Ahad, 9 Jun 2024

MUALAF : HUBUNGAN DENGAN KELUARGA YANG BUKAN ISLAM

 

Bersesuaian dengan namanya Islam, menjadikan intipati ajaran agama ini menjamin kesejahteraan, kedamaian dan keamanan dalam kehidupan. Ungkapan Islam yang pada kata dasarnya bermaksud selamat sejahtera bukan sekadar pada maksudnya tetapi ajarannya juga bertunjangkan kepada kedamaian dan keamanan. Oleh kerana itu juga, sejarah telah mencatatkan bahawa Islam tidak pernah menjajah mana-mana negara atau wilayah tetapi Islam datang dengan menyebarkan risalah kebenaran yang membawa jaminan keselamatan dunia dan akhirat. Lihatlah dalam catatan sejarah, peperangan demi peperangan yang berlaku tidak ada satu pun yang dicetuskan oleh Islam melainkan berperang setelah dicetuskan oleh pihak musuh.

Kerana Islam itu membawa intipati ajaran yang aman dan damai, maka sesiapa sahaja yang memeluk Islam pastinya akan merasai keindahan Islam menerusi syariat-syariat Allah SWT. Perkara ini tentunya akan lebih dirasai oleh mereka yang baru memeluk Islam yang biasanya disebut sebagai mualaf atau saudara baru. Ini kerana pada diri mereka yang baru memeluk Islam pastinya tidak dapat lari daripada dilema menghadapi kaum keluarga mereka yang bukan Islam. Persoalan demi persoalan seringkali bermain di fikiran dan pelbagai perasaan bercampur baur di lubuk hati yang dalam. Antara perkara yang seringkali menghantui mereka ialah tentang soal hubungan dengan ibubapa yang bukan Islam. Selepas memeluk Islam, apakah wajib keluar dari rumah tersebut dan meninggalkan kedua ibubapanya yang bukan Islam. Demikian pula bagaimana tentang soal pergaulannyan dengan adik beradik yang lain, tentang makan minum di rumahnya dan macam-macam dilema yang sering menghantui mereka yang baru memeluk Islam.




Pertama sekali, perlu dijelaskan tentang hubungan anak dengan kedua ibubapanya. Islam bukanlah agama yang menyeru kepada permusuhan. Oleh itu, meskipun ibubapa kita belum memeluk Islam, tanggungjawab berbuat baik seorang anak terhadap kedua ibubapa tetap wajib dilakukan. Memasuki Islam sama sekali tidak bermaksud memutuskan silaturrahim apatah lagi hubungan biologi antara ibubapa dan anak-anak. Perintah berbuat baik kepada ibubapa tetap wajib dilakukan oleh anak meski anak tersebut telah memeluk Islam. Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan di dalam surah al-Isra' ayat 23 yang bermaksud :

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Mengenai ayat tersebut, Syeikh al-Maraghi dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Maraghi, beliau menyatakan bahawa Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa. Selain itu pula, Imam Ibn Kathir dalam kitabnya,Tafsir Ibn Kathir, beliau menyebutkan bahawa jika kedua orang tuamu memaksa kamu epada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutnya dan alam pada masa yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik.

Berdasarkan daripada nukilan tersebut, jelas bahwa Islam tidak pernah sama sekali melarang kita untuk berbuat baik kepada kedua ibubapa walau berbeza agama dengannya. Malah Islam sangat menegah umatnya dari memutuskan silarurrahim. Melalui pemahaman ini, wajib bagi kita sebagai anak yang baru memeluk Islam untuk berbuat baik dan mentaati mereka dalam hal yang tidak ditegah dan dihalang oleh Islam. Berbuat baik itu tetap wajib dan tidak ada penghujungnya. Hakikatnya, perbuatan berbuat baik kepada ibubapa yang berlainan agama juga suatu usaha dakwah yang murni menonjolkan kebaikan ajaran agama Islam. Selain itu, tidak kurang penting juga yang acapkali menjadi polimik dikalangan para saudara baru adalah soal makan dan minum bersama keluarga yang bukan Islam. Tanpa pemahaman yang jelas, isu ini akan menjadikan ramai dikalangan kaum keluarga mereka yang bukan Islam merasai tersisih, terasa hati dan merasa seperti dinafikan hak untuk hidup dan duduk bersama.




Sesungguhnya hukumnya adalah harus untuk makan bersama keluarga yang bukan Islam. Malah harus juga makan makanan yang dimasak atau dihidangkan oleh orang bukan Islam. Namun begitu, keharusan tersebut bersyarat dengan hendaklah kita pastikan dahulu makanan itu adalah halal dan tidak bercampur dengan sebarang bahan yang diharamkan oleh Islam. Ini bermakna jika makanan itu masih dalam perkara yang dihalalkan oleh Islam maka tidak menjadi masalah untuk kita menjamahnya. Adapun barangkali kita meragui akan status bahan mentah seperti ayam dan daging yang digunakan, apalah salahnya kita sendiri membeli barang-barang mentah tersebut agar lebih terjamin status halalnya. Berhuhung soal makan minum juga, ada yang tertanya-tanya berkaitan hukum menggunakan bekas yang digunakan oleh mereka yang bukan Islam. Boleh atau tidak kita yang beragama Islam menggunakan pinggan, gelas atau apa-apa perkakas yang sama digunakan oleh kaum keluarga yang bukan Islam.

Dalam hal ini, majoriti para ulama berpandangan bahawa hukum bekas yang digunakan oleh orang bukan Islam adalah sama seperti hukum bekas yang digunakan oleh ahli kitab. Ini bermakna adalah harus bagi kita menggunakan bekas yang sama digunakan oleh mereka yang bukan Islam. Begitu juga jika dilihat dalam mazhab asy-Syafie, adalah harus untuk menggunakan bekas yang digunakan oleh orang bukan Islam jika diyakini kesuciannya. Jika tidak diyakini kesuciannya, maka hukumnya adalah makruh menggunakannya sehinggalah dibasuh bekas tersebut. Hal ini juga sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari, daripada Abu Tha’labah al-Khusyaniy RA yang bermaksud :

"Aku telah berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya kami tinggal di negeri ahli Kitab, adakah boleh bagi kami untuk makan menggunakan bekas-bekas mereka? Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu makan menggunakan bekas-bekas mereka kecuali jika tiada pilihan bagimu, maka basuhlah bekas-bekas tersebut dengan air, kemudian kamu makanlah menggunakan bekas tersebut”




Berdasarkan hadith ini, tidak ada masalah bagi kita untuk menggunakan bekas yang sama digunakan oleh mereka yang bukan Islam selagimana diyakini akan kebersihannya. Dalam hal ini, kita tidak disuruh untuk terlalu teliti sehingga mengundang persepsi yang salah tentang Islam. Memadailah dengan kita membasuhnya terlebih dahulu dan hal itu mencakupi syarat akan bersihnya bekas yang akan digunakan. Begitu juga soal membasuh baju dengan menggunakan mesin atau bekas yang sama. Usahlah kita memberatkan dalam perkara yang tidak agama tekankan dan jangan pula kita menyusahkan dalam perkara yang tidak agama susahkan. Dalam konteks perhubungan dengan keluarga bukan Islam, ianya tidak sekadar berbicara soal hukum halal dan haram tetapi juga memerlukan kesenian dan kehalusan budi dalam menunjukkan keindahan agama Islam yang selari dengan maksudnya keamanan dan kesejahteraan.

Demikianlah bagaimana Islam memberikan panduan dan jalan keluar kepada beberapa isu terkait polimik dikalangan mualaf atau saudara baru. Inilah yang disifatkan sebagai rahmat agama Islam. Perbezaan agama bukanlah lesen untuk kita memutuskan silaturrahim, bukanlah tegahan atau larangan untuk kita berbuat baik kepada ibubapa dan kaum keluarga kita yang bukan Islam. Berulang kali perlu ditegaskan bahawa memeluk Islam tidak bermakna kita perlu meninggalkan dan menjauhi keluarga kita yang bukan Islam. Hattakan Islam juga melarang untuk menukar nama bapa biologinya meski telah berbeza agama dan kepercayaan. Peluang keberadaan bersama mereka kaum keluarga yang bukan Islam merupakan suatu peluang terbuka bagi kita mengajak mereka kembali kepada agama fitrah bagi semua manusia. Maka sangat penting memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan