Isnin, 31 Oktober 2022

MEMILIH PEMIMPIN ; ANTARA KACA DAN PERMATA

 

Seringkali menjadi dilema bagi rakyat untuk memilih pemimpin bagi mewakili suara mereka. Sebahagian masyarakat khususnya yang beragama Islam, ada yang beranggapan haruslah memilih pemimpin dikalangan mereka yang kuat beragama, pandai membaca al-Quran, rajin menziarahi orang sakit dan mampu menjadi imam dan mengajar di masjid dan surau. Bagi mereka, ciri-ciri ini sudah melayakkan mereka di pilih dan diutamakan berbanding calon lain yang dilihat seperti kurang kuat beragama. Barangkali juga kerana penampilan yang tidak islamik seperti memakai lebai, berjubah dan sebagainya lalu dihukum tidak kuat agama.

Sebahagian yang lain pula merasakan kita mestilah memilih pemimpin yang berkemampuan membawa perubahan dan kemajuan setanding dengan peredaran zaman. Pada mereka, pemimpin yang banyak bercakap tetapi kurang bertindak adalah sampah yang harus dibuang. Golongan seperti ini mendambakan perubahan baik dari sudut sosio-ekonomi, pendidikan, dan sebagainya. Mereka tidak memilih wakil mereka untuk sekadar datang bertanya khabar, mengajar di masjid dan surau, mengimami solat jenazah dan sebagainya. Bagi mereka ini, wakil rakyat mempunyai fungsi dan peranan yang lebih besar lagi iaitu dengan membawa kemajuan fizikal dan rohani.




Dalam soal memilih pemimpin, rata-rata rakyat sudah tahu dan bijak dalam menilai prestasi dan komitmen pemimpin mereka yang telah dan pernah mewakili mereka dari sebelum ini. Maka apabila tiba saat dan ketikanya, sekali lagi rakyat diberikan semula mandat bagi memilih sesiapa yang diyakini boleh membawa suara-suara mereka. Maka terlebih dahulu rakyat harus diingatkan agar tidak memilih pemimpin yang diketahui akan keburukannya sekiranya individu tertentu dipilih mewakili mereka. Allah SWT mengingatkan kita agar memilih pemimpin mestilah berteraskan kepada dua ciri utama iaitu al-Quwwah dan al-Amanah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 26 yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat (al-Quwwah) lagi amanah (al-Amanah)"

Menurut Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah, al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. Ini bermakna, dalam soal memilih pemimpin politik, al-Quwwah mesti diukur berdasarkan kemampuannya dalam pentadbiran, kemampanan dalam soal pengurusan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan meskipun berada di bawah tekanan. Setelah itu, al-Amanah pula mesti diukur kepada sifat taqwa, takutkan Allah, tidak bermudah menunggang agama dengan menjual ayat-ayat Allah dan tidak menakutkan manusia. Inilah ciri-ciri amanah yang telah disebutkan oleh Allah SWT.

Firman Nya dalam surah al-Maidah ayat 44 yang bermaksud :

"Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayat Ku dengan harga sedikit. Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir".




Dilema soal memilih pemimpin ini harus dilihat dengan kerangka yang lebih besar dan luas selari dengan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah. Islam menuntut kita untuk melantik pemimpin dikalangan mereka yang berkemampuan dan beramanah. Kebanyakkan masalah yang seringkali menjadi polimik dikalangan masyarakat adalah dengan memfokuskan kepada satu-satunya ciri tanpa mengambil kiranya keduanya sekali. Ini bermaksud, sebahagiannya ada yang memfokuskan soal al-Quwwah, kemampuan mentadbir sehingga mengabaikan soal al-Amanah. Akibatnya, berleluasalah gejala rasuah kerana tidak mempunyai sikap amanah. Soal agama kurang diberi perhatian dan dibimbangi boleh membawa kepada suatu keadaan dimana Islam terancam.

Sebaliknya, ada yang hanya memfokuskan kepada ciri amanah, ketaqwaan kepada Allah semata-mata. Asalkan pemimpin tersebut mampu menjadi imam solat, pandai menyampaikan kuliah agama, rajin baca al-Quran, memadai bagi mereka. Tanpa perlu berbicara soal kemajuan, tanpa perlu menyentuh isu-isu kemiskinan dan kebejatan sosial, asalkan ada kematian, datang ziarah. Bijak buat tahlil, sudah sempurna di mata sebahagian mereka yang berpandangan sedemikian. Akibatnya, kemunduran rakyat terus menjadi barah. Soal kemiskinan, ketidaktentuan ekonomi, masalah sosial, tidak mampu ditangani. Jika ini sahaja yang menjadi fokus pada rakyat.

Berkemampuan seperti yang dinyatakan, memerlukan kepada sikap intelektual yang tinggi, kebijaksanaan dalam menentukan dasar-dasar utama dalam membentuk sebuah negara yang sejahtera. Ianya juga termasuklah tidak mudah dipengaruhi, mempunyai pendirian yang kukuh dan mampu berlaku adil pada semua rakyat. Beramanah pula seperti yang diketahui, ciri ketaqwaan kepada Allah, ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah dapat menterjemahkan ketelusan dalam mentadbir. Tidak mengamalkan rasuah, tidak menindas dan berlaku zalim pada pihak lain, bukanlah kerana takut kepada manusia tetapi takutnya diri kepada Allah SWT.




Dalam banyak hal, kita boleh lihat bagaimana baginda Nabi SAW tidak memberikan jawatan kepada sahabat-sahabat yang tidak berkemampuan sekalipun sahabat itu merupakan orang soleh, kuat beragama dan sebagainya. Dalam sebuah hadtih riwayat Muslim, baginda Nabi telah bersabda kepada Abu Zar RA yang bermaksud :

"Wahai Abu Zar, Sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua keatas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim".

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa Abu Zar seorang yang beriman dan kuat beragama namun Abu Zar tidak berkemampuan untuk menjadi ketua. Secara tidak langsung, kita dapat fahami bahawa untuk memilih pemimpin, tidak memadai sekadar kuat beragama, mampu menjadi imam solat, mengepalai bacaan yasin dan tahlil, yang sudah menjadi kebiasaan pemimpin Islam. Tidak cukup sekadar itu. Pada diri mereka juga harus memiliki sifat kepemimpinan, berkemampuan membawa idea-idea pembaharuan dan penambah baikkan lagi mutu kehidupan rakyat yang dipimpinnya.

Kita juga dapat melihat ada dikalangan sahabat Nabi yang sangat hebat bacaan al-Quran iaitu Ubai bin Ka'ab. Kelebihan Ubai bin Ka'ab ini telah diperakui dan di iktiraf sendiri oleh baginda Nabi SAW. Namun beliau tidak dilantik dalam pentadbiran politik. Pada zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab, beliau dilantik oleh Umar al-Khattab sebagai imam solat terawikh. Umar sangat mengagumi bacaannya Ubai bin Ka'ab. Dalam Tabaqat Ibn Saad, terdapat satu riwayat tentang Ubai bin Ka'ab bertanyakan kepada Umar al-Khattab yang bermaksud :

"Mengapa engkau tidak melantikku (sebagai anggota pentadbiran), jawab Umar : Aku tidak suka dicemari agamamu".

Oleh yang demikian, kita perlu bijak menilai antara kaca dan permata. Untuk memilih pemimpin yang benar-benar akan membawa suara kita, dua ciri utama ini, al-Quwwah dan al-Amanah perlu seimbang bagi memastikan lakaran kesejahteraan hidup yang terjamin dan terbela. Kita juga seharusnya tidak mudah terpedaya dengan penampilan pemimpin berjubah, berserban, yang dianggap islamik tetapi malang tidak mempunyai idea dan gagasan yang boleh menambah baikk dalam kehidupan rakyat. Kita harus berwaspada dengan mereka yang rancak mencanang soal pembaharuan namun miskin ketelusan dan integriti.

Ingatlah, kita melantik pemimpin bukan untuk sekadar datang dan beri hamper, datang dan ziarah kematian, mengetuai solat dan bacaan tahlil dan seumpamanya lagi. Kerja-kerja tersebut tanpa perlu jadi YB pun, memang sudah menjadi tanggungjawab seorang muslim menziarahi, bersedekah dan lain-lain. Lebih besar dan utama adalah kita memerlukan seorang pemimpin yang boleh merubah landskap pemikiran masyarakat. Mampu membawa kemajuan dan merancakkan ekonomi rakyat. Meningkatkan keupayaan rakyat menjadi rakyat yang terpimpin. Ini lah yang kita dambakan. Bukan sekadar turun padang, mendengar masalah asnaf kemudian merujuk ke baitulmal. Jika itu sahaja kerja YB, ramai lagi yang lebih layak menjadi YB. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan