan bahawa Al-Suddi dan selainnya berkata yang dimaksudkan ialah
melembutkan kata-kata jika mereka berbicara dengan lelaki. Ertinya, jangalah
seorang wanita berbicara dengan kaum lelaki seperti berbicara dengan suaminya.
Selain itu, Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, beliau menyatakan bahawa :
" Yakni larangan melunakkan perkataan. Allah mengarahkan agar
para isteri nabi itu hendaklah berkata dengan tegas dan jelas dalam perbualan,
dan jangan bercakap dalam suatu bentuk yang menzahirkan dalam hati satu
hubungan dengan apa yang terzahir daripada kelunakan tersebut, seperti adalah
hal keadaan yang berlaku dalam kalangan wanita arab ketika berbual dengan
lelaki dengan cara melembutkan suara dan melunakkannya, seperti gaya perbualan
wanita yang mengelirukan dan wanita pelacur".
Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Ihya'
Ulumuddin, turut menyebutkan hal yang sama berkaitan aurat suara orang
perempuan. Beliau menyatakan bahawa :
“Dan bermula suara wanita itu dalam keadaan selain daripada
nyanyian itu bukanlah aurat, kerana kaum wanita pada zaman sahabat R.Anhum
sentiasa bercakap-cakap dengan kaum lelaki ketika memberi salam, meminta fatwa,
meminta sesuatu, melakukan syura dan sebagainya. Akan tetapi pada nyanyian itu
suatu tambahan yang memberi kesan dalam merangsang syahwat.” Kami juga
berpendapat dengan isu nyanyian kaum wanita, jika dilakukan dengan adab yang
betul dan tidak terlalu melunakkan suara dan melembutkannya sehingga
mendatangkan syahwat, adalah harus".
Dikalangan ulama masa kini, al-Marhum Syeiikh Dr. Yusuf
al-Qaradhawi di dalam kitabnya, Halal dan Haram dalam Islam, beliau
menyebutkan bahawa Islam membolehkan nyanyian selama mana ianya tiada unsur
maksiat, kata-kata yang kotor, lirik yang lucah dan menghasut kepada
penyelewengan akidah. Tidak mengapa jika ianya diiringi dengan alat-alat muzik
yang tidak membangkitkan syahwat. Beliau berdalilkan hadith riwayat Bukhari,
daripada Aisyah R.Anha bahawa dia pernah menghantar seorang pengantin wanita ke
tempat pengantin lelaki daripada kalangan kaum Ansar. Lalu Nabi Muhammad SAW
berkata kepada beliau yang bermaksud :
"Wahai Aisyah! Apakah kalian membawa sekali hiburan?
Sesungguhnya kaum Ansar itu suka akan hiburan".
Oleh itu, apa yang menjadi pegangan dikalangan jumhur para ulama,
pada asalnya suara orang perempuan tidak dianggap dan dikira sebagai aurat.
Namun begitu, ianya boleh menjadi haram apabila seorang perempuan bercakap,
bernyanyi atau melontarkan sebarang vokal yang melunakkan sehingga boleh
menimbulkan keinginan syahwat. Jelas disini, hukum aurat suara orang perempuan
ialah terletak kepada bagaimana hal itu berlaku. Dalam konteks berkomunikasi,
selagi ianya dilontarkan suara dengan nada yang biasa, tidak dengan nada
menggoda halus, maka ia tidak dikira sebagai haram. Namun sebaliknya, jika
suara yang dilontarkan itu bernada halus, lemah-lembut yang menggoda serta
mengundang perasaan syahwat, maka hukumnya adalah haram. Ini semua bergantung
kepada keadaan yang berlaku.
Pada pandangan kedua, terdapat disana para ulama yang menyatakan
bahawa suara orang perempuan itu dikira dan dianggap sebagai aurat. Ini kerana
mereka berpandangan orang perempuan dilarang untuk meninggikan suara ketika
bercakap kerana dibimbangi akan didengar oleh para lelaki yang bukan mahram. Ini
juga bertepatan dengan larangan oleh Allah untuk kaum perempuan agar tidak
berjalan menghentak kaki sehingga mengeluarkan bunyi gelang kaki. Bagi mereka,
sekiranya bunyi gelang kaki pun ditegah, apatah lagi alunan suara yang lebih
lunak dari bunyi tersebut. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nur ayat 31 yang
bermaksud :
"...Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui
perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah,
hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".
Berdasarkan kefahaman ayat ini, para ulama yang menyatakan hukum
haram suara orang perempuan, menjelaskan bahawa sekiranya mendengar bunyi
perhiasan hasil hentakkan kaki pun ditegah dan dilarang oleh Allah, inikan pula
suara yang tentu lebih lunak dan menggoda apabila mendengarnya. Oleh itu,
mendengar orang perempuan menyanyi bertambah lah haram kerana kelunakkannya.
Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa aurat suara orang perempuan jelas
hukumnya haram didengar kerana terdapat hadith Nabi yang menjelaskan bahawa
orang perempuan yang solat berjemaah dan mahu membetulkan kesalahan imam, bagi
mereka memadai dengan menepuk tangan sahaja tanpa mengeluarkan suara dengan
bertasbih.
Ini menunjukkan betapa suara orang perempuan itu haram di dengar.
Dalam hal ini juga, al-Munawi di dalam kitabnya, Faidhul Qadir, menyebutkan
bahawa arahan Nabi untuk kaum perempuan bertepuk bagi membantu imam itu adalah
bagi menjaga suaranya dari memesongkan orang lelaki yang sedang solat. Hadith
tersebut riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Mengapa aku melihat kamu banyak bertepuk apabila ragu-ragu
(waswas) dalam sesuatu perkara semasa solatnya. Hendaklah kamu ( lelaki )
bertasbih dan sesungguhnya tepukan itu hanya untuk perempuan”
Oleh itu, daripada penjelasan oleh kedua-dua pandangan ini, dapat
kita fahami dengan tiga keadaan. Bagi keadaan pertama, suara orang perempuan
yang bercakap dengan nada yang biasa dan tidak dilunakkan. Dalam hal ini,
jumhur ulama berpandangan harus manakala sebahagian lagi menyatakan haram secara
keseluruhan. Kedua, keadaan suara orang perempuan yang sengaja dilembutkan
suara, melunakkannya dan dimanjakan suaranya, telah sepakat para ulama dalam
keadaan seperti ini adalah haram diperdengarkan di khalayak orang lelaki.
Ketiga, keadaan dimana para perempuan menyanyi dengan nada yang beradab dan
menjaga perbatasan aurat, tidak dengan sengaja dilembutkan suara, sebahagian
para ulama menyatakan harus dengan syarat selagi tidak mendatangkan syahwat.
Manakala sebahagian lagi menyatakan tetap haram keseluruhannya. Demikianlah
penjelasan yang boleh kita fahami. Semuanya duduk letaknya kepada keadaan yang
dinyatakan ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.
بارك الله فيكم
BalasPadamWaiyyaka. Terima kasih atas responnya.
Padam