Kehidupan manusia ini tidak dapat dipisahkan dengan kepentingan
mencari ilmu. Ini kerana para manusia hidup di atas dunia dengan adanya ilmu.
Untuk mencapai sesuatu ilmu, manusia akan memperolehinya melalui pengajaran
yang disampaikan oleh guru. Telah menjadi fitrah manusia itu untuk bersifat
belajar dalam kehidupan ini. Oleh kerana itu, apabila Allah SWT menurunkan ayat
al-Quran yang pertama, kita dapat melihat bagaimana Allah menyatakan bahawa
Allah lah Tuhan yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan dan mengajar
manusia tentang apa yang tidak diketahui sebelumnya. Ini sebagaimana firman
Allah SWT dalam surah al-'Alaq ayat 1-5 yang bermaksud :
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan
(sekalian makhluk), (1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2)
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, (3) Yang mengajar manusia melalui pena
dan tulisan, (4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (5)"
Dengan mengambil faham maksud dan intipati terpenting tentang ayat
ini, jelaslah bahawasanya tugas menjadi seorang pengajar, guru, pensyarah atau
apa sahaja diatas nama mengajar adalah merupakan suatu tugas yang sangat
dimuliakan di dalam kehidupan manusia. Malah tanpa ilmu pengetahuan, pastinya
manusia tidak boleh meneruskan kehidupan ini dengan normal. Dengan itu, ilmu
tidak mungkin dapat disebarkan tanpa adanya guru yang mengajarnya dan menyampaikannya
kepada manusia. Seorang guru pula tidak boleh menyampaikan ilmu sebagai seorang
guru melainkan dirinya belajar pula dengan gurunya. Demikianlah pentingnya
rantaian guru yang memberikan kesinambungan rantaian ilmu di dunia ini.
Ketika kita berbicara tentang tugas dan peranan seorang guru,
baginda Nabi SAW juga telah menyifatkan diri baginda sebagai seorang guru. Hal
ini dapat dilihat di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda baginda Nabi SAW
yang bermaksud :
"Allah SWT tidak menghantar aku untuk bersikap keras dan
menyusahkan orang lain, tetapi Allah menghantar aku untuk sebagai seorang guru
dan memudah carakan".
Oleh itu, kita akan dapati bahawa sesungguhnya baginda Nabi SAW
merupakan seorang guru yang maha besar dikalangan manusia kerana baginda telah
menjadi guru menyampaikan ilmu kepada seluruh manusia menunjuki jalan yang
lurus bagi membolehkan umat manusia hidup berjaya di dunia dan juga berjaya
untuk kehidupan di akhirat. Demikian juga boleh kita katakan bahawa seorang
guru itu telah memainkan peranan yang begitu besar dalam kehidupan manusia.
Peranan besar itu ialah kerana sebahagian peranan Nabi untuk mengajar umat
telah dimainkan dan disambung peranannya oleh mereka yang bergelar guru.
Dalam sebuah syair yang telah di dendangkan oleh seorang tokoh
penyair Arab terkenal iaitu Ahmad Syauqi, di dalam syairnya beliau berkata :
"Bangunlah untuk guru, berikan untuknya penghormatan,
Hampirlah seorang guru itu menjadi seorang rasul,
Adakah engkau tahu sesiapa yang lebih mulia dan terhormat dari
seorang yang membina dan menghidupkan jiwa dan akal".
Demikianlah pujian yang ditujukan kepada mereka yang bergelar guru.
Apa yang didendangkan oleh penyair terkenal Ahmad Syauqi ini melambangkan
kepada kita kemuliaan dan kedudukan yang istimewa seorang guru. Warga pendidik
diatas pelbagai nama gelaran, guru, cikgu, ustaz ustazah, pensyarah, dan di
dalam pelbagai bidang pengajaran yang telah memainkan mencetak warga manusia
yang berilmu sepatutnya merasai kagum dengan tugasnya yang sangat besar jasa
dalam setiap kehidupan manusia. Walau barangkali pekerjaan guru itu tidak
menjanjikan pendapatan yang besar, tidak memberikannya kemewahan dan kekayaan
harta yang melimpah ruah, tetapi ia tidak ada tugas yang lebih mulia selain
tugas guru yang menyemai ilmu kepada umat manusia.
Terkadang dalam kehidupan ini, sebahagian manusia berlumba-lumba
melakukan pekerjaan yang boleh memberikan dirinya diingati oleh orang ramai.
Namun begitu, tugas guru sekalipun tidak terlintas dibenak jantung hati mereka
untuk meminta diri mereka diingati, mereka tetap akan diingati sepanjang hayat
manusia bahkan tetap akan disebut sebagai cikgu walau bertemu dimana-mana jua.
Demikian juga seorang guru itu bukan sahaja diingati dan disebut-sebut oleh
kalangan manusia bahkan seluruh alam juga berinteraksi kerana seorang guru. Ini
sepertimana yang telah dinyatakan oleh baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadith
riwayat al-Tirmizi, daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
“Sesungguhnya Allah SWT, para Malaikat dan semua penduduk di langit
dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti
berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada
manusia”.
Hadith ini dengan jelas menyatakan bahawa seluruh alam hattakan
semut yang berada di dalam tanah pun akan mendoakan kebaikan kepada para guru
yang telah mengajarkan kebaikan kepada kehidupan manusia. Berdasarkan hadith
ini, Nabi SAW tidak menyebut bagi mereka yang mengajar agama sahaja tetapi apa
sahaja yang diajarkan itu yang telah memberikan kebaikan kepada kehidupan
manusia, maka seluruh alam dan seisi dunia ini mendoakannya diatas kebaikan
mengajar tersebut. Betapa hebat dan mulianya seorang guru yang tanpa kita sedar
hari-hari mereka mengajar di iringi doa oleh seluruh makhluk termasuklah para
malaikat, makhluk yang paling taat kepada Allah.
Hakikatnya pekerjaan guru bukanlah suatu pekerjaan yang boleh
dipandang lekeh dan tidak hebat. Biarpun kadang pada pandangan dunia yang
materialistik ini telah membuatkan masyarakat merasai pekerjaan guru ini
sebagai tidak ada kedudukan hebat. Malah mungkin ada dikalangan kita yang
malu-malu untuk mengaku sebagai seorang guru jika hendak dibandingkan dengan
pekerjaan lain yang nampak hebat. Namun percayalah bahawa guru itu lebih hebat
dan mulia kerjanya kerana apa yang kita dapat lihat hari ini, seorang perdana
menteri hebat dengan pidatonya, seorang peguam yang bijak menyusun tuturnya
atau seorang tukang masak yang sedap masakannya, semuanya bermula dari jasa dan
pengorbanan dari seorang guru.
Demikanlah jasa guru. Sememangnya mereka ini bukanlah pakar yang
membina bangunan namun jangan kita lupa bahawa mereka membina akal fikiran
manusia, mencorak dan membentuk pemikiran, membangunkan manusia yang bermaruah
dan punyai jati diri peribadi yang indah. Membangunkan kemenjadian manusia
lebih mustahak dan penting berbanding sibuk membina bangunan pencakar langit
yang hanya dikagumi di dunia. Oleh itu, kepada semua warga pendidik, apa yang
tinggal kepada kita ialah keikhlasan dalam menyampaikan ilmu. Mungkin orang
kaya boleh berikan wang untuk memenuhi sehari dua keperluan si miskin, namun
seorang guru yang ikhlas, memberikannya ilmu dan dengan ilmu itu, si miskin ini
memanfaatkan ilmu tersebut untuk mencari wang dan dengan wang itu dia dapat
mengubah nasib hidupnya. Hanya bermula dengan sebuah ilmu yang disampaikan oleh
seorang guru yang ikhlas. Semoga Allah memberkati hidup kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan