Bagi
kebanyakan pemahaman masyarakat, maksud "Rasuah" dan "Hadiah"
seringkali sukar dibezakan dan keadaan ini membuatkan kita gagal untuk mengenal
pasti yang mana satu rasuah dan yang mana satu hadiah. Dalam hal ini,
kebijaksanaan dan celik minda sangat penting agar kita tidak membiasakan diri
kita terdidik dengan budaya rasuah. Dalam beberapa keadaan, tidak kurang ramai
juga yang beranggapan memberi upah kepada anak-anak yang berjaya melakukan
sesuatu perkara juga sebahagian daripada maksud rasuah.
Rasuah
dan hadiah adalah dua perkataan yang membawa kepada dua maksud yang berbeza.
Perbezaan antara rasuah dan hadiah ini sangat jauh ibarat langit dan bumi. Bagi
memahami maksud rasuah dan hadiah, kita boleh lihat dalam kitab Mausu'ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwitiyyah, nukilan dan terbitan oleh Kementerian Wakaf dan
Urusan Keislaman Kuwait. Perkataa rasuah ditakrifkan sebagai apa yang diberikan
dengan tujuan memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan. Selain itu, Imam
al-Mawardi telah merumuskan maksud rasuah adalah apa yang diberikan kerana
menuntut sesuatu, hadiah pula apa yang disumbangkan tanpa sebarang alasan.
Berdasarkan
pemahaman daripada pentakrifan tersebut, kesimpulan mudah yang menjadi garis
pemutus membezakan antara rasuah dan hadiah adalah terletak dan bergantung
kepada tujuan dan objektif sesuatu pemberian itu dihulurkan. Kerana kita dapat
fahami secara tuntas, rasuah diberi dengan tujuan untuk dibalas dengan sesuatu
keuntungan, sebaliknya hadiah pula diberikan dengan tujuan lain tanpa
mengharapkan sebarang keuntungan. Untuk itu, adalah penting bagi kita
memastikan apakah tujuan dan objektif sesuatu pemberian itu diberikan.
Meskipun
begitu, hanya si pemberi sahaja yang boleh merungkaikan jawapan tentang tujuan
dan objektif memberikan sesuatu pemberian tersebut. Sebagai orang yang bijak,
sudah tentu kita tidak boleh mengambil mudah dengan menerima apa sahaja
pemberian orang lain tanpa mengetahui tujuan sebenar pemberian tersebut
dihulurkan. Sudah tentu niat si pemberi tersebut akan menentukan sama ada
perkata tersebut dimaksudkan sebagai rasuah atau sebaliknya sekadar hadiah.
Dalam soal ini, baginda Nabi SAW begitu tegas tentang menerima hadiah. Dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Apa
jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata : 'Ini
bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya,
lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak?!' Demi Allah,
dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada hari kiamat
nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkoknya".
Hadith
ini secara tidak langsung mengingatkan kita semua terutama yang memegang tampuk
kekuasaan agar tidak menerima sebarang pemberian yang mempunyai kaitan dengan
kedudukannya. Jika sebaliknya, ada yang menerima pemberian tersebut dengan
mengharapkan balasan dari kuasa yang kita sedang kita miliki, kenalilah itu
adalah rasuah. Pemberian rasuah tidak sekadar berputar soal memberi wang
ringgit, bahkan pemberian rasuah juga boleh muncul dalam pelbagai bentuk
seperti harta, wanita dan perjanjian sebarang manfaat lain jika hasrat si
pemberi dipenuhi.
Allah
SWT telah mengingatkan kita umat manusia agar tidak memakan harta daripada
sumber yang haram dan batil. Sepertimana yang terkandung dalam surah al-Baqarah
ayat 188, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dan
janganlah kamu makan (mengambil) harta antara kamu dengan cara yang batil dan
jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim
kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan
cara dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)".
Tanpa
kita sedari, rasuah bukan sahaja mengakibatkan hilang integriti diri, bahkan
sebaliknya, jauh lebih besar adalah rasuah boleh merosak dan memusnahkan
negara. Agenda penindasan dan kezaliman hak orang lain terus berlaku,
menjejaskan kestabilan ekonomi dan politik, sekaligus mampu melumpuhkan sistem
bernegara. Apabila budaya memberi hadiah dengan harapkan balasan telah menjadi
tradisi dalam berurusan, secara tidak langsung keadaan ini menekan mereka yang
tidak berkemampuan memberi hadiah untuk berurusan dengan mereka.
Begitu
juga apabila sesuatu pemberian yang dikatakan "hadiah" itu diberikan
dengan tujuan mengelak daripada dikenakan hukuman, di denda dan sebagainya,
keadaan ini akan melumpuhkan sistem perundangan di negara bermaruah kita ini.
Sebab itu, baginda Nabi SAW sangat tegas dan menegah umatnya daripada terbabit
dengan gejala rasuah ini. Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, sabda Nabi SAW
yang bermaksud :
"Allah
melaknat pemberi rasuah dan penerimanya".
Menerima
rasuah adalah bermaksud kita telah menjual kebenaran. Seolah-olah kebenaran itu
boleh disembunyikan dengan pemberian rasuah melalui atas nama hadiah. Seperti
yang dinukilkan oleh Ibnu Muflih dalam kitab al-Adab al-Syar'iyyah,
Saiyidina Ali bin Abi Talib pernah berkata :
"Sesungguhnya
binasalah manusia yang terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ia
di beli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ia di tebus".
Walaubagaimana
pun, pemberian hadiah dengan tujuan tidak mengharapkan sebarang balasan atau
ganjaran adalah sangat dituntut di dalam Islam. Memberi hadiah dengan tujuan
yang baik seperti menghubungkan hubungan baik, menghargai jasa, mengharmonikan
persaudaraan adalah sesuatu yang digalakan oleh Islam. Hal ini seperti yang
terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Berilah
hadiah nanti kamu akan saling sayang menyayangi".
Rumusannya,
rasuah dan hadiah serupa pada makna pemberian tetapi tidak sama pada makna
tujuan. Kebijaksanaan adalah sangat penting bagi membezakan antara rasuah dan
hadiah. Islam tidaklah anti-sosial sehingga melarang menerima sesuatu pemberian
daripada orang lain namun kewaspadaan itu sangat penting agar diri kita tidak
terbiasa dan terjerat dengan gejala tidak bermaruah ini. Adapun dalam soal
memberi ganjaran pada anak-anak kerana bersikap baik dan seumpamanya bukanlah
sesuatu yang boleh dianggap sebagai rasuah. Ianya lebih menjurus kepada
memberikan nilai tambah moral kepada anak-anak bagi terus bersemangat tanpa
menyembunyikan atau memalsukan kebenaran. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan