Keharmonian hidup dalam berumahtangga memerlukan komitmen
terpenting bagi kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Berusaha menyemai dan
memupuk suasana kasih sayang dalam rumahtangga bukan semata-mata terletak
dibahu para suami sebagai seorang nakhoda ketua keluarga, namun ia juga
menuntut komitmen para isteri bagi memaknai sebuah perkongsian hidup yang
dibina diatas lafaz ijab dan kabul pada suatu ketika dahulu. Maka tentunya
sesebuah kehidupan berumahtangga itu akan gagal mencapai tujuan perkahwinan
andai salah satu pihak atau keduanya tidak memberikan komitmen yang jitu.
Antara faktor yang boleh meruntuhkan maksud dan tujuan
berumahtangga adalah apabila berlakunya nusyuz antara suami dan isteri.
Perkataan "Nusyuz" berasal dari bahasa Arab. Pada sudut
bahasa, ungkapan nusyuz merujuk kepada maksud tempat tinggi. Pada sudut istilah
pula, nusyuz membawa makna berkelakuan meninggi diri terhadap pasangan baik
suami atau isteri dengan mengingkari tanggungjawab atau tidak memberi ketaatan
kepada suami dalam hal yang dibenarkan oleh syarak. Dalam kitab al-Fiqh
al-Manhaji, nusyuz bermaksud derhaka atau tidak taat. Secara mudah untuk
kita fahami, perkataan nusyuz adalah bermaksud perbuatan derhaka atau tidak
taat dan patuh terhadap pasangan, baik perbuatan tersebut dilakukan oleh suami
ataupun isteri.
Melalui pemahaman maksud nusyuz ini, perbuatan tersebut boleh
berlaku sama ada dilakukan oleh seorang isteri dengan cara menderhakai suami
dan tidak taat pada perintah suami atau sebaliknya boleh juga berlaku kepada
seorang suami yang nusyuz terhadap isterinya dengan maksud tidak melakukan
tanggungjawab memberi nafkah terhadap isterinya. Sebahagian masyarakat
barangkali hanya memahami nusyuz ini melibatkan isteri derhaka terhadap
suaminya. Tetapi seorang suami juga boleh didakwa sebagai nusyuz sekiranya
didapati beliau mengabaikan tanggungjawab terutamanya dalam soal memberi nafkah
zahir dan batin terhadap isterinya. Dalam al-Quran, Allah SWT telah menyebutkan
tentang perbuatan nusyuz tersebut.
Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 34 yang
bermaksud :
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan
derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil)
pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah
mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”
Berdasarkan pemahaman daripada ayat ini, terdapat beberapa perkara
penting yang harus kita ketahui. Antaranya, jika seorang suami mendapati
isterinya tidak mentaati arahannya dalam hal yang dibenarkan oleh syarak dan di
dapati isterinya telah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri seperti
menolak untuk bersama, keluar rumah tanpa izin suami dan melakukan maksiat,
maka pihak suami boleh melakukan tiga perkara terhadap isterinya. 3 perkara
tersebut ialah pertama, memberikan nasihat dan teguran. Kedua, pihak suami
hendaklah memisahkan tempat tidur dalam maksud lain, tidak tidur bersama.
Ketiga, pihak suami boleh memukul isterinya dengan tidak memberi kesan pada
kulit atau sebahagian para ulama lain pula berpandangan pihak suami dibenarkan
untuk diceraikan isteri tersebut dengan cara baik.
Tindakan yang membabitkan 3 perkara tersebut hendaklah dilakukan
oleh suami jika sekiranya didapati isterinya telah melakukan perbuatan nusyuz
yakni tidak taat dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Sebahagian
ulama menyatakan bahawa langkah-langkah yang digariskan oleh al-Quran melalui
surah al-Nisa ayat 34 ini perlu dilakukan secara berurutan sepertimana firman
Allah. Dalam kitab Tafsir al-Munir, disebutkan bahwa Yang dimaksudkan
dengan huruf ‘wau’ digunakan untuk menghubungkan keadaan yang berperingkat dari
yang paling ringan sehingga yang paling berat mengikut tertib. Maka, ini
menunjukkan bahawa langkah-langkah tersebut, iaitu nasihat, berpisah tempat
tidur, dan pukulan, harus dilakukan secara bertahap mengikut keadaan perilaku
isteri tersebut sama ada perbuatan nusyuznya hanya memerlukan nasihat untuk
menyedarkannya atau sudah keterlaluan yang perlu kepada pukulan yang tidak
mencederakan. Malah tidak wajar sekiranya kesalahan yang kecil dikenakan
hukuman yang berat.
Pertama sekali, berpesan, beri teguran dan nasihat terlebih dahulu
kepada isteri agar dirinya berhenti daripada melakukan perbuatan nusyuz. Jika
keadaan isteri kembali taat, maka tidak perlu lagi untuk langkah kedua. Pun
begitu, jika sebaliknya hal tersebut tidak dapat memberikan kesan kepada si
isteri, maka langkah seterusnya adalah dengan berpisah tempat tidur dan tidak
melakukan persetubuhan dengannya. Sekiranya hal tersebut juga gagal untuk
menyuruh isteri kembali taat, maka langkah yang terakhir sekali adalah dengan
memukul isteri dengan syarat tidak meninggalkan kesan pada kulit. Namun begitu,
terdapat khilaf perbezaan pendapat dikalangan para ulama. Ada yang berpandangan
langkah terakhir, suami dibenarkan untuk diceraikan isterinya tanpa memberikan
sebarang mudharat. Demikianlah turutan yang harus diambil oleh suami dalam soal
isteri yang melakukan nusyuz.
Selain itu, boleh juga berlaku keadaan dimana seorang suami telah
nusyuz kepada isterinya. Perbuatan nusyuz seorang suami terhadap isterinya
adalah merujuk kepada firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 128 yang
bermaksud :
“Dan jika seorang wanita khawatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh
dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang
sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia
itu menurut tabiatnya yang kedekut. Dan jika kamu bergaul dengan isterimu
secara baik dan memelihara dirimu (hindari nusyuz dan sikap tak acuh), maka
sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Ayat ini menunjukkan bahawa ada keadaan yang boleh menyebabkan
suami juga boleh menjadi nusyuz. Perbuatan nusyuz seorang suami dikira
sekiranya beliau telah mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri
baik berbentuk zahir mahupun batin. Dalam perbincangan dikalangan para ulama,
majoriti berpandangan bahawa mana-mana suami yang telah melakukan perbuatan
nusyuz iaitu dengan makna tidak menunaikan tanggungjawabnya memberi nafkah,
maka dirinya boleh dikenakan tindakan undang-undang dibawah hukuman takzir. Ini
menunjukkan bahawa betapa beratnya dosa dan hukuman bagi para suami yang cuai
dan melakukan pengabaian memberi nafkah terhadap isterinya.
Bagi memahami maksud suami nusyuz ini, dalam kalangan ulama mazhab
Hanafi, mereka menyebutkan bahawa nusyuz eorang suami itu adalah seperti dia
tidak menyediakan tempat tinggal kepada isteri, suami itu memukul dengan kuat
sehingga melanggar batasan syariat, atau suami itu menyakiti si isteri. Bagi
kalangan ulama mazhab Maliki pula, dinyatakan bahawa bukan sekadar memukul,
malah suami yang memaki hamun isteri dengan cara yang tidak sepatutnya pun
boleh dianggap sebagai suami yang nusyuz. Jika ia berjaya dibuktikan di
mahkamah, suami yang nusyuz tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Selain itu, dikalangan para ulama mazhab Syafie pula berpandangan suami yang
tidak memberikan nafkah kepada isterinya dalam kadar yang sebenar pun boleh
dianggap sebagai suami yang nusyuz.
Berdasarkan penjelasan ini, dapatlah kita fahami bahwa dakwaan
nusyuz bukan hanya boleh dikenakan terhadap isteri sahaja malah suami juga
boleh disabitkan. Sesungguhnya perbuatan nusyuz ini diletakkan sebagai
dosa-dosa besar oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya, al-Kaba'ir. Oleh
itu, baik suami mahupun isteri perlulah berwaspada dengan sikap tersebut.
Lebih-lebih lagi kepada kaum isteri. Ini kerana apabila seorang isteri
diceraikan kerana perbuatan derhakanya terhadap suami, maka gugurlah hak
penerimaan nafkah semasa dalam tempoh penceraian. Dalam maksud lain, wanita
yang diceraikan kerana nusyuz, tidak layak untuknya menerima nafkah selama
dalam tempoh bercerai tersebut. Untuk itu, peliharalah kerukunan rumahtangga
berdasarkan yang dikehendaki oleh syarak. Berusaha memperbaiki kelemahan dan
mudah-mudahan hal itu dapat memberikan nilai tambah dalam hidup berumahtangga.
Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan