Kemerdekaan atau lebih sinonim dengan maksud kebebasan merupakan
suatu nikmat yang sangat memberi nilai tambah dalam kehidupan sejagat.
Kebebasan dalam konteks kemanusiaan akan menzahirkan segala nilai maruah dan
peribadi yang perlu dan mesti dihormati. Dalam ungkapan mudah, untuk menjadi
seorang manusia yang bermaruah, dirinya terlebih dahulu mesti dibebaskan dari
menjadi hamba kepada manusia. Maka sebenarnya kedatangan Islam antaranya
bertujuan untuk memberikan kebebasan kepada manusia agar tidak lagi menjadi
kuda tunggangan atau budak suruhan semata-mata tanpa diberikan hak sebagai
kemanusiaan.
Hakikatnya, sistem perhambaan bukanlah suatu sistem yang
diperkenalkan oleh Islam. Sebaliknya sistem perhambaan ini telah menjadi suatu
budaya yang telah wujud sejak zaman pra-sejarah lagi. Sistem perhambaan juga
merupakan sebahagian daripada kesan sampingan dari peperangan dan pertempuran
antara puak dan suku. Setelah itu budaya perhambaan ini telah berkembang meluas
dan menjadi fenomena dunia. Catatan sejarah menjelaskan kepada kita bahawa pada
zaman penjajahan Barat, sistem perhambaan ini telah dijadikan salah satu
daripada pemangkin ekonomi negara-negara penjajah. Ini bermakna, sistem
perhambaan telah dieksploitasi dengan digunakan para hamba ini sebagai tenaga
buruh dalam kerja-kerja pembinaan selain dijadikan sebagai barang pertukaran.
Meskipun usaha pemansuhan sistem hamba yang diperjuangkan oleh Abraham Lincoln
dahulu telah berjaya dengan perisytiharan pembebasan (Emancipation
Proclamation) pada tahun 1863, namun ianya dibuat bagi mendapat sokongan
politik semata-mata dan ia sebagai strategi ketenteraan bagi memenangi perang
saudara yang melanda Amerika pada ketika itu.
Jelaslah kepada kita bahawa sistem perhambaan ini bukannya mula
diperkenalkan oleh Islam. Bahkan Islam datang dengan diutuskan baginda
Rasulullah SAW dan melalui pensyariatan agama ini, bertujuan mengajak umat
manusia untuk membebaskan para hambanya. Dalam hal ini kita akan dapati banyak
ajaran dalam Islam yang menyuruh manusia membebaskan para hamba sesama manusia
dalam pelbagai bentuk hukum. Antaranya sebagaimana yang telah dinyatakan oleh
Allah SWT dalam surah al-Balad ayat 12-13 yang bermaksud :
“Adakah engkau tahu apa itu halangan tersebut? Ia adalah
memerdekakan hamba.”
Berdasarkan ayat ini, menurut Imam Abu Hanifah dalam kitab Tafsir
al-Kabir, beliau menyatakan bahawa membebaskan hamba dikira sebagai
sebaik-baik sedekah. Selain itu, Imam al-Razi menjelaskan bahawa terdapat tiga
maksud daripada ayat tersebut antaranya maksud pertama, membebaskan hamba yang
dimiliki tanpa sebarang syarat. Kedua, ayat ini bermaksud membebaskan hamba
yang terikat dengan perjanjian tertentu dengan tuannya bagi membebaskan dirinya
dengan cara membantunya melunaskan hutang yang ditetapkan oleh tuannya. Maksud
ketiga, membebaskan diri sendiri daripada neraka dengan melakukan ibadah yang
diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan atau menjauhkan diri daripada
dosa dan maksiat.
Melihat kepada pemahaman ayat tersebut, jelas kepada kita bahawa
Islam datang dengan tujuannya untuk membebaskan para hamba sesama manusia.
Selain itu, terdapat banyak hukum dalam Islam yang menuntut kepada pembebasan
perhambaan seperti hukum kaffarah sumpah, kaffarah zihar, dan diyat bagi
kesalahan membunuh tanpa niat atau dengan niat setelah diberi keampunan oleh
keluarga si mati. Sebahagian hukum ini menuntut supaya dibebaskan hamba dan
inilah antara komitmen Islam yang datang bagi menghapuskan sistem perhambaan
yang telah sekian lama menjadi nilai budaya dalam masyarakat antarabangsa.
Dalam pada itu, syariat Islam datang dengan membawa nilai kemanusiaan yang sama
sahaja. Tidak ada pembahagian kasta di dalam Islam. Untuk itu, Allah
menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang beramal soleh, baik lelaki mahupun
perempuan, maka dirinya layak ke syurga.
Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 97 yang
bermaksud :
"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan,
sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan
kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan
memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan"
Ayat ini menjelaskan bahawa di sisi Allah Azza Wa Jalla, sesiapa
sahaja baik dirinya lelaki mahupun perempuan, selagimana dirinya beramal soleh
dengan mentaati segala perintah Nya, tanpa mengira apa jua statusnya di dunia,
mereka ini layak memasuki syurga Allah SWT. Ini juga bermakna dalam Islam tidak
ada kasta tertentu yang membezakan manusia. Semuanya sama sahaja. Hanya yang
membezakan antara manusia itu ialah nilai ketaqwaan. Oleh sebab itu, Islam
dengan syariatnya ini bertujuan untuk mengangkat nilai kemanusiaan membebaskan
manusia dari dieksploitasi dengan manusia yang lain. Selain itu, Islam juga
datang dengan membela para hamba daripada ditindas dan dizalimi. Hal ini kita
boleh dalam sebuah hadith riwayat Muslim, tatkala ketika itu Abu Mas'ud memukul
hambanya, tanpa beliau sedar bahawa Nabi SAW ternampak perbuatan beliau. Ketika
beliau sedang memukul, kedengaran suara Rasulullah SAW menjerit dibelakangnya
dengan bersabda :
"Ketahuilah wahai Abu Mas’ud, Allah lebih berkuasa bertindak
ke atas kamu berbanding tindakan kamu terhadapnya. Dengan itu, beliau berhenti
dari memukul hambanya, dan terus memerdekakan hamba terbabit. Lalu beliau
maklumkan kepada Nabi. Mengetahui hamba itu dimerdekakan, Nabi terus berkata
kepada Abu Mas’ud; “Andai kamu tidak lakukannya (merdekakan hamba tersebut),
sudah pasti kamu akan dilahap oleh api neraka".
Sesungguhnya kedatangan Islam adalah untuk menegakkan nilai
keadilan sosial termasuklah kepada perhambaan. Jika dilihat melalui naratif
Barat, seolah-olah Islam telah melakukan kezaliman terhadap nilai kemanusiaan
apabila membenarkan perhambaan ini berlaku. Malah sebahagian para orientalis
Barat menukilkan ayat al-Quran yang mengharuskan hamba perempuan dinikahi oleh
tuannya. Cubaan menukilkan ayat tersebut adalah bagi menggambarkan pelacuran
yang dihalalkan oleh Islam. Ini adalah sangkaan bermotif jahat bagi memburukkan
Islam. Sedangkan jika kita lihat ayat tersebut dalam surah al-Nur ayat 25 yang
bermaksud :
"Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan
yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang
merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu
berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki..."
Dalam konteks ayat ini, Allah SWT membenarkan hamba perempuan
dinikahi oleh tuannya bertepatan dengan keadaan semasa itu yang memperlihatkan
para hamba perempuan diperlakukan seperti binatang tunggangan. Maka kebenaran
ini tentu sekali untuk memperbaiki konsep perhambaan dengan mengangkat martabat
perempuan dikalangan hamba diberikan hak seperti isteri yang sah agar dirinya
dipelihara dan tidak diperlakukan lagi seperti binatang. Bahkan jika kita
memahami ayat ini, kita akan mendapati betapa Islam cuba mengangkat martabat
hamba yang layak dinikahi dalam membela para lelaki yang kurang berkemampuan
dari sudut kebendaan. Ini sekaligus menutup pintu untuk ruang melakukan
keganasan seksual atau keterpaksaan dalam melakukan hubungan seks. Ini kerana
Islam melarang umatnya untuk bersetubuh dengan pasangan dengan melakukan
kekasaran atau keganasan.
Perhatikanlah juga pada ayat tersebut, Allah SWT menggunakan
perkataan “budak perempuan yang beriman", suatu kalimah yang sangat
beradab, mesra dan berhikmah. Allah telah menyifatkan “mukminat” kepada
hamba perempuan. Ini sudah cukup memuliakan mereka sebagai penghormatan yang
perlu diberi sesuai dengan hak-hak seorang yang beriman. Hal ini juga supaya
mereka dikalangan hamba yang dinikahi itu dijaga dengan begitu baik, bukannya
seperti hamba sahaya, bahkan dimerdeka sebagai mahar mereka menjadi isterinya.
Kenyataan ini membuktikan bahawa keharusan menikahi hamba perempuan bukanlah
suatu bentuk pelacuran yang cuba dihalalkan, Malah ianya suatu syariat yang
mengangkat semula martabat hamba dikalangan perempuan menjadi lebih mulia dan
bermaruah.
Sesungguhnya Islam datang dengan menutup semua pintu perhambaan
seperti perhambaan buruh, perhambaan seks kecuali satu pintu sahaja iaitu
melalui peperangan. Apabila berlaku peperangan, maka mereka yang ditawan oleh
tentera Islam boleh dijadikan sebagai hamba. Pun begitu, perhambaan hanya boleh
ke atas musuh yang dikalahkan dalam perang dan keadaan itu hanya boleh berlaku
jika mereka berlainan agama dan mereka yang sudah pun berstatus hamba. Adapun
seorang muslim yang merdeka tidak boleh sama sekali dihambakan oleh muslim yang
lain kecuali jika dia memang telah berstatus hamba. Secara jelas, tiada satu
pun tuntutan daripada al-Quran mahupun hadith yang menyebut tentang kewajipan
menjadikan tawanan sebagai hamba. Malah Islam menggalakkan agar hamba-hamba
dibebaskan apabila mereka menunjukkan tanda-tanda insaf dan ingin kembali
kepada kebaikan dan Islam. Berkata Dr. Muhammad Ammarah, seorang pemikir Islam
Mesir di dalam bukunya al-Islam wa Huquq al-Insan, bahawa orang yang
berakal dan adil dapat memahami bahawa Islam secara jelas memberhentikan amalan
perhambaan dan menghapuskannya sama sekali. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan