Kita
acapkali mendengar bahawa Islam adalah sebuah agama yang menyatukan ummah.
Bukan sebaliknya membawa kepada perpecahan. Perkara ini juga adalah selari
dengan makna perkataan Islam itu sendiri yang membawa maksud selamat, sejahtera
dan aman damai. Namun begitu, sebahagian masyarakat di luar sana khususnya
mereka yang bukan beragama Islam diperlihatkan dengan isu pertelingkahan sesama
orang Islam dalam menentukan Islam siapakah yang paling benar dan betul
berdasarkan mazhab yang diyakininya. Malah bertambah buruk, apabila sehingga
tahap kafir-mengkafirkan sesama umat hanya kerana berlainan fahaman mazhab.
Situasi
ini setidak-tidaknya telah menimbulkan persepsi terhadap bermazhab, menyatu
atau memecah ? Jika benar mazhab ini memecah, mengapa adanya mazhab di dalam
Islam ? Jika benar Islam itu agama yang menyatupadukan, mengapa ada mazhab yang
muncul dan memecah-belahkan umat ? Mengapa ada mazhab ? Apakah tidak cukup
dengan al-Quran dan hadith Nabi ? Persoalan sebegini barangkali timbul di benak
hati kita apabila kegusaran kita melihat makna Islam yang sejahtera tidak
selari dengan bermazhab yang dilihat tidak membawa kepada maksud sejahtera,
selamat dan aman damai tersebut.
Perkataan
mazhab adalah berasal dari bahasa Arab yang beberapa maksud. Dari sudut bahasa,
mazhab terbahagi kepada dua maksud iaitu pertama, bermaksud yang diyakini.
Kedua, mazhab juga bermaksud jalan atau metode. Oleh itu, dari sudut bahasa,
dapat kita simpulkan bahawa mazhab adalah suatu jalan dan kaedah yang diyakini
untuk kita berada di atas manhajnya (jalan). Dari sudut istilah pula, seperti
yang terkandung dalam kitab Mu'jam Mustalahat Usul al-Fiqh, mazhab
adalah merujuk kepada maksud sesuatu pandangan yang dikemukakan oleh seorang
mujtahid dalam perkara furu' (cabang) serta masalah yang bersifat ijtihadiyy
(suatu perkara yang menjadi perbincangan dikalangan ahli hukum).
Secara
umumnya, mazhab dalam Islam terbahagi kepada dua sudut iaitu mazhab dari sudut
akidah, membincangkan permasalahan berkaitan hukum-hakam keimanan. Keduanya,
mazhab dari sudut fiqh, membincangkan permasalahan hukum hakam berkaitan
pelaksanaan ibadah. Kita harus ketahui bahawa mazhab bukanlah suatu agama
baharu yang menggantikan Islam. Mazhab juga bukanlah sesuatu yang mutlak untuk
dipatuhi dan diikuti melebihi patuh dan ikuti perlembagaan Islam iaitu al-Quran
dan as-Sunnah.
Kemunculan
mazhab juga bukanlah bertujuan untuk membawa ajaran baharu, seruan dan dakwah
baharu atau menafikan syariat Islam. Tujuan dan peranan utama mazhab itu
sendiri adalah untuk memperincikan dasar pelaksanaan kepada sesuatu tuntutan
dalam syariat. Sebagai contoh, dalam al-Quran, Allah SWT telah memerintahkan hamba
Nya untuk mendirikan solat. Perintah Allah SWT ini adalah bersifat umum. Untuk
pelaksanaan solat, Allah tidak menyebutkannya secara terperinci. Maka datanglah
hadith Nabi bagi memperincikannya. Untuk itu, para sarjana Islam yang juga
terdiri daripada pendiri mazhab, mengkaji hadith-hadith tersebut dengan kaedah
pemahaman masing-masing yang akhirnya terhasil lah beberapa pandangan mengenai
tatacara solat.
Perbezaan
tatacara solat antara mazhab "A" dan mazhab "B" bukanlah
bermaksud rujukan berbeza, tetapi perbezaan ini merujuk kepada perbezaan kaedah
dan metodologi dalam memahami sesuatu dalil al-Quran dan al-Hadith.
Perbezaannya adalah kaedah pemahaman namun rujukannya tetap sama iaitu al-Quran
dan al-Hadith. Maka tidak timbul persoalan mengenai mazhab membawa ajaran atau
agama yang baharu kerana pada dasar prinsipnya, rujukan mereka tetap sama iaitu
merujuk kepada al-Quran dan al-Hadith. Bezanya adalah bagaimana cara nak
memahami tuntutan sesuatu dalil dari al-Quran dan al-Hadith.
Selain
itu, kita harus tahu bahawa pada zaman Nabi SAW, tidak timbul terlalu ketara
kepelbagaian mazhab ketika itu kerana pada zaman tersebut rujukan utama itu
sudah semestinya rujuk dan semak terus kepada baginda Nabi SAW. Segala masalah
dan kemusykilan yang wujud pada zaman itu, dapat terus ditanya kepada baginda
Nabi Muhammad SAW. Meskipun begitu, baginda Nabi SAW ada ketikanya baginda
sendiri telah berijtihad (mengkaji dan menyelidik) dengan sesuatu permasalahan.
Misalnya, seorang wanita telah datang dan bertanyakan kepada Nabi berkenaan
ibadah haji untuk bapanya. Perkara ini dirakamkan dalam sebuah hadith riwayat
Bukhari dan Muslim, yang bermaksud :
"Rasulullah
SAW pernah bersabda kepada seorang wanita yang bertanyakan mengenai hajinya
untuk bapanya. Baginda bersabda : "Apa pandanganmu jika sekiranya bapamu
mempunyai hutang lalu engkau melangsaikannya, adakah ia sudah memadai ?"
Jawab wanita itu : "Ya." Sabda Baginda : "Maka hutang Allah
lebih berhak untuk ditunaikan".
Ini
bermakna, Nabi SAW telah berijtihad akan permasalahan keutamaan melangsaikam
hutang Allah SWT. Perkara ini berlaku juga bertujuan melatih para sahabat untuk
turut berijitihad sesuatu hukum setelah wafatnya baginda Nabi. Setelah wafatnya
baginda Nabi, maka segala hal masalah yang timbul akan diperbincangkan dan
diperhalusi oleh para sahabat Nabi yang berijitihad. Maka melalui perihal ini,
dapat kita fahami bahawa sesuatu mazhab itu wujud bukanlah untuk membawa
syariat baharu dalam Islam. Sama sekali tidak. Sebaliknya adalah untuk
membahaskan kaedah pelaksanaan kepada sesuatu syariat itu sendiri berteraskan
perlembagaan utama Islam, al-Quran dan al-Hadith.
Berbeza
dengan amalan dan kepercayaan agama lain seperti Kristian, berbeza mazhab akan
berubah lah juga sumber rujukan mereka. Misalnya dalam agama Kristian, terdapat
beberapa kelompok atau juga boleh kita namakan sebagai mazhab seperti Katolik,
Protestan, Ortodoks dan lain-lain. Perbezaan kelompok atau mazhab ini telah
merubah cara fikir mereka dengan merujuk kitab-kitab berbeza mengikut anutan
mazhab mereka tersendiri. Tetapi dalam Islam, meskipun terdapat kepelbagaian
mazhab, namun rujukan utama dan perlembagaannya tetap sama iaitu al-Quran dan
al-Hadith. Demikian Islam yang membawa mesej kesatuan dan keamanan sejagat.
Adapun
sebahagian masyarakat melihat ketaksuban segelintir umat Islam mempertahankan
kebenaran mazhabnya itu adalah sikap pelampau yang tidak diajar dan dituntut
dalam Islam. Islam sama sekali menegah dan melarang umatnya bertelagah sesama
sendiri yang akhirnya merugikan nasib umat Islam. Sikap terlalu taksub dan
fanatik terhadap sesuatu mazhab juga bukan seruan dan ajaran oleh pendiri atau
pengasas sesuatu mazhab. Ianya adalah diluar kawalan dan di dorong oleh sikap
fanatik mereka itu sendiri. Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Dr. Syeikh Abdul
Karim Zaidan dalam kitabnya, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, beliau menyatakan
bahawa :
"Sesungguhnya
syariat Islam adalah hujah mengatasi seluruh mazhab. Bukanlah mazhab yang
menjadi hujah mengatasi syariat Islam. Apabila jelas kepada pengikut sesuatu mazhab
bahawa mazhabnya salah dalam masalah tertentu, sementara kebenaran berada pada
pendapat yang lain dan masalah itu cukup jelas baginya, maka hendaklah dia
bertukar mazhab kepada pendapat yang benar dalam masalah tersebut. Harus bagi
pengikut sesuatu mazhab mengikut mazhab lain dalam sebahagian masalah. Ini
kerana tidak wajib kepadanya untuk terikat dengan semua ijtihad mazhabnya.
Dengan syarat ia disebabkan oleh dalil yang menuntutnya berubah dari mazhabnya
ke mazhab yang lain dalam masalah tertentu. Demikian juga harus untuk dia
bertanya mana-mana ahli fekah bukan dari mazhabnya dalam sebarang hukum syarak.
Dia boleh beramal berdasarkan apa yang difatwakan kepadanya”
Demikianlah
Islam dan khazanah kepelbagaian mazhab yang mempunyai nilai estetikanya yang
tersendiri. Kepelbagaian mazhab ini juga mengajar kita untuk lebih menghargai
khazanah ilmu Islam yang sangat luas ini. Ini juga secara tidak langsung
mengeluarkan kita daripada sifat kejumudan dan kebekuan dalam hidup beragama.
Pada masa sama juga, segelintik umat Islam yang melampau dan fanatik terhadap
sesuatu mazhab bukanlah kerana ajaran mazhab itu sendiri sebaliknya sikap
individu itu sendiri yang melampaui batas. Sikap sedemikian adalah dilarang
oleh Allah SWT. Semoga Allah memberkati hidup kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan