Khamis, 10 Jun 2021

NEW AGE MERESAP MELALUI SAINS, PSIKOLOGI & AGAMA

 

Umum mengetahui bahawa agama merupakan pokok asas dalam pembentukkan jati diri dan peribadi seseorang. Ini bermakna, hidup beragama akan menjadikan seseorang itu lebih berkeperibadian mulia dan kuat jati dirinya. Pengamalan agama dengan ajaran yang sebenar akan menjadikan kita lebih baik dan bersederhana.

Pada masa sama, jika hidup beragama dicampur adukkan dengan teori falsafah yang menyalahi agama, hal ini akan menyebabkan kita menjadi celaru dan terperangkap dalam permainan minda. Untuk mengaitkan perempuan yang melakukan "kerja lelaki" akan lebih hormon testosterone itu hanyalah sebuah teori daripada ideologi feminine energy yang juga merupakan ajaran yang dibawa oleh New Age Movement.



Agama tidak menolak ilmu sains yang juga merupakan sebahagian daripada sistem hidup, namun untuk menjadikan teori sains semata-mata seperti ilmu fizik, ilmu psikologi dan mengaitkan dengan pelbagai unsur seperti getaran jiwa dan sebagainya sebagai dalil atau hujah tanpa merujuk wahyu al Quran dan as Sunnah, ianya telah menyalahi prinsip hidup beragama.

Ajaran pseudo psiko-sains dan agama seperti power of mind (kuasa minda), minda positif dan aura diri, dihiasi dengan falsafah tertentu, pastinya akan membawa kita ke satu dimensi yang berbeza dengan ajaran agama sebenar. Bahkan, lebih hebat lagi apabila kita akan merasakan kewujudan Tuhan dalam diri kita melalui getaran jiwa seperti yang pernah di dakwa oleh Siti Kasim dahulu. Ini semua sebahagian daripada isi kandungan ajaran New Age.

Apa yang disebutkan oleh Dr. Muhaya sebagai "feminine energy" itu adalah terkandung istilah "blockage". Apa yang boleh kita fahami dengan istilah blockage ini ialah perkara yang boleh menghalang kita daripada sesuatu perkara. Misalnya, pagi- pagi kita perlu aura positif, tidak boleh sedih, berdoa pun kena doa yang bersifat gembira tidak boleh berdoa dalam keadaan sedih, kerana kalau kita sedih, ianya menghalang kita daripada rezeki, jodoh dan lain-lain. Ringkasnya, blockage ini umpama penghalang untuk kita raih sesuatu.

 


Umat Islam perlu menolak kefahaman blockage ini kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Agama tidak pernah menghalang kita daripada berusaha namun dengan meletakkan usaha kita semata-mata tanpa meletakan harapan pada Nya, ini salah dalam agama. Kerana yang memberi rezeki bukan aura kita, yang memberikan kita jodoh pertemuan bukannya sikap dan minda positif kita tetapi ianya hak milik dan kurniaan Allah SWT. Kita juga beranggapan barangkali Dr. Muhaya sendiri tidak tahu atau tidak sedar tentang apa yang beliau cakapkan itu adalah daripada ajaran aliran New Age. Allah telah mengingatkan kita semua melalui firman Nya dalam surah Yunus ayat 107 yang bermaksud :

"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki Nya di antara hamba-hamba Nya dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"

Berdasarkan firman Nya, ini bermaksud apabila Allah telah menentukan sesuatu, maka manusia tidak dapat memilih yang lain lagi. Mereka harus mentaati dan menerima apa yang telah di tetapkan oleh Allah Azza Wa Jalla. Sedarlah kita bahawa hidup beragama tidak akan membuatkan kita jauh daripada kekuasaan Allah. Malah, kita akan bertambah kuat iman bermohon pada Nya dan yakin dengan ketentuan Nya.

Ajaran New Age ini seringkali mencedok ilmu fizik, ilmu psikologi dan ilmu agama lalu mengubah mengikut kesesuaian kehendak ajaran mereka. Maka tidak hairan, kita akan jumpa dengan dakwaan mereka tentang Israk dan Mikraj, disebutkan peristiwa itu sebagai "soul travel" dan baginda Nabi SAW disifatkan sebagai seorang manusia biasa yang telah mencapai tahap tinggi dalam fahaman Chakra. Ajaran ini nampak seperti releven memasuki segenap bidang seperti sains, agama dan psikologi namun membawa sebuah ideologi yang menyimpang dari ajaran Islam sebenar. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan