Kecintaan kepada Allah oleh hamba Nya adalah sesuatu yang dituntut
dan terpuji. Sesuatu yang tidak wajar bahkan tidak patut sebenarnya bilamana
ada yang menghalang manusia lain daripada mencintai Allah SWT. Namun yang
menjadi persoalannya, bagaimanakah jalan untuk mencintai Allah SWT. Dalam soal
ini, jalan untuk mencintai Allah, antara jalan yang membuktikan kecintaan kita
kepada Nya adalah dengan mengikuti apa yang dibawa oleh baginda Rasul SAW. Hal
ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi
surah Ali-Imran ayat 31 yang bermaksud :
"Katakanlah, jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah
aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.
Allah Maha Pengamun lagi Maha Penyayang".
Oleh itu, sebagai usaha yang boleh kita lakukan untuk benar-benar
mencintai Allah dan Rasul Nya memadailah dengan kita mengikuti ajaran Nabi SAW.
Namun apa yang menyedihkan kita semua, realiti hari ini diatas nama mencintai
Allah, telah banyak kerosakan dan penyelewengan yang telah berlaku dikalangan
orang Islam lebih-lebih lagi apabila menggunakan nama tarekat. Ungkapan "Tarekat"
boleh kita fahaminya sebagai suatu jalan atau wasilah. Salah satu gerakan
tarekat yang pada tujuan asalnya untuk mendidik pengikutnya mendekatkan diri
kepada Allah tetapi telah diseleweng ialah Tarekat Naqsyabandiyah.
Tarekat Naqsyabandiyah merupakan sebuah tarekat yang diasaskan oleh
Syeikh Baha' al-Din, Muhammad Ibn Muhammad al-Syarif al-Hasani al-Husayni
al-Uwaysi al-Bukhari yang lahir pada tahun 1317 Masihi bersamaan 717 Hijrah.
Beliau lebih dikenali dengan gelaran Shah Naqsyaband. Ungkapan "Naqsyaband"
adalah hasil gabungan dua bahasa iaitu bahasa Arab dan bahasa Parsi. Gabungan
dua perkataan tersebut iaitu "Naqsy" dan "Band".
Perkataan "Naqsy" berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ukiran.
Manakala perkataan "Band" diambil dari bahasa Parsi yang membawa
maksud kekal. Ini bermakna gabungan dua perkataan tersebut menjadikan maksudnya
ialah ukiran kecintaan kepada Allah yang kekal. Pun begitu, pada awal gagasan
tarekat ini tidaklah begitu dikenali sangat sehingga lah lahir pimpinan lain
yang membawanya.
Ajaran tarekat Naqsyabandiyah ini kemudiannya terkenal dibawah
pimpinan Syeikh Nazim al-Haqqani al-Qubrusi. Beliau dilahirkan pada tahun 1922
Masihi bersamaan 1341 Hijrah di Kota Larnaka, Cyprus (Qubrus). Ajaran beliau
dibawah tarekat Naqsyabandiyah ini telah tersebar meluas di serata dunia sehingga
beliau telah diiktiraf sebagai antara tokoh Islam yang berpengaruh pada abad
ini. Akan tetapi, ajaran yang dibawa olehnya telah mendapat kritikan yang
mendakwa akidah dan pemikiran beliau terpesong jauh daripada landasan sebenar
ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah. Apa yang lebih menjadi kebimbangan ialah ajaran
tarekat ini sebenarnya sangat terkenal di bumi nusantara dan mendapat tempat di
kebanyakkan tempat di Malaysia. Sehinggakan telah melahirkan ramai tokoh-tokoh
dan para pengikutnya yang menisbahkan diri mereka kepada tarekat
Naqasyabandiyah dengan menambah al-Haqqani al-Aliyyah.
Selain itu, tidak kurang pula ada yang menisbahkan diri mereka
sebagai ahli aliran tarekat tasawuf yang kononnya mendokong ajaran tasawuf
namun telah membawa ideologi dan pendekatan yang sesat. Keadaan ini hinggalah
telah difatwakan sesat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi
Hal Ehwal Ugama Islam sebanyak 12 kali pada tahun 2000 (2 kali) , 2001 (1
kali), 2002 (1 kali), 2009 (4 kali), 2010 (3 kali) dan 2019 (1 kali). Malah
terdapat tambahan kepada teks asal pada tahun 2000 iaitu dengan memasukkan teks
"Pengamal ajaran ini dikehendaki segera bertaubat". Namun begitu,
terdapat usaha-usaha dari golongan tertentu dengan menggunakan nama orang-orang
besar untuk dibenarkan semula ajaran ini sehinggalah berlaku pindaan keputusan
berkenaan fatwa ini pada tahun 2022. Dalam pindaan tersebut dinyatakan bahawa
ajaran ini boleh diamalkan selagi tidak bertentangan dengan Islam.
Pelik bin ajaib sekali. Bagaimanakah suatu keputusan yang
mengharamkan ajaran ini yang difatwa sesat sebanyak 12 kali namun dengan satu
kertas putih dibawa ke mesyuarat MKI maka sudah memadai untuk dibenarkan pula.
Persoalannya, mengapakah ajaran ini dilabelkan sebagai ajaran yang sesat ? Maka
disini disertakan beberapa bentuk kesesatan yang nyata dan terang benderang
bercanggah dengan intipati ajaran Islam yang sebenar. Antara ciri-ciri
kesesatan ajaran tarekat ini ialah berlaku perbuatan pemujaan kubur dan meminta
pertolongan dengan menyeru nama orang yang telah meninggal dunia. Menjadi
amalan kebiasaan mereka ini untuk pergi ke makam-makan pemimpin tarekat mereka
untuk melakukan pemujaan. Dalam rekod, kesesatan nyata yang mereka lakukan
ialah dengan memohon kepada wali Sultan Ariffin yang makamnya terletak di Pulau
Besar, Melaka.
Selain kesesatan mereka memuja kubur, ajaran tarekat ini juga
terkenal dengan amalan zikir menari. Amalan ini telah bercanggah dengan ajaran
Islam sebenar. Malah amalan zikir menari tersebut telah ditegur dan dilarang
dengan tegas oleh Datuk Othman Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) pada tahun 2015. Dalam kenyataan tegas tersebut, beliau
menyatakan bahawa pihaknya telah mengeluarkan larangan (zikir menari) tersebut
dalam laman web e-fatwa menerusi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-48 pada 3 April 2000. Menurut
beliau lagi, tarekat yang diguna pakai ketika berzikir ke atas Nabi SAW telah
diputuskan oleh muzakarah sebagai ajaran yang bertentangan dengan ajaran Ahli
Sunnah wal Jamaah. Selain itu, dikalangan para ulama juga ada yang menegaskan
zikir menari adalah haram dan merupakan bid'ah yang ditegah. Inilah pandangan
yang dipegang oleh Imam al-Qurtubi, Imam Ibn Kathir, Imam Taqiyuddin al-Subki
dan lain-lain.
Ciri lain yang memperlihatkan akan kesesatan mereka ialah perbuatan
bersalaman dan mencium kaki yang melampau. Dalam ajaran tarekat ini, mereka
mendakwa bahawa para wali itu dapat melihat dan bersalaman antara lelaki dan
perempuan tanpa batas. Pada anggapan mereka, amalan mencium kaki ini adalah
sebagai tanda penghormatan. Ini sudah melampaui batas dan sesungguhnya Allah
SWT tidak menyukai hamba Nya yang melampaui batas. Selain itu, ciri kesesatan
ajaran ini juga adalah berdasarkan kepercayaan mereka terhadap kewalian. Mereka
mendakwa bahawa Hisham Kabbani, salah seorang wali mereka mempunyai kedudukan
dan taraf yang sama seperti ahli Badar dan Imam Mahdi. Ajaran ini juga terkenal
dengan amalan zikir "Hu Hu Hu". Zikir ini dilakukan dengan menyebut
dhomir (kata nama) Hu yang merujuk kepada perkataan Allah. Perbuatan zikir ini
jelas tidak diajar dan tidak dituntut oleh agama Islam. Selain itu, mereka juga
berpegang kepada amalan “Rabithah”. Amalan ini merujuk kepada perbuatan
membayangkan atau menghadirkan wajah guru atau syeikh ketika hendak berzikir.
Dalam sebuah buku ajaran mereka yang bertajuk Hakikat Tarekat
Naqsyabandiyah karangan oleh H.A Fuad Said, beliau menyatakan bahawa
barangsiapa berhubungan terus menerus dengan rabithah nescaya terjadilah atas
dirinya peristiwa-peristiwa tarekat dan kesempurnaan hakikat tetapi sebaliknya
barangsiapa tidak berrabithah nescaya terputus limpahannya dan tidak akan
muncul rahsia kebesaran Allah kepadanya. Demikian apa yang dinyatakan. Selain
itu, beberapa dakwaan akidah yang dibuat oleh Syeikh Nazim juga meragukan dan
jelas bertentangan dengan syarak. Antara dakwaan tersebut ialah mendakwa Allah
berkata-kata melalui wali, beliau juga mendakwa para wali berkumpul dengan Nabi
SAW setiap malam, mendakwa wali mengawal alam semesta dan pelbagai lagi dakwaan
karut-marut yang dibuat. Dalam hal ini, berpadalah kita dengan petunjuk oleh
Nabi SAW. Berwaspada lah dengan ajaran ini dan semoga Allah mengampuni
keterlanjuran kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan