Khamis, 16 Mei 2024

BINATANG SEMBELIHAN KORBAN MENURUT ISLAM

 

Ekosistem dalam kehidupan ini merupakan interaksi dan hubung kait antara makhluk sesama makhluk yang lain. Sama ada ianya diklasifikasikan sebagai benda hidup atau tidak, semuanya perlu berinteraksi antara satu sama lain bagi memastikan kehidupan ini berjalan diatas fitrahnya yang semulajadi. Oleh itu bagi mencapai tujuan kehidupan ini, Allah SWT telah menganugerahkan kepada para manusia haiwan dan tumbuhan sebagai sumber kepada nutrisi makanan yang diperlukan oleh badan bagi menjalani kehidupan seharian. Maka telah menjadi sunnatullah atau ketetapan Nya, manusia perlu berinteraksi dengan kehidupan lain yang terdiri daripada haiwan dan tumbuhan untuk dijadikan sebagai sumber makanan.

Ibadah korban merupakan salah satu pensyariatan Allah SWT kepada para hamba Nya yang beriman. Ini secara tidak langsung membawa maksud sesuatu penyembelihan yang dilakukan diatas nama ibadah korban hanya akan diterima oleh Allah SWT adalah dari kalangan orang-orang yang beriman. Dengan maksud demikian, Allah telah mengharamkan juga orang Islam untuk memakan sembelihan dari orang kafir atau bukan Islam kecuali dari kalangan ahli kitab. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dalam surah al-An'am ayat 121 yang bermaksud :

“ Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah SWT ketika menyembelihnya...”




Oleh itu berdasarkan penjelasan ini, maka hukumnya adalah haram bagi orang Islan memakan sembelihan orang bukan Islam kerana pada sembelihannya itu tidak menyebut nama Allah. Pada masa yang sama, berkaitan soal penyembelihan juga, perlu dinyatakan bahawa ibadah penyembelihan binatang korban merupakan suatu ibadah yang khusus kepada binatang-binatang tertentu sahaja. Ini bermakna, untuk melakukan sembelihan bagi ibadah korban, tidak boleh disembelih sebarangan binatang meskipun binatang tersebut halal untuk dimakan. Misalnya, menyembelih seekor ayam untuk tujuan ibadah korban tidak diterima oleh agama Islam. Ini kerana walaupun pada hukum asalnya, ayam halal untuk disembelih dan di makan, tetapi ayam tidak termasuk dalam senarai binatang korban.

Dalam melakukan ibadah korban, terdapat binatang tertentu yang disyariatkan bagi tujuan tersebut. Binatang selain yang disyariatkan itu, maka tidak boleh atau tidak diterima sembelihan untuk ibadah korban tersebut. Dalam hal ini, Allah SWat telah menyatakan di dalam al-Quran dalam surah al-Haj ayat 34 yang bermaksud :

“Dan tiap-tiap umat kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka mengingat nama Allah terhadap al-An'am (binatang ternak) yang telah direzekikan kepada mereka”.

Perkataan al-An’am yang bermaksud haiwan ternakan di dalam bahasa arab merujuk kepada unta, lembu/kerbau dan kambing. Adapun haiwan-haiwan seperti kuda, rusa dan selainnya tidak termasuk di dalam pengertian al-An’am. Ini juga sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Raudhah al Tholibin, beliau menyatakan bahawa haiwan yang disembelih itu mestilah daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing sama ada jantan atau betina, dan kesemua ini telah disepakati. Maka dengan itu, jelaslah kepada kita bahawa bukan semua binatang itu boleh dijadikan sebagai sembelihan korban. Ini kerana syariat Allah telah mengkhususkan binatang tertentu yang disebut sebagai al-An'am iaitu binatang ternakan.

Imam Khatib Syirbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj dengan tegas menyebutkan bahawa korban ialah ibadat yang berkaitan dengan haiwan dan ia dikhususkan dengan haiwan ternakan seperti zakat, maka tidak sah (korban) selain daripada haiwan Na’am seperti lembu liar dan seumpamanya. Begitu juga menurut Sa’di Abu Jaib dalam kitab Mausu’ah al Ijma’, beliau menyatakan bahawa sesungguhnya kesepakatan para ulama bahawa tidak sah korban kecuali unta, lembu, kambing, biri-biri dan sejenis dengannya, sedangkan berkorban dengan haiwan lain tidak memadai. Secara jelas lagi terang, hanya binatang tertentu seperti yang diperintahkan sahaja yang boleh disembelih untuk tujuan korban. Demikianlah ketetapan oleh Allah terhadap binatang yang disyariatkan untuk tujuan sembelihan korban.




Namun begitu, meskipun disebutkan tentang binatang ternakan sahaja yang dibolehkan untuk ibadah sembelihan korban, padanya juga terdapat terdapat beberapa syarat-syarat tertentu yang mengikat kepada keadaan binatang ternakan korban tersebut. Antara lainnya, umur binatang ternakan untuk dikorbankan tersebut mestilah mencapai umur yang ditentukan oleh syariat. Ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Jangan kamu menyembelih korban kecuali musinnah, kecuali sekiranya kamu menghadapi kesusahan (untuk mendapatkannya) maka boleh kamu menyembelih kambing yang Jaz’ah”.

Berdasarkan hadith ini, perkataan "Musinnah" menurut kitab Mu'jam Lughah al-Fuqaha, ianya membawa maksud haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing yang telah gugur gigi hadapannya. Menurut pandangan majoriti ulama, umur musinnah bagi haiwan yang sah untuk dijadikan korban ialah bagi unta yang musinnah ialah yang telah cukup umur 5 tahun. Bagi lembu dan kerbau yang musinnah pula ialah yang berumur cukup 2 tahun manakala kambing yang musinnah pula ialah kambing yang cukup 1 tahun. Namun begitu, para ulama dalam mazhab Syafie sedikit berbeza pandangan tentang umur kambing musinnah dengan menyatakan umur bagi kambing musinnah ialah cukup sempurna 2 tahun.

Selain itu, bagi maksud kambing yang Jaz'ah seperti yang disebutkan di dalam hadth tersebut, menurut ulama mazhab Hanbali membawa maksud kambing yang umurnya telah sempurna 6 bulan. Syarat lain lagi ialah agama Islam menetapkan bahawa binatang korban mestilah tidak cacat dan tidak berpenyakit. Menjadi lebih utama atau lebih baik (afdhal) ialah binatang ternakan yang gemuk. Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada al-Bara' bin 'Azib katanya yang bermaksud :

“Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya berkenaan haiwan yang tidak boleh dijadikan korban, maka baginda mengisyaratkan tangannya sambil berkata ada empat jenis. Haiwan yang cacat dan kecacatannya yang amat jelas kelihatan, yang buta sebelah matanya dan kebutaannya amat jelas kelihatan, yang sakit dan kesakitannya amat jelas kelihatan, dan yang akhir, haiwan yang lemah atau yang kurus”.




Melalui pemahaman daripada hadith ini, menyatakan dengan jelas kepada kita bahawa sekiranya binatang ternakan yang hendak dilakukan korban mestilah daripada keadaan yang elok dan bagus. Ini juga merangkumi maksud bahwa binatang korban tersebut mestilah tidak cacat yang jelas kelihatan, yang padanya mata kebutaan, yang padanya terdapat penyakit yang jelas kelihatan dan binatang yang lemah. Secara tidak langsung, syarat ini menggambarkan kepada kita betapa Islam sangat menitikberatkan tentang soal kualiti binatang untuk dikorbankan tersebut. Bahkan bukan setakat itu sahaja, malah Islam juga turut menitikberatkan soal cara atau kaedah penyembelihan mestilah dilakukan dengan penuh sifat ihsan atau belas kasihan. Dalam hal ini, terdapat sebahagian para ulama mengharamkan penggunaan pisau yang tumpul.

Demikianlah sedikit-sebanyak perkara yang dijelaskan oleh Islam berkaitan binatang sembelihan untuk tujuan ibadah korban. Ibadah korban adalah merupakan suatu ibadah sembelihan yang khusus. Ini kerana ibadah korban tersebut terikat kepada hari dan waktu tertentu, binatang tertentu dan dengan niat yang khusus berbeza dengan sembelihan binatang lain di luar dari hari dan masa ibadah korban tersebut. Pada ibadah korban tersebut, dituntut untuk kita bertakbir membesarkan Allah disamping kita bersyukur diatas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita sebagai para hamba Nya. Setiap curahan dan tumpahan darah hasil ibadah korban tersebut tidak dilihat dan dikira oleh Allah melainkan yang diterima korbannya adalah yang ikhlas kepada Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan